KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak melancarkan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi (HMAV) 4×4 terbaharu yang diberi nama Lipan Bara keluaran DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) semasa Pameran Defence Services Asia 2016 (DSA) bertempat di Putra World Trade Centre (PWTC) pada 18 Apr 2016.
HMAV atau Lipan Bara ini menggunakan 22 peratus bahan tempatan dan merupakan projek usaha sama DEFTECH dan Chaiseri Metal & Rubber Co Ltd, Thailand dengan berkongsi hak harta intelek 50:50 antara kedua-dua syarikat yang mana DEFTECH diberi kontrak oleh kerajaan untuk menyediakan 20 unit Lipan Bara bernilai RM140.98 juta pada 7 Jul 2015.
Setelah semua 20 unit pertama selesai dikeluarkan jumlahnya akan ditingkatkan kepada 60 peratus dengan harga kos seunit bernilai RM7.05 juta dan unit pertama Lipan Bara dijangka diserah kepada Tentera Darat pada Mei 2016 manakala enam unit lagi pada Nov dan bakinya antara Apr dan Jun tahun 2017.
Antara ciri-ciri penting kenderaan ini ialah berkemampuan mengangkut 2 tan dengan kuasa enjin 300hp serta di lengkapi senjata M134D-H Gattling Gun 7.62mm, alat amaran lazer dan pelancar grenad 76mm namun terdapat juga tahap perlindungan dan kekebalan lain pada Lipan Bara yang dirahsiakan yang mana ianya menepati piawaian NATO protokol STANAG 4569.