MELAKA: Jenazah pegawai Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Allahyarham Kapt Hasman Hussin yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam kejadian banjir di Missouri, Amerika Syarikat (AS) pada 26 Dis 15 lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Solok Air Batu Masjid Tanah pada 6 Jan 2016.
Terdahulu dari itu jenazah Allahyarham tiba dari Kompleks MAS Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan pesawat China Airline lalu di bawa menaiki van jenazah ATM dan diiringi oleh isterinya Siti Hazwani Ahmad untuk dibawa ke Melaka bagi memberi penghormatan terakhir.
Setibanya di Masjid As-Syuhada Kem Terendak van jenazah disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron disusuli dengan solat jenazah diimamkan Ketua Pengarah Kor Agama Angkata Tentera Mej Jen Datuk Kamarudin Mamat lalu dibawa ke kampung halamannya.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohammed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan dua wakil Tentera AS .