NEGERI SEMBILAN: Seramai 96 Pegawai Kadet (PK) Graduan terdiri daripada 52 PK Graduan TD, 9 PK Graduan TLDM, 33 PK Graduan TUDM dan dua PK Timbalan Setia Negeri Johor terlibat dalam Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kadet Graduan ATM serta Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Perakuan Tamat Latihan yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifeli Hj Mohd Zin bertempat di Padang Kawad Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Kem Segenting pada 19 Dis 2015.
PK Graduan ATM merupakan pengambilan siri 3/2015 yang menjalani latihan selama 9 bulan di pusat latihan mengikut perkhidmatan masing-masing didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran ketenteraan yang membolehkan mereka berkhidmat mengikut kriteria yang diperlukan.
Dalam ucapan PAT beliau menyatakan profesion ketenteraan merupakan satu bidang yang menuntut sebuah pengorbanan, kesungguhan, kemahiran dan juga dedikasi yang tinggi kerana ianya bukan satu kerjaya untuk mencari matlamat kebendaan atau kekayaan material, sebaliknya ia menuntut satu tekad dan cita-cita yang kuat untuk bekorban jiwa mempertahankan keutuhan agama, bangsa dan negara.
“Sebagai pemimpin muda Angkatan Tentera Malaysia, tanggungjawab yang bakal dipikul oleh saudara dan saudari bukanlah sesuatu yang mudah dan pelaksanaan tugas serta tanggungjawab yang diasaskan kepada nilai-nilai kecemerlangan seperti dedikasi, komited, jujur dan ikhlas serta berkeperibadian mulia akan menyumbang kepada impak yang besar dalam mengukur kegemilangan organisasi angkatan tentera,”tegasnya.
PK Graduan ATM keseluruhan terbaik, PK Graduan TD disandang oleh Pegawai Rendah Kanan Muhammad Syahir Abdul Rahman, PK Graduan TLDM PK Graduan Mathew anak Tommy dan TUDM Pegawai Rendah Kanan Mohamad Nurhafizur Ameruddin manakala bagi Penuntut Akademik Terbaik disandang oleh Pegawai Rendah Muda Jusman Muktar.
Turut hadir Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Roslan Saad TUDM.
Gambar: Mohd Rizal Ghazali