KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN) Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein merasmikan serta menyampaikan ucaptama pembukaan sempena Majlis Perasmian 40th Pacific Armies Management Seminar (PAMS) yang melibatkan penyertaan sebanyak 34 negara bertempat di hotel terkemuka pada 26 Sep 2016.
Tentera Darat Malaysia terpilih sebagai negara penganjur untuk mengkoordinasikan Seminar PAMS pada tahun ini yang bertemakan Unity of Effort: Building Civil-Military Partnership to Counter Violent Extremism yang mana ianya merupakan seminar ketenteraan peringkat antarabangsa yang berprestij diadakan setiap tahun.
Selain itu, seminar ini juga merupakan satu medium perbincangan mengenai pengurusan ketenteraan serta berperanan sebagai platform untuk perkongsiaan idea yang berupaya untuk meningkatkan persefahaman yang lebih erat di antara negara-negara yang terlibat.
Dalam ucapan MENHAN, beliau menyeru seluruh delegasi yang hadir untuk memperkuatkan serta mengeratkan hubungan kerjasama bagi berganding bahu dalam menentang ancaman keganasan terlampau yang pada ketika ini didalangi oleh puak militan Daesh.
“Terdapat empat pendekatan yang boleh dilaksanakan untuk mengekang penularan keganasan terlampau iaitu yang pertama adalah melalui Perangkaan Strategi diantara agensi yang terlibat dalam usaha mengekang keganasan sehingga ke akar umbi, manakala pendekatan yang kedua pula adalah tentang mendidik pihak-pihak yang tertentu agar tidak menyertai serta mempunyai minat kepada keganasan, aspek ketiga pula adalah berkenaan perkongsian maklumat tentang penularan keganasan dan aspek keempat adalah kepimpinan yang mantap dalam menjalankan segala perancangan yang dirangka untuk memerangi ancaman keganasan,” ujar MENHAN.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Commanding General United States Army Pacific (USARPAC), Gen Robert B. Brown, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim dan delegasi asing PAMS.
Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya