KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) muncul juara dalam Perlawanan Akhir Bola Sepak Karnival Sukan Antara Perkhidmatan ATM Tahun 2015 mengalahkan Tentera Laut Diraja Malaysia yang disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf Perisikan Markas Tentera Darat merangkap Pengerusi Bola Sepak Tentera Darat (PBTD), Mej Jen Dato Hj Khlir Hj Mohd Nor bertempat di Stadium Kementah pada 21 Ogos 2015.
Perlawanan akhir tersebut menyaksikan Pbt Faiz Ibrahim dari TD menjadi wira apabila meledakan dua jaringan gol pada separuh masa pertama dan ke dua tanpa dibalas oleh TLDM sekaligus membantu pasukan TD muncul juara dalam perlawanan akhir tersebut.
Pengerusi PBTD mewakili Panglima Angkatan Tentera (PAT) pada majlis penutup tersebut dengan membacakan ucapan PAT yang mengharapkan agar Majlis Sukan ATM dapat berusaha serta meningkatkan semua aspek sukan di dalam ATM bagi tujuan untuk melihat anggota-anggota ATM menyerlah di peringkat kebangsaan serta di persada antarabangsa.
Salah satu daripada objektif kejohanan sukan ini adalah sebagai landasan untuk memilih atlet-atlet lelaki dan wanita yang terbaik bagi mewakili ATM ke peringkat kebangsaan seterusnya antarabangsa agar ATM terus digeruni serta diberi penghormatan oleh pihak lawan.
Nilai-nilai murni ketenteraan juga mampu diterapkan di dalam pasukan ATM supaya ianya akan membantu menaikkan semangat juang tanpa mengaku kalah dengan mudah kerana ATM berupaya melahirkan satu pasukan yang bersemangat, berdaya saing, berpengetahuan, mampu mengikuti perubahan teknologi dan sentiasa mengejar kejuaraan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Panglima TLDM merangkap Pengerusi Lembaga Sukan Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, wakil Panglima Tentera Udara, Mej Jen Dato’ Abdul Mutalib Abdul Wahab, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Gambar: Mohd Rizal Ghazali