Masyarakat sedia maklum, bidang arkeologi adalah perihal mengkaji dan menyelidik sejarah lampau atau ketamadunan. Definisi arkeologi diambil dari 2 pecahan perkataan Greek purba iaitu Archaios yang bermaksud sesuatu yang telah berlalu, peristiwa silam dan sejarah. Manakala Logos pula bermaksud menghurai, merungkai dan menyampaikan. Arkeologi juga terbahagi kepada 2 sub arkeologi iaitu arkeologi berdasarkan latar masa atau tempat dan ia dikenali sebagai prehistoric archeology, medieval archeology, African archeology atau Australian archeology. Manakala sub arkeologi mengikut disiplin antaranya dikenali seperti maritim archeology, aerial archeology, archeozoology, military archeology, forensic archeology, aviation archeology, ethno archeology, linguistic archeology, industrial archeology dan bioarcheology. Ini hanyalah sekadar beberapa nama bagi menunjukkan bidang arkeologi ini amat luas skopnya jika kita ingin mendalami bidangnya.
Penulis ingin berkongsi mengenai bidang arkeologi ketenteraan ataupun lebih sinonim dikalangan pengamal arkeologi sebagai military archeology. Bidang ini masih lagi baru khususnya di Malaysia lantaran penerokaannya yang amat kurang sama ada dari segi penguatkuasaan, pengamal dan juga peruntukan perundangan yang tidak spesifik berkaitan artifak ketenteraan atau war relic. Ini diakui sendiri oleh beberapa ahli akademik semasa penulis membentangkan proposal pengajian Sarjana pada penghujung tahun 2010. Antaranya Profesor Emeritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman yang mencadangkan penulis memilih military archeology sebagai subjek kajian kerana beliau tahu saya aktif menjalankan kerja penyelidikan lapangan. Kebetulan pula pada tahun tersebut, siri dokumentari Ekspedisi Gariswaktu sedang ditayangkan di kaca televisyen dan mendapat maklum balas yang baik dari masyarakat. Dokumentari ini merupakan usaha eksplorasi Tim Penyelidikan Muzium TD ke seluruh negara menjejak tinggalan sejarah ketenteraan negara. Antara kata-kata beliau ialah “Ya kita mempunyai ahli dan pakar arkeologi tetapi kami tidak arif melibatkan aspek arkeologi tentera, adalah suatu yang dialukan jika pihak tentera sendiri aktif dalam melaksanakan kepentingannya dengan kerjasama dan bimbingan pakar arkeologi nescaya kita akan mempunyai pakar arkeologi ketenteraan suatu hari nanti..”. Ia umpama kata-kata azimat dan perangsang dari seorang arkeologis tersohor negara untuk penulis terus menjalankan aktiviti arkeologi ketenteraan secara berterusan.
Kembali kepada dunia arkeologi, mungkin ramai yang tidak sedar, semasa perkembangan awal bidang arkeologi ketenteraan ini, ia banyak dipelopori dari kalangan anggota tentera sendiri. Mungkin ramai yang tidak mengenali siapa Leftenan Kolonel Thomas Edward Lawrence? Tetapi jika disebut ‘Lawrence of Arabia’ semestinya ramai dari kita mengingatinya dimana beliau merupakan watak utama filem epic historical drama yang mendapat box office 70 juta dollar pada tahun 1962!. Tetapi secara realitinya beliau telah melakukan kerja-kerja survei arkeologi ketenteraan dan perisikan ketenteraan di Gurun Negev pada tahun 1914 menerusi Palestine Exploration Fund. Brigedier Sir Robert Eric Mortimer Wheeler pula antara pegawai Tentera British yang berjaya melakukan operasi arkeologi ketenteraan di tapak kubu pertahanan prasejarah Maiden Castle di United Kingdom berusia sekitar tahun 450-300 Sebelum Masehi. Nama Leftenan Kolonel William Farquhar dan Kapten D.H Stevenson misalnya antara watak yang terlibat mengenai prasasti Singapura pada tahun 1800an, Kolonel James Low pula antara penyelidik Tentera British yang menjumpai prasasti Kedah Tua (Buddhagupta), beliau juga merupakan antara British Malayanist yang menjalankan penyelidikan Gangga Negara di Beruas. Ini adalah sekadar beberapa nama yang melibatkan anggota tentera dalam dunia arkeologi.
