KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri, Puan Sri Datin Hartiah Hamzah menyaksikan Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Tentera Darat (TD) di Dewan Dato’ Othman Harun, Kem Wardieburn pada 23 Feb 2024.
Majlis sebegini adalah satu acara yang amat signifikan bagi menghargai warga TD berketurunan Cina di samping dapat memupuk semangat perpaduan serta toleransi di kalangan warga sejajar dengan aspirasi TD untuk mencetus anjakan paradigma dalam aspek pemikiran yang inklusif bagi membentuk ketumbukan yang bersatu padu.
Acara dimulakan dengan letupan mercun sebagai simbolik meraikan perayaan Tahun Baharu Cina yang merupakan Tahun Naga yang melambangkan simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan menurut kalendar lunar Cina.
Seterusnya, acara dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan seperti pertunjukan tarian singa, pukulan gendang, tarian masyarakat Cina, nyanyian lagu serta turut berpeluang menggaul Yee Sang di meja makan masing-masing.
Selain itu, PTD turut menyempurnakan penyampaian angpau kepada anak-anak dan anggota bujang yang hadir sebelum diakhiri dengan kemeriahan pertunjukan bunga api.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: Lt M Riffat Mohd Yusof