KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkerja di Kementerian Pertahanan hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera diantara Jen Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj Zulkifeli Mohd Zin dengan Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang merupakan sejarah baharu buat ATM disaksikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN), Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 16 Dis 2016.
Serah terima tugas ini juga bersempena dengan persaraan mantan PAT yang akan bersara setelah 44 tahun menabur bakti dan mengabdikan diri kepada ATM serta peralihan tampuk pemerintahan ATM yang baharu dan majlis diteruskan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas PAT Ke-19.
Dalam ucapan PAT Ke-19, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang memperkenankan beliau menjadi PAT Ke-19 serta tidak lupa juga kepada Kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan kerana telah memberi penuh kepercayaan kepada beliau untuk menerajui ATM.
“Mulai saat dan ketika ini maka terpikullah dibahu saya satu tanggungjawab yang amat besar lagi mencabar kerana ianya merupakan satu amanah yang datangnya dari ketentuan Allah SWT dan padahnya saya yang akan hadapi di akhirat kelak jika saya tersasar bagi menjaga maruah bangsa, negara dan organisasi yang tergantung kepada kebijaksanaan saya membuat keputusan,” katanya.
Selain itu, beliau mengajak seluruh warga ATM untuk berdiri teguh bersama beliau agar sama-sama berganding bahu meneruskan kesinambungan yang diwariskan oleh 18 PAT terdahulu agar menjadi sebuah angkatan yang cemerlang dan membanggakan.
Majlis diakhiri dengan acara simbolik iaitu street lining bagi memberi penghargaan dan penghormatan terakhir kepada mantan PAT yang ditarik oleh pegawai -pegawai ATM bermula dari pintu hadapan Kementerian Pertahanan hingga ke Balai Pengawal Utama.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Mohd Johari Baharum, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badarudin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Dato’ Sri Roslan Saad TUDM.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali dan Sjn Vijay Gaundar Arikshnan