KEDAH: Batalion Pertama Rejimen Sempadan (1 RS) menerima kunjungan Menteri Pertahanan (MENHAN) Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama PTD, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor, pada 13 Jul 2015, di Kem Gubir.
Dalam kunjungan ini, MENHAN turut dibawa untuk melawat sekitar kawasan Markas Taktikal 1 RS serta beramah mesra dengan anggota yang bertugas di perbatasan selain diadakan majlis berbuka puasa bersama dengan anggota yang bertugas. Lawatan ini diadakan untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman bertugas di perbatasan semasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, turut diadakan pembahagian bungkusan raya kepada anggota dan juga penyerahan cek berupa wang tunai kepada Tabung Kebajikan Rejimen 1 RS yang disampaikan oleh MENHAN Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada Panglima 6 Bgd Brig Jen Mardzuki Muhammad.
Dalam ucapan beliau semasa sidang media di markas taktikal 1 RS menekankan akan meningkatkan lagi kawalan di sempadan dengan mewujudkan lebih banyak Forward Operational Base (FOB). Ini adalah bagi memudahkan aturgerak operasi dilancarkan dengan lebih cepat. Selain itu, beliau turut melahirkan kebimbangan berkenaan perkembangan ideologi Islamic State (IS) dikalangan warga ATM dan menegaskan kerajaan Malaysia memandang serius akan perkara ini.
Untuk memastikan kebajikan warga ATM terbela kementerian pertahanan telah diarahkan oleh MENHAN untuk merangka dan merencanakan satu plan strategik untuk pembangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Menurut beliau lagi, “Aspek perumahan merupakan agenda terpenting saya di Kementerian Pertahanan khususnya dalam meningkatkan taraf hidup dan keselesaan warga tentera yang telah banyak berkorban mempertahanakan kedaulatan tanah air. Agenda ini amat dekat dengan hati saya. Malah, saya telah turun padang ke beberapa negeri untuk meninjau sendiri keadaan RKAT ini. Keutamaan pembinaan RKAT ini akan diberikan kepada kawasan-kawasan yang mengalami kekurangan rumah keluarga yang amat ketara contohnya di Kem Sepanggar TUDM di Sabah. Selain itu, keutamaan juga diberikan kepada rumah-rumah yang daif dan Usang. Rumah-rumah yang daif dan using ini akan dirobohkan dan diganti baru”.
Turut hadir, Panglima Pemerintahan Medan Barat, Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, AKS OPLAT, Mej Jen Dato’ Ramli Jaafar, Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Fadzil Mokhtar dan Panglima 6 Bgd, Brig Jen Mardzuki Muhammad, Pegawai-pegawai Kanan dan Anggota LLP.