RencanaSejarah

Hari Pahlawan Kenang Jasa Perajurit

Setiap tahun pada tanggal 31 Julai, negara akan meraikan perajurit-perajurit negara yang banyak berkorban demi tanah air tercinta dengan mengadakan sambutan Hari Pahlawan bertujuan memperingati jasa perajurit yang gugur dalam  mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air. Tanggal 31 Julai 1960, Kerajaan Malaysia telah mengiystiharkan sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat pada tarikh tersebut yang mana ianya merupakan platform bagi mensyukuri keamanan yang dikecapi negara sehingga membolehkan kemajuan dan pembangunan negara berjalan lancar tanpa sebarang ancaman daripada anasir-anasir luar yang tidak bertanggungjawab yang ingin menghuru-harakan kemakmurannya.

Simboliknya pahlawan adalah orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah dan perwira yang ditakuti. Oleh itu, Hari Pahlawan boleh diertikan dengan hari memperingati pahlawan yang terkorban di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh. Pahlawan negara seharusnya menjadi sejarah yang sentiasa dikenang kerana telah mencipta ketamadunan negara kepada bumi bertuah ini. Perjuangan mereka sama ada di era sebelum merdeka mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam kandungan sejarah negara.

SONY DSC
                                                  Tugu Negara
Untitled-1
Memorial     TD        yang memaparkan   pahlawan TD yang gugur di medan perang

Semasa pemerintahan British, hari tersebut dikenali sebagai Poppy Day sempena nama bunga Poppy dan mengambil semangat daripada pengiktirafan ini, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua yang dikenang di seluruh dunia serta menjadikan tarikh tersebut telah ditetapkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk memperingati jasa perajurit angkatan tentera dan polis yang terlibat secara langsung dalam kemelut perebutan dengan beberapa pihak berkepentingan dan berlarutan selama bertahun-tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Namun, sambutan Hari Pahlawan pertama kali diadakan pada 4 Ogos 1968. Upacara julung kali itu telah diadakan di Tugu Negara, Kuala Lumpur.

Upacara sambutan telah dimulakan dengan bertafakur bagi mengenang pahlawan-pahlawan yang telah gugur, diikuti dengan bacaan doa dan meletakkan kalungan bunga serta menaikkan bendera. Biarpun tarikh 31 Julai diiystiharkan Hari Pahlawan, namun acara sambutan tidak semestinya hanya pada tarikh tersebut. Ia bergantung kepada keadaan atau keperluan.  Pelbagai acara diadakan sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis. Sebelum tahun 2010, acara sambutan Hari Pahlawan diadakan di Tugu Negara.  Bagaimanapun mulai tahun 2010, kerajaan telah memutuskan lokasi sambutan dilakukan di dataran yang sesuai. Sebagai permulaan, Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi sambutan. Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Dengan perpindahan tempat sambutan ianya turut melibatkan perubahan acara yang diadakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Keputusan Majlis Fatwa Malaysia menjelaskan mengenai acara sambutan Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan Last Post, bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan Rouse yang dilakukan di hadapan tugu. Dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik. Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Untuk sambutan Hari Pahlawan 2015, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat menyaksikan istiadat sambutan yang diadakan di Dataran Merdeka. Turut hadir Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar

Acara dimulakan dengan tiupan Last Post dengan Jalur Gemilang diturunkan sebagai simbolik untuk mengenang mereka yang terkorban dan hadirin kemudian diperdengarkan dengan deklamasi sajak bertajuk Pahlawan yang disampaikan oleh DSP Rose Baini Kassim dan ASP Mohamed Mahat, ciptaan Mej Mohamed Awang (Bersara). Kemudianya Persembahan pentomen mengenai serangan Balai Polis Kuala Krau, Pahang pada 26 Jun 1948 menyentuh perasaan penonton sebaik adegan isteri kepada mata-mata polis, Mohd Yusoff Mohamad iaitu Mahani Konel yang sarat mengandung terkorban kerana membantu suaminya mempertahankan balai itu daripada serangan komunis dilakonkan.

_MG_2653-new
     Persembahan kisah ASP Mohd Zabri Abdul Hamid menentang komunis

Turut dipersembahkan ialah kisah ASP Mohd Zabri Abdul Hamid daripada Platun 69 Komando yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir menentang komunis di Sungai Siput, Perak dalam Ops Bamboo 2 pada 1975. Acara kemudiannnya diteruskan dengan tiupan Paluan Fajar iaitu Jalur gemilang dinaikkan sebagai tanda memberi semangat kepada anggota tentera dan polis yang masih hidup untuk terus mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara. Seterusnya, laungan Daulat Tuanku dilaungkan sebanyak tiga kali sebagai simbolik bukti taat setia anggota pasukan keselamatan dan rakyat di bawah naungan baginda.

Kesimpulanya Hari Pahlawan ini begitu besar ertinya dan setiap warganegara wajar mengingati tarikh 31 Julai setiap tahun sebagai satu cara mengenang budi dan bagi mengingati kembali perit jerih erti perjuangan para pahlawan negara yang telah banyak berkorban demi kemakmuran negara. Mungkin, Hari Pahlawan di Malaysia tidak sehebat di negara lain, tetapi janganlah pula ia terus dilupakan. Ingatlah, kenikmatan yang dikecapi kini adalah hasil keringat dan darah pahlawan terdahulu yang mempertaruhkan nyawa mereka demi kedaulatan negara supaya pewaris kini dapat menikmati keamanan secara berterusan dan sebagai pewaris negara yang hidup kini, haruslah  terus menjaga keamanan dan  kedaulatan negara agar tidak mudah dicerobohi oleh anasir-anasir luar.

Artikel Berkaitan

Back to top button

bonus new member

sicbo online