Arkeologi ketenteraan merupakan salah satu disiplin arkeologi dan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Di England misalnya, ia mula mendapat perhatian profesional dan pakar arkeologi pada awal 1990an dalam merungkaikan penyiasatan tapak kubu perang. Ia juga menjadi satu cabaran kepada ahli arkeologi, kurator atau pengurusan tapak bersejarah dalam menjalankan penyelidikan, mempamer dan menginterpretasi bukti arkeologi kepada pelawat misalnya tanpa mempunyai sokongan data kajian yang ilmiah dan saintifik. Menurut Gabriel Moshenska, pakar arkeologi dari University College London, senario peperangan moden memerlukan ahli arkeologi mencari pendekatan berbeza dalam menjalankan penyelidikan di tapak arkeologi ketenteraan. Bagi Tony Pollard, Pengarah di Center of Battlefield Archeology, University Glasgow, United Kingdom pula menyatakan arkeologi ketenteraan sebagai arkeologi konflik atau conflic archeology. Ia bermaksud menjalankan kerja-kerja arkeologi di kawasan pernah berlaku konflik secara langsung. Conflic archeology ini amat berharga kerana tapak arkeologinya mempunyai bukti sejarah peperangan yang kompleks dengan kandungan sosial yang meluas dalam memahami senario konflik peperangan. Mungkin juga ramai yang tidak sedar, United States Army sebenarnya turut mempunyai ahli arkeologi dalam organisasinya!. Timbul juga polemik persoalan kenapa perlunya arkeologis didalam organisasi ketenteraan. Menurut Section 106, National Historic Preservation Act dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mempunyai 111,000 tapak arkeologi yang terletak di kawasan tanah milik mereka berkeluasan 25 juta ekar. Kebanyakan ahli akademik sendiri tidak menyedari kewujudannya, misalnya instalasi fasiliti ketenteraan mempunyai kemudahan kuratorial dalam aspek pengurusan artifak bermula era Paleo-Indian sehinggalah penglibatan operasi ketenteraan di abad ke 20.
OBJEKTIF PENYELIDIKAN ARKEOLOGI KETENTERAAN
Untuk mengaitkan kenapa artikel ini dihasilkan, maka penulis ingin menarik pembaca untuk melihat sejauh mana relevannya arkeologi ketenteraan ini kepada pasukan tentera. Jika dilihat kepada peranan institusi muzium sebagai cabinet of curiosities yang merupakan satu keperluan sebagai pusat pembelajaran dan penyebaran ilmu pengetahuan berlandaskan disiplin permuziuman atau muziologi. Ia meliputi aspek penyelidikan, pengumpulan koleksi, pemeliharaan, pemuliharaan, pemugaran dan pameran menjadikan bidang arkeologi amat sinonim dengan institusi muzium. Diawal penubuhan Muzium TD pada tahun 2001, antara masalah utama dihadapi ialah untuk mendapatkan koleksi artifak berkaitan sejarah Perang Dunia Kedua bagi pengisian segmen pameran dalamannya. Kekurangan koleksi ini memaksa Tim Penyelidik menjalankan aktiviti penyelidikan arkeologi secara aktif bagi mendapatkan artifak yang signifikan untuk mengisi pengisian pameran dalaman Muzium TD. Panglima Tentera Darat sendiri pada ketika itu amat menitik beratkan usaha pemugaran warisan ketenteraan dan penulis sebagai pegawai pameran telah diberi tanggungjawab untuk memberi maklumbalas setiap 2 minggu mengenai kemajuan pelaksanaan aktiviti kajian lapangan. Pada ketika ini tumpuan hanyalah kepada usaha pencarian artifak semata-mata tanpa menekan kepentingan disiplin arkeologi yang amat luas untuk diterokai. Namun dengan usaha kerdil Tim Penyelidik Muzium TD berjaya juga menemui sejumlah 8 koleksi Perang Dunia Kedua di hutan belantara dengan anggaran nilai koleksi RM2.25 juta!. Kesemua koleksi ini boleh dilihat di Muzium TD pada masa ini.
