NEGERI SEMBILAN: Tentera Darat (TD) mengadakan Majlis Sambutan Deepavali Peringkat TD tahun 2015 yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan dianjurkan oleh Pemerintahan Latihan dan Doktrin TD (PL&DTD) bertempat di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 19 Nov 2015.
Majlis tersebut bertujuan mengukuhkan ikatan silaturrahim antara pucuk pimpinan dan warga TD agar dapat mewujudkan suasana harmoni dengan memberi peluang kepada warga TD yang berbilang kaum menikmati kemeriahan sambutan Deepavali selain dapat megeratkan lagi hubungan dengan pesara perajurit kaum India.
Dalam ucapan PTD, beliau amat menghargai usaha semua pihak dalam menjayakan majlis Deepavali ini yang mana dapat mempertemukan semula sahabat-sahabat lama agar tali persahabatan yang lama terjalin tidak putus ditengah jalan.
“Saya berharap majlis ini dapat menghubungkan kembali hubungan yang lama terjalin dan kami TD memerlukan bantuan dari kalangan rakan-rakan untuk memastikan TD mempunyai jumlah anggota serta pegawai dari kaum India untuk menyertai TD,”katanya.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Kassim, Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Suhaimi Mohd Zuki, pesara tentera kaum India dan ahli-ahli Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia (PERIM).