[dropcap]“M[/dropcap]ohamad, you know what? All the muslim that died here die as a martyr”, ujar imam kumpulan Farah Aidid kepada PW II Mohamad secara berseloroh dan bangga. Mohamad pada ketika itu masih dalam keadaan bingung dek serangan hendap yang baru sahaja dihadapi oleh konvoinya sebentar tadi. Benak fikiran dan matanya masih tertumpu kepada mayat dan rakan-rakan sepasukan yang sedang terperosok kesakitan dihadapannya. Dalam keadaan itu terpaksa pula beliau melayan persoalan dan keangkuhan imam militan yang bangga akan taulannya mengecapi mati syahid diatas perjuangan mereka. “What syahid?”, Mohamad membuka bicara. Tersentak juga imam tersebut dengan kelantangan suara Mohamad. “Do you think what all of you have done are count as a matyr?”, terbeliak mata imam dan kolonel militia itu mendengar kata-kata Mohamad. “Meaning? Explain Mohamad”, ujar imam tersebut. Mohamad menekan keras dalam hatinya. Rasa beliau, sudah betul apa yang diajarkan dan difahaminya tentang ciri-ciri orang yang mati syahid sebagaimana yang digariskan dalam agama Islam. “Yes! Their death aren’t a syahid!”, tegas Mohamad sekali lagi. “Now you tell me imam, what is the characteristic of martyrdom? Is there stated anywhere that any death due to fighting among Muslims in taking power categorized as martyrs?”, Mohamad terus mengajukan soalan dengan berani dan tegas. Bukannya apa, perasaan geram beliau akibat serangan tadi masih belum pudar. Satu persatu babak-babak serangan hendap berputar di kepalanya bagaikan tayangan perdana.
Ke Kawasan Insiden Pertama
Petang itu, PW II Mohamad telah ditugaskan sebagai pemandu kepada Kolonel Fulvio Vezzalini, seorang pegawai kanan dari Itali untuk membawanya ke kawasan serangan APC di Pasar Bakara tempoh hari. Mohamad tanpa banyak bicara terus bersiap sedia untuk bergerak ke kawasan insiden yang telah mengorbankan sahabat seperