KUALA LUMPUR: Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Ke-10 (TPA-M 10) diketuai oleh Mej Jen Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan bersama 10 pegawai serta seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua orang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) selamat tiba di Pangkalan Udara Subang setelah selesai melaksanakan misi keamanan dan disambut oleh Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin mewakili Panglima Angkatan Tentera (PAT) lalu menyempurnakan Majlis Sambutan Kepulangan dan Pembubaran Tim TPA-M10 pada 14 Mac 2016.
Misi yang dilaksanakan selama 12 bulan itu bertujuan untuk memantau gencatan senjata serta perjanjian damai diantara Government of the Philippines (GPH) dan Moro Islamic Liberation Front (MILF) serta memastikan agar kedua-dua pihak ini tidak bertelagah yang mana tim dipecahkan kepada empat lokasi penempatan yang berlainan iaitu di Bandar Cotabato, Bandar Iligan, Bandar Zamboanga, dan Bandar General Santos.
Dalam ucapan PTL beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli TPA-M10 di atas kejayaan menamatkan misi dengan cemerlang sekaligus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan pasukan ini secara tidak langsung membantu GPH serta MILF dalam mewujudkan pelan damai bagi penubuhan identiti baharu Bangsamoro untuk menggantikan wilayah autonomi islam di Mindanao dan pada masa yang sama pasukan ini juga menyambung rekod kejayaan yang dilakar oleh pasukan yang terdahulu sejak penubuhannya yang pertama pada tahun 2004,”ujarnya.
Dalam pada itu, menurut ketua misi beliau menjelaskan bahawa masyarakat Islam di Mindanao dianggap sebagai forgotten dimana mereka hidup dalam kadar kebuluran yang tinggi serta sukar untuk menjalani kehidupan seharian kerana tidak mempunyai bekalan serta bantuan yang mencukupi dan berharap agar negara kita dapat tampil menghulurkan bantuan kepada saudara islam disana.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima-panglima Perkhidmatan dan keluarga TPA-M10.