Melalui pelaksanaan beberapa projek penyelidikan dan kerja arkeologi lapangan oleh pihak Muzium TD dari masa kesemasa, pendedahan kepada kepelbagaian kursus kemahiran seperti asas arkeologi, forensik arkeologi, kolaborasi agensi seperti Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Agensi Nuklear Malaysia, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia serta bersama-sama dengan pakar arkeologi tanah air menjadikan pelaksanaan projek lapangan oleh Tim Penyelidik Muzium TD diperakui sebagai sebahagian pengamal arkeologi di Malaysia. Kerjasama bersama pihak Kerajaan British pada tahun 2008 dan 2009 bagi misi eskavasi rangka manusia khususnya pesawat Dakota C47 KN630 dan pesawat B24 Liberator KL654 merupakan titik tolak penyelidik Muzium TD untuk mulai serius mempunyai Tim Arkeologi yang lengkap dari segi keanggotaan, kepakaran dan peralatan. Penyelidikan pesawat B24 Liberator KH326 bersama pihak Kerajaan Kanada yang terhempas di kawasan Gubir pada tahun 1945 juga telah membuka lembaran kerjasama baru walaupun tapak kajian tercemar teruk sewaktu operasi ketenteraan menghapuskan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) melalui operasi pengeboman kawasan. Faktor pencerobohan penduduk Thailand juga turut dikesan di tapak kajian yang mengambil rangka pesawat sebagai besi buruk untuk dijual. Fakta ini adalah berdasarkan pemerhatian dan perjumpaan bukti lapangan oleh penulis di tapak lokasi nahas.
Operasi Gangga yang dijalankan pada tahun 2015 bersama pihak Defense POW/MIA Accounting Agency (DPAA) Amerika Syarikat bagi misi eskavasi rangka manusia krew pesawat Dakota C47B yang terhempas di Gunung Bubu, Beruas, Perak telah memberi tanda aras terhadap pelaksanaan military archeology di Malaysia. Ini kerana ia telah membuktikan kemampuan Tim Penyelidik Muzium TD melalui kolaborasi agensi dan kepakaran seperti pakar forensik ATM, Kementerian Kesihatan Malaysia, pakar arkeologi dari PPAG USM, pakar disaster environmental impact assessment dari Universiti Sultan Zainal Abidin dan pakar remote sensing bagi proses cerapan data geospatial. Kolaborasi ini telah mewujudkan penerimaan bidang arkeologi ketenteraan sebagai satu disiplin yang diterima pakar dan kesinambungan. Kejayaan pelaksanaannya turut mendapat pengiktirafan Presiden Barack Obama melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Pemangku Pengarah Muzium TD. Pengiktirafan ini bukar sekadar kepada institusi Muzium TD sahaja malah kepada organisasi ATM secara keseluruhan dan tidak keterlaluan untuk pengiktirafan Malaysia amnya.
Berdasar latar masa dan pelaksanaan beberapa misi penyelidikan ini, objektifnyadikembangkan dari semata-mata pencarian artifak perang kepada pelaksanaan piawai sains arkeologi termasuk menjadikan ia sebagai satu kaedah promosi disiplin arkeologi kepada masyarakat. Namun pelaksanaannya masih menfokuskan kepada usaha mendokumentasi dan carilamat bukti-bukti tinggalan samada bagi tujuan penyiasatan kejadian ataupun mencari dan menyelamatkan bukti fizikal samada rangka manusia mahupun peralatan strategik ketenteraan berdasarkan kekangan faktor geran penyelidikan yang terhad. Ringkasan objektif utama pelaksanaan penyelidikan arkeologi ketenteraan oleh Muzium TD dapat digariskan seperti berikut:
- Mengesan sebarang ancaman kewujudan Unexploded Explosive Ordnance (UXO) di tapak penyelidikan sebagai langkah keselamatan mengambil kira kebanyakkan tapak arkeologi berkaitan ketenteraan terdedah kepada bahaya letupan dan jerangkap samar samada dari alat yang ditinggalkan samada sengaja atau tidak sengaja.
- Melaksanakan kerja geosurvey menggunakan sekurang-kurang dua kaedah aplikasi geofizik bagi mengesan kewujudan struktur, anomali samada peralatan, persenjataan, dokumen atau rangka manusia yang tertanam di impact area atau di tapak arkeologi.
- Untuk mencari dan menyelamatkan artifak ketenteraan mengikut prosedur dan tatacara etika arkeologi serta forensik demi memelihara kepentingan kajian dalam segala aspek.
- Untuk mendokumentasi keseluruhan perlaksanaan kajian dalam bentuk dokumentasi audio visual bagi kegunaan arkib, tayagan auditorium Muzium TD dan tayangan media.
