NEGERI SEMBILAN: Seramai 101 Pegawai Kadet Graduan dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan terlibat dalam Perbarisan Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj Zulkifeli Mohd Zain di Padang Kawad Akademi Tentera Darat pada 10 Dis 2016.
Perbarisan diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan Muhammad Syaif Hanippudin dan pada masa yang sama dianugerahkan sebagai Penuntut Pegawai Kadet Graduan Terbaik Keseluruhan TD, manakala anugerah Penuntut Kadet Graduan Terbaik Akademik TD adalah Pegawai Kadet Sarjan Imran Omar.
Sementara itu Penuntut Keseluruhan Terbaik Pegawai Kadet Graduan TLDM dianugerahkan kepada Pegawai Kadet Graduan Lugman Pirmang dan Penuntut Keseluruhan Terbaik Pegawai Kadet Graduan TUDM disandang oleh Pegawai Rendah Kanan Zulfadhli Abdul Malik.
PAT dalam ucapannya menyeru kepada Pegawai Kadet Graduan agar tidak menjadikan profession ketenteraan sebagai tujuan atau destinasi bagi mencapai kekayaan material, sebaliknya kerjaya ini menuntut satu tekad dan cita-cita yang kuat untuk mempertahankan keutuhan agama, bangsa dan negara malahan berharap agar pemimpin muda ATM sentiasa bersikap komited dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jujur dan ikhlas.
“Sebagai seorang pemimpin yang professional dan berwibawa, kita perlulah membuktikan bahawa latihan yang diikuti, kemahiran, pengalaman serta kelulusan akademik yang dimiliki dapat menyumbang kepada kualiti kepimpinan yang mana membolehkan kita mampu menjadi Role Model kepada anggota yang dipimpin”, ujar PAT.
Sebaik sahaja selesai perbarisan, majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat pegawai kadet graduan yang dimulai dengan Tentera Darat seramai 45 Pegawai Kadet Graduan 2016 diikuti Pegawai Kadet Graduan Tentera Laut Diraja Malaysia Pengambilan Ke-24 berkekuatan 18 pegawai kadet dan Pegawai Kadet Graduan Tentera Udara Diraja Malaysia berjumlah 38 pegawai kadet.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Dato’ Sri Roslan Saad.
Gambar: Kapt Ahmad Farhan Hassan, PW II Mohd Shahril Mat Ali dan Sjn Vijay Gaundar Arikrishnan