Panglima Angkatan Tentera Ke-19, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam Perintah Ulungnya menyeru setiap lapisan warga ATM untuk berdiri teguh dan berdiri sebaris bersama beliau agar dapat memperkasakan segala nilai teras demi mewujudkan sebuah organisasi yang diyakini oleh rakyat serta disegani di persada dunia dengan berteraskan empat teras iaitu:
Kita Adalah Satu. Keberkesanan serta kejayaan ATM adalah berpandukan kepada keupayaan untuk bekerjasama sebagai sesebuah entiti yang bersatu dan bersepadu. Titik tolak kesepaduan ini bermula dari akar umbi setiap perkhidmatan yang mengamalkan sifat taat setia kepada pemimpin serta yang dipimpin, disiplin, tradisi dan etos kepahlawanan tinggi yang menjadi asas perawakan seseorang anggota tentera. Justeru, saya menyeru kepada seluruh warga angkatan ini untuk bersama-sama saya menggembleng tenaga serta berusaha untuk mengukuhkan kesatuan, keutuhan dan kesepaduan yang wujud di antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan walaupun dalam keadaan yang berbeza. Perbezaan tidak seharusnya dijadikan halangan tetapi olahan mengikut acuan dan resipi yang betul, ia akan menjadi kekuatan kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Profesionalisme Tempa Kecemerlangan. Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa dipandang tinggi dan dihormati, adalah menjadi tanggungjawab setiap warga ATM untuk mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan yang telah diberi dengan memperkasakan tahap profesionalismne angkatan ini. Oleh yang demikian, adalah wajar bagi kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperlengkap dan menambahbaik kemampuan diri dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan diri. Iltizam ini apabila diterapkan dengan sepenuh hati akan menjadikan setiap individu berupaya mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan negara kepada kemampuan ATM dalam menangani pelbagai ancaman dan cabaran yang mendatang. Kejayaan kita amat bergantung kepada kelebihan ini.
Angkatan Ampuh. Perkembangan keselamatan anatarabangsa dan serantau memerlukan setiap komponen ATM untuk sentiasa mempertingkatkan kesiagaannya bagi menghadapi pelbagai kemungkinan. Kunci peningkatan kesiagaan ini adalah berpandukan kepada pembangunan modal insan yang digabungkan dengan pengurusan kelengkapan serta peralatan sedia ada dengan efektif dan efisien. Tahap kesiagaan boleh dicapai sekiranya ia dilakukan dengan baik, penuh beramanah dan penuh berintegriti. Keupayaan tinggi akan membolehkan ATM diatur gerak sehingga kejayaan milik kita yang mutlak.
Kita Insan Murni. Imej ATM yang terpuji sentiasa mendapat penghormatan daripada rakyat, kerajaan mahupun masyarakat antarabangsa. Keunggulan imej tersebut perlu menjadi tonggak kepada perwatakan murni setiap insan atau individu dalam angakatan ini yang berpasakkan nilai teras (core values) dan kod etika ATM. Justeru, setiap warga ATM perlu mempunyai mentaliti kelas pertama serta menumpukan kepada pembangunan nilai-nilai murni yang bersendikan kekuatan kerohanian, keberanian dan semangat berpasukan. Ini adalah faktor intangible atau yang mempengaruhi, yang bukan sahaja menyebabkan kita lebih ampuh tetapi satu angkatan dan kalangan insan yang dihormati.