PERANAN MUZIUM TD DALAM MEMARTABATKAN SEJARAH KETENTERAAN MELALUI AKTIVITI ARKEOLOGI KETENTERAAN
Jika dilihat kepada piagam penubuhan Muzium TD iaitu untuk menjadi sebuah institusi terulung bagi memartabatkan kepentingan sejarah ketenteraan negara melalui aktiviti permuziuman dan pengarkiban. Pada masa kini, institusi Muzium TD merupakan satu-satunya agensi tunggal yang berperanan aktif menjalankan aktiviti penyelidikan lapangan berkaitan kepentingan sejarah ketenteraan negara. Pelaksanaannya secara profesional dan kolaborasi mampu mempamerkan imej profesional warga Kementerian Pertahanan dan ATM secara langsung disamping imej Malaysia yang komited dalam melestarikan kepentingan sejarah ketenteraannya secara holistik yang diperakui antarabangsa. Ia juga sesuai dengan mendidik masyarakat kita agar mempunyai jati diri dan semangat patriotik sesuai dengan petikan kata mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal (B) iaitu menjadikan patriotrisme as a way of life. Penulis juga pernah mendapat pendedahan penerbitan Single Camera Production (SCP) sewaktu mengikuti latihan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), pendedahan ini membolehkan penulis melaksanakan transformasi kreatif bagaimana mendekatkan sejarah ketenteraan kepada masyarakat. Siri aktiviti penyelidikan lapangan dengan nama Ekspedisi Garis Waktu (EGW) ini berkonsepkan siri dokumentari santai bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai peri penting menjaga nilai sejarah ketenteraan. Ia amat bersesuaian sebagai satu pendekatan mempromosikan Muzium TD dan komitmen ATM dan Kementerian Pertahanan secara langsung berkaitan usaha memartabatkan sejarah ketenteraan di Malaysia. Siri Dokumentari EGW ini telah ditayangkan di TV 1 pada 2010, 2011, 2013 dan 2014 manakala TV Al Hijrah pada tahun 2012. Ia memberi indikasi bahawa EGW amat diterima oleh masyarakat yang kekurangan bahan sejarah berorientasikan sejarah ketenteraan. Pelaksanaan EGW juga mendapat pengiktirafan TD apabila mendapat Johan bagi Anugerah Pengurusan dan Inovasi TD Tahun 2013 bagi Kategori Inovasi Pengurusan Projek. Secara umumnya EGW merupakan salah satu usaha inovasi kreatif yang telah dilaksanakan oleh TD dalam memartabatkan sejarah ketenteraan negara di samping mempromosikan imej Muzium TD sebagai satu institusi permuziuman yang kredibel dan profesional dalam ruang lingkupnya. Ringkasnya EGW ialah satu usaha untuk mendokumentasikan sejarah ketenteraan negara berdasarkan 3 faktor berikut:
- Menjejak. Penjejakan semula terhadap tapak sejarah yang signifikan kepada sejarah ketenteraan seperti medan perang, war relic, monumen serta anggota-anggota yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai kisah perjuangan.
- Menganalisa. Penemuan kepada penjejakan akan membawa kepada perkara yang perlu dianalisa, dikaji dan didokumentasikan. Perlaksanaan ini akan mengabungkan pelbagai kepakaran rentas disiplin seperti arkeologi, geologi, forensik, kejuruteraan forensik dalam dan luar negara demi memastikan proses analisa adalah menggunakan kaedah saintifik dan diperakui.
- Merungkai. Hasil kajian akan dirungkaikan dalam bentuk kesimpulan yang mudah difahami agar ianya menjadik rujukan di masa hadapan meliputi produk seperti program TV, DVD, buku, jurnal, laman sesawang dan pameran.
Antara penyelidikan lapangan yang telah dijalankan oleh Muzium TD dan menarik perhatian masyarakat adalah antaranya penyelidikan Kem Tentera Jepun di Institut Kemahiran Belia Negara Dusun Tua, Selangor pada tahun 2002 sehingga 2004. Kajian ini amat menarik kerana penemuannya membawa penulis kepada frasa ancaman keselamatan kerana aktiviti kajian telah menganggu kepentingan pihak berkepentingan. Tempoh penyelidikan yang agak panjang juga menjadi masyarakat setempat memberi gelaran Tim Penyelidik Muzium TD sebagai ‘Kumpulan Askar Gila’. Pengalaman meneroka penempatan kubu rahsia komunis di Dabong, Kelantan memberi pengalaman baru kepada penulis apabila menyaksikan tanda-tanda rahsia dan bagaimana jerangkap samar dibuat bagi memerangkap pasukan keselamatan. Secara tidak sengaja juga penulis menjejak penemuan penempatan Tentera Jepun bila menemui tanda-tanda berasaskan masuskrip kuno Kung di lokasi kubu rahsia komunis di Titi, Negeri Sembilan. Parti Komunis Malaya (PKM) tidak pernah menggunakan kaedah sebegini sepanjang pengetahuan penulis. Penemuan ini menjadi agak kontroversi kerana masyarakat setempat telah selesa dengan panggilan terowong komunis. Laporan Special Branch juga menyebut ia sebagai terowong komunis, namun bukti arkeologi yang ditemui tidak boleh disangkal.
