PERAK: “Hari ini hampir lima dekad 2 Div selaku ketumbukan tempur dapat melaksanakan tugas menentukan kedaulatan tanah air di utara semenanjung dari Kelantan hingga ke Perlis terpelihara selain membantu kerajaan menangani bencana serta pembangunan untuk kelangsungan rakyat,” kata Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Mohd Ramli Jaafar semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun 2 Divisyen Ke-48 di Padang Kawad Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Div Taiping pada 24 Jan 2017.
Selain itu, beliau mengingatkan kepada warga 2 Div bahawa generasi penerus haruslah mengambil iktibar dan menyorok kembali sejarah lampau serta mengingati jasa dan pergorbanan perwira terdahulu yang mana atas perkembangan geo-strategik semasa dan situasi keselamatan masa kini, warga 2 Div hendaklah dalam kesiagaan yang tinggi serta perlu sentiasa kredibel dan berdaya saing.
Beliau juga mengatakan pada tahun ini adalah langkah berjimat cermat bagi 2 Div kerana peruntukan telah dikurangkan dan budaya senggaraan perlu dirancang agar segala tugas-tugas utama tidak terjejas.
Acara diteruskan dengan Penyampaian Anugerah Sukan 2 Div bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati yang disandang oleh Bdr Mohd Shahril Awang dari 3 RAD serta Kpl Siti Rahaya Nasir dari 72 Wksp Div manakala Anugerah Inovasi Pemerintahan Logistik dimenangi oleh pasukan 72 BOD dan 72 Bn KPD.
Perbarisan ini melibatkan 18 pegawai dan 516 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan dibawah naungan 2 Div diketuai oleh Lt Kol Mohd Faris Mahmor.
Turut hadir Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Dzulkarnain Ahmad, Panglima 8 Bgd, Brig Jen Nazari Abd Hadi, Panglima 30 Bgd, Brig Jen Dato Zainal Abidin dan wakil-wakil veteran Pulau Pinang serta Perak.