KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN), Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menghadiri serta menyampaikan Sijil Anugerah Kecemerlangan kepada 653 pelajar cemerlang dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-26 Tahun 2016 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan pada 8 Nov 2016.
Majlis diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada anak-anak anggota ATM yang memperolehi keputusan cemerlang dalam bidang akademik di peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk menjadikan ia sebagai satu galakan atau insentif kepada semua anak-anak anggota ATM agar lebih maju ke depan.
Dalam ucapan Menhan, beliau menyatakan bahawa anugerah ini merupakan salah satu majlis yang dirancang untuk mendukung usaha Kementerian Pertahanan dalam memastikan kebajikan warga ATM serta veteran sentiasa terjaga setelah sumbangan yang dicurahkan mereka kepada perkhidmatan sememangnya amatlah perlu dihargai serta disanjung tinggi selain sebagai penghargaan kepada anggota ATM walaupun sibuk bertugas tetapi tidak melupakan tanggungjawab dengan memastikan pendidikan anak-anak mereka tidak terabai.
‘Sesungguhnya pendidikan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan sejak sekian lamanya kerana dengan pendidikan, manusia keluar dari kancah kemunduran demi memajukan diri sekaligus berupaya memacu pembangunan negara ke arah masa depan yang mapan’,ujar Menhan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato’ seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Hj Affendi Buang.