Pengalaman kolaborasi antarabangsa pertama ialah sewaktu melaksana misi eskavasi di tapak penyelidikan B24 Liberator KL654 di Gunung Telapak Burok bersama pihak National Ex-Service Association (NESA) United Kingdom. Misi ini turut diwakili Kedutaan British di Kuala Lumpur dan Kumpulan Sejarah Malaya. Ia melibatkan proses eskavasi saintifik dan dilaksanakan secara prosedur dan mendapat perakuan wakil Kedutaan British yang diadakan pada 2007 dan 2009. Operasi Dakota yang dilaksanakan pada tahun 2008 bagi misi eskavasi rangka krew pesawat Dakota C47 Royal Air Force (RAF) British di Gua Musang, Kelantan. Dengan penglibatan pihak RAF dan Kerajaan British, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan, PPAG USM, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), IPFN, formasi Markas 8 Briged serta pakar forensik odontologi ATM. Selain itu, Muzium TD juga melaksanakan proses dokumentasi dan site mapping keatas taburan sistem pertahanan British sewaktu Perang Dunia Kedua. Menyusuri Sungai Kota Tinggi menyaksikan bagaimana pola pertahanan bagi menyekat kemaraan Tentera Jepun dengan binaan kubu pertahanan atau pillbox di sepanjang sungai yang membawa kepada pertahanan Penggerang. Ia secara langsung merupakan jaringan binaan pertahanan bagi mempertahankan Singapura menurut perancangan pertahanan British. Tidak ketinggalan juga pola pertahanan Pantai Timur dan Pantai Barat yang membawa Tim Penyelidikan Muzium TD menjelajah ke seluruh negara menjejak bukti-bukti peperangan negara. Begitu juga apabila Kerajaan Negeri Kelantan memohon bantuan Kementerian Pertahanan agar Muzium TD membantu melaksanakan kajian penemuan terowong bawah tanah di Palekbang, Tumpat. Pelaksanaan kajian di Palekbang ini menyaksikan 3 kaedah geofizik diaplikasikan melibatkan magnetometer data logging, geosurvey electromagnetic (GeM) dan aplikasi resitivity turut digunakan sebagai aplikasi sokongan.
Penulis juga sering ditanya samada terdapat kejadian pelik atau mistik sepanjang melaksanakan penyelidikan dan eskavasi lapangan. Tidak menafikan kejadian seumpama berlaku namun masih meletak misi penyelidikan sebagai fokus utama bagi memastikan kejayaan misi. Peristiwa kegagalan peralatan gagal berfungsi adalah perkara biasa, kereta kebal hilang semasa misi mengeluarkan dari tapak kajian. Namun penulis mengakui kajian Operasi Dakota antara lokasi paling meriah gangguan mistiknya tanpa mengira siang dan malam dan boleh dikatakan separuh dari peserta ekspedisi mengalaminya.
Usaha menjadikan disiplin arkeologi sebagai tool mendekatkan masyarakat dengan sejarah ketenteraan dilaksanakan dengan ikon ARCHAIOS BATTLEFIELD sesuai dengan pendekatan military archeology sebagai platform. Ia melibatkan kolaborasi antarabangsa dan rentas disiplin dengan penggunaan pelbagai teknologi dan kepakaran seperti geo fizik, remote sensing, science forensic, defence strategic, battlefield archeology, aviation archeology dan engineering forensic dari pelbagai negara. Berdasarkan pengalaman penulis bersama pakar akademik dan ahli arkeologi negara, komitmen dan peranan yang telah dilakukan oleh Muzium TD dalam mengembang dan memperkasakan bidang military archeology di Malaysia adalah suatu senario amat dialu-alukan dalam mengisi kekurangan pengamal military archeology tempatan.
