KUALA LUMPUR: Seramai empat pegawai dan 10 Lain-Lain Pangkat yang terpilih mewakili Tentera Darat (TD) dalam Pertandingan Australia Army Skill At Arms Meeting (AASAM) menerima Jalur Gemilang dari Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di pejabat beliau pada 03 Mei 2017, sebagai simbol tim tersebut mewakili negara dalam acara tersebut.
AASAM 2017 merupakan pertandingan menembak tahunan bertaraf dunia yang bermula dari 5 Mei sehingga 26 Mei 2017 di Puckapunyal Military Area, Victoria, Australia dan tujuan utama AASAM 2017 diadakan adalah untuk meningkatkan keupayaan operasi tentera dalam pertempuran yang tertumpu kepada kemahiran dan pertandingan senjata, dimana kategori antarabangsa yang melibatkan peserta-peserta tentera dari seluruh dunia juga dipertandingkan. Sebanyak 20 negara yang bersaing khususnya dari negara Australia, New Zealand dan Indonesia yang memberikan persaingan yang hebat kepada tim menembak TD.
PTD menyerahkan Bendera Malaysia kepada ketua kontinjen tim TD, Lt Kol Roszaini Mohamad Alide. Keseluruhan tim terdiri daripada Lt Kol Mohammed Khir Joned sebagai jurulatih/jurubahasa, Mej Raymond Ungah Ak Jimbun sebagai pegawai tadbir, Kapt Khairul Asri Abd Ghani, SSjn Charlie Tay Lean Heng, SSjn Ahmad Sofi Abdul Azit,Sjn Anis Morsidi, Kpl Muhammad Lukman Hakim Mokhtar, Kpl Mohamad Khairul Rizal Jaafar, LKpl Muhamad Syazwan Ismail, LKpl Amrul Asraf Ayob, LKpl Mohamad Kamarul Ariffin Abd Rashid, LKpl Abd Rahim Ismail dan Pbt Haffiz Hassan.
PTD amat berharap agar Tim Menembak TD memperolehi kemenangan dan memberi persembahan yang terbaik semasa berada di Australia dengan memberi tumpuan dan fokus kepada pertandingan. “Kita bertanding untuk menang dan saya berharap agar saudara-saudara dapat memberikan keputusan yang terbaik untuk TD sekaligus mengharumkan nama Malaysia,” ujar beliau.
Turut hadir adalah Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Tengku Ahmad Noor Tuan Chik dan Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Nazir Mami.