Kini institusi Muzium TD merupakan antara agensi tunggal yang menjalankan aktiviti penerokaan arkeologi apabila diberi kepercayaan oleh Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan Operasi Gangga dan Operasi Reunites. Ia juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pertahanan yang komited untuk memperkasakan bidang arkeologi ketenteraan di Malaysia. Kesediaan pihak DPAA US menjalinkan kerjasama dengan Muzium TD khususnya dalam kerjasama penyelidikan lapangan dan arkeologi serantau adalah merupakan indikasi kepada Muzium TD dan Kementerian Pertahanan untuk terus komited dan merealisasikan aspirasi mewujudkan projek Malaysian War Memorial dan akta perundangan spesifik berkaitan sejarah dan warisan ketenteraan negara.
PERUNTUKAN PERUNDANGAN ATAU DASAR BERKAITAN SEJARAH DAN WARISAN KETENTERAAN
Di Malaysia, secara umumnya aspek berkaitan sejarah dan warisan termaktub di bawah Akta Warisan 2005 (Akta 645) yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Warisan Negara (JWN) yang bertanggungjawab sepenuhnya. Walau pun kefungsian dan keberkesanan akta ini turut diperdebatkan di kalangan ahli akademik khususnya dalam aspek penguatkuasaan namun sekurang-kurang kewujudan akta ini membantu usaha pihak berkuasa memugar kepentingan sejarah dan warisan negara. Akta ini juga memaksa Jabatan Muzium dan Antikuiti distruktur semula sebagai Jabatan Muzium Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.
Bagi pelaksanaan penyelidikan sejarah ketenteraan pula, beberapa faktor perlu dilihat dan diperhalusi kerana peruntukan akta sedia ada amat umum dan longgar. Sejarah dan warisan ketenteraan tidak sahaja dilihat dari sudut kepentingan sejarahnya sahaja malah kepentingan strategik ketenteraannya yang tidak disentuh dan dinyatakan secara spesifik di dalam Akta 645 juga perlu diambil kira. Angkatan Tentera Amerika Syarikat misalnya menggariskan sejarah ketenteraan sebagai memori kolektif unit tentera bagi tujuan mempelajari kisah silam operasi ketenteraan bagi tujuan pembelajaran dan penambahbaikan kepada komander dan pemerintah tentera serta penghasilan doktrin peperangan. Melihat kepada subjek kajian sejarah ketenteraan di Malaysia, semestinya akan melibatkan implikasi perundangan antarabangsa dan negara luar seperti United Kingdom, India, New Zealand, Fiji, Jepun, Australia, Kanada, Amerika Syarikat, Jerman, Russia dan Perancis yang pernah mendominasi Tanah Melayu semenjak Perang Dunia Pertama sehinggalah era konfrontasi. Justeru sebarang perundangan berkaitan relik perang dari negara terbabit perlu diperhalusi. Tidak dinafikan Akta 645 adalah mutlak namun dari aspek strategik ketenteraan dan diplomatik, beberapa kriteria perlu diperhalusi melibatkan keperluan peruntukan perundangan yang lebih spesifik. Bagi sesebuah organisasi ketenteraan, sejarah turut dilihat dan perlu diselidiki, dikaji dan dirungkai dari sudut doktrin strategik peperangan, penggunaan teknologi, taktik dan muslihat. Implikasi kepada deklarasi sebagai war grave bagi sesetengah lokasi sejarah ketenteraan perlu dihormati seperti lokasi karamnya Repulse dan Prince of Wales di perairan Kuantan. Penulis baru sahaja selesai melaksanakan misi exhumation and repatriation 32 rangka manusia warga Australia melalui Operasi Reunites melibatkan kerjasama Malaysia dan Australia. Pelaksanaan misi ini turut melibatkan implikasi perundangan antarabangsa seperti dinyatakan dalam Rule 115 of Customary International; Humanitarian Law (CIHL) iaitu “The dead must be disposed of in a respectful manner and their graves respected and properly maintained”. Chapter 35 (The Dead) pula menyatakan pihak yang terlibat perlu berusaha dalam memudah cara proses pemulangan mayat apabila dimohon oleh saudara atau Kerajaan. Manakala Articel 34(2) Protocol Additional to the Geneva Conflicts (Protocol 1) turut memberi kemungkinan bagi proses memindahkan mayat ke negara asal. Pelaksanaan misi Operation Reunites turut melibatkan kolaborasi Agensi Nuklear Malaysia khususnya bagi membantu kerja-kerja geofizik bagi memberi dapatan data kedudukan sebenar kubur yang akan dieskavasi. Selain itu pakar forensik dari ATM dan DVI Malaysia turut mengembeling bahu dalam melaksanakan proses in-situ verification and identification sebagai satu benchmark di Malaysia. Dalam kaedah ini, International Police (Interpol Protocol) telah digunapakai dalam melaksanakan prosedur forensik dengan persetujuan pakar kedua negara. Justeru usaha Kementerian Pertahanan untuk memperkasakan perundangan berkaitan kepentingan pemugaran warisan ketenteraan ini perlu dilihat secara positif oleh semua pihak.
Penulis yang telah berkecimpung dengan aktiviti penyelidikan lapangan semenjak tahun 2002 telah banyak menyaksikan kepentingan sejarah ketenteraan khususnya era Perang Dunia di Sabah dan Sarawak yang dibawa keluar dari Malaysia secara halus kerana kurang kesedaran dan juga penguatkuasaan yang lemah agensi. Pihak Tim Penyelidikan Muzium TD sendiri pada tahun 2002 menerima laporan risikan mengenai penyeludupan keluar 7 buah kereta kebal Tentera Jepun di Johor pada tahun 2001. Apabila semakan balas dibuat dengan pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti serta pihak Kastam Diraja Malaysia perkara tiada dalam rekod dan pengetahuan jabatan masing-masing. Begitu juga dengan aktiviti penjarahan secara haram oleh pencari harta karun yang membongkar penempatan lama tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Aktiviti ini yang dilakukan dengan mengenepikan kepentingan strategik serta tidak mengikuti kod amalan arkeologi telah merosakkan tapak sejarah secara langsung dan merugikan kepentingan sejarah ketenteraan negara. Begitu juga dengan kegiatan metal detector (MD) dan penyelidik bebas yang agak aktif dewasa ini. Penulis sebenarnya kagum dengan semangat kumpulan ini namun menyarankan agar mereka mengaplikasikan disiplin arkeologi apabila melaksanakan projek penyelidikan mahupun kerja-kerja MD, sekurang-kurangnya ia boleh membantu dalam menyumbang dapatan data apabila ahli arkeologi melaksanakan projek eskavasi.
Pihak Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) pada penghujung tahun 2015 berjaya menahan bot nelayan Vietnam yang mencuri besi buruk dari kapal perang British, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales. Apabila mahkamah memutuskan untuk memulangkan artifak kedua kapal perang ini ke lokasi asal. Namun tindakan proaktif Muzium TD membolehkan Kementerian Pertahanan bertindak dan memohon kepada Kerajaan British agar war relic ini ditempatkan di Muzium TD dan Muzium Negara, sekurang-kurangnya ia menjadi bukti peperangan Dunia Kedua negara kita. Naval Heritage Board UK akhirnya memberi kebenaran dan hak kepada Muzium TD untuk mengurus kesemua war relic ini bagi tujuan pameran di muzium. Kedua kapal perang British ini merupakan aset utama British semasa perang Dunia Kedua meletus di Tanah Melayu.
Secara ringkasnya boleh dikatakan peruntukan dasar dan perundangan yang spesifik berkaitan aktiviti penyelidikan dan pemugaran sejarah ketenteraan di Malaysia boleh dikatakan TIADA. Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Bilangan 12 Tahun 1981 dan Bilangan 5 Tahun 1989 hanya menyentuh mengenai pengurusan rekod sejarah dan Lembaga Muzium Angkatan Tentera. Peruntukan Akta 645 pula tidak menyentuh kepentingan sejarah dan warisan ketenteraan secara strategik dan masih terdapat kelompongan yang boleh dan perlu ditambah baik dengan melihat kod amalan contoh negara maju. Ministry of Defence Police (MDP) Kementerian Pertahanan United Kingdom (MoD UK) misalnya memainkan peranan menguatkuasa kepentingan sejarah ketenteraan yang dilindungi di bawah Protection of Wreck Act 1973 seperti kes pencerobohan rangka kapal perang Coronation. Sebarang kelulusan permit eskavasi oleh National Heritage United Kingdom akan dirujuk kepada pihak MoD UK terlebih dahulu sebelum pengeluaran permit diberi kepada pemohon. Semasa tahun pertama Perang Iraq meletus, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat tidak menyedari kepentingan tapak arkeologi dan sensitivitinya dimana mereka menjalankan operasi ketenteraan. Sehinggalah ahli arkeologi Jabatan Pertahanan dilibatkan dalam aturgerak operasi diketuai oleh Dr Laurie Rush untuk memberi garis panduan bagi perlindungan harta warisan budaya dalam mana-mana operasi ketenteraan di luar negara. Sehinggalah pada Mac 2009, Kerajaan Amerika Syarikat mengesahkan peruntukan 1954 Hague Convention on the Protection of Cultural Property in the Event of Armed Conflict with United Nation dan mencari pendekatan terbaik kearah usaha melindungi kepentingan warisan budaya sewaktu menjalankan misi operasi ketenteraan.
Berdasarkan pengalaman penulis yang menjalankan penyelidikan ilmiah berkaitan peruntukan perundangan sedia ada sama ada dalam ATM mahupun undang-undang sedia ada berkaitan kepentingan memelihara dan memulihara sejarah dan warisan ketenteraan negara amatlah mendukacitakan mendapati seramai 33 responden (52.38%) memilih penyataan sangat setuju dan 25 responden (39.69%) memilih setuju polisi dan dasar spesifik diwujudkan demi memperkasakan kepentingannya.
KESIMPULAN
Nisbah arkeologis di Malaysia hanya 0.00008929% dari jumlah penduduk Malaysia dengan anggaran +-28 juta penduduk, suatu angka yang merungsingkan dikalangan pengamal arkeologi (Asyaari Muhammad:2010). Sub disiplin arkeologi ketenteraan pula tidak begitu diterokai secara serius di Malaysia mengambil kira faktor usia sejarah dan warisan ketenteraan di Malaysia baru mencecah 75 tahun jika melihat kepada subjek bahan Perang Dunia Kedua. Justeru, Tim Penyelidik Muzium TD perlu serius berusaha mengisi kelompongan sebagai sebahagian pengamal arkeologi negara dengan bantuan dan sokongan pakar-pakar arkeologi semestinya. Ia juga sesuai dengan peranan institusi muzium dalam melestarikan projek arkeologi dengan mencari penyelesaian terhadap perkembangan ilmu serta medium dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat walaupun ia menjurus kepada penugasan Jabatan Warisan Negara sesuai dengan Akta Warisan Negara 2005 (Kamarul Baharin:2010).
Namun Muzium TD perlu proaktif dalam memartabatkan sejarah ketenteraan negara sesuai dengan aspirasi misi dan visinya, semenjak 2002 sehingga 2015 sentiasa padat dengan jadual penyelidikan lapangan. Pelaksanaan penyelidikan lapangan dan kerja-kerja arkeologi oleh Muzium TD dengan kolaborasi pelbagai agensi dan institusi pendidikan perlu berterusan serta sebagai proses mendekatkan sejarah dan warisan ketenteraan kepada minda masyarakat melalui penggunaan media juga perlu dilakukan demi menyuntik masyarakat agar peka dan bersama Kementerian Pertahanan. Komitmen padu pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan dan ATM seperti usaha dilakukan YB Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Mohd Johari bin Baharum yang turut turun padang semasa pelaksanaan Op Gangga dan Op Reunites adalah sesuatu yang memangkinkan kelestariannya. Begitu juga dengan komitmen padu Mej Jen Dato’ Mohd Ilham Haron, Fasilitator Op Dakota/Op Gangga/Op Reunites dan Mej Jen Dato’ Tengku Ahmad Noor bin Tuan Chik selaku Ketua Exhumation Group semasa Op Reunites yang sentiasa turun padang membuktikan komitmen pimpinan atasan perlu dalam menjamin kelestarian pelaksanaan misi tersebut.
Penulis melihat senario ini memberi kesan positif kepada Kementerian Pertahanan dan ATM terhadap komitmen kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sejarah dan warisan ketenteraan negara selain memperkasakan bidang arkeologi di negara kita untuk berkembang lebih jauh. Penerokaan arkeologi ketenteraan ini juga turut mengeratkan perhubungan sesama pengamal arkeologi dalam dan luar negara dalam satu platform gabungan rentas disiplin dan kesannya dapat dilihat melalui kesediaan Amerika Syarikat melalui DPAA yang bersetuju mewujudkan kerjasama lebih erat melalui memorandum bersama dengan Muzium TD dibawah Mesyuarat Bilateral Training And Consultative Group (BITACG). Selain itu, komitmen padu dan kepakaran ini juga boleh diterjemahkan kepada masyarakat melalui peranan media yang boleh memberi imej tahap profesionalisme warga ATM selain bersifat promosi. Ia juga diharap dapat mengembangkan sub disiplin arkeologi ketenteraan ke tahap yang lebih baik dan terbela kepentingannya selain memberi peluang penerokaan penggunaan sains dan teknologi terbaru dalam membantu penyelidikan geosurvey arkeologi seperti Resonance Frequency Geo Technology (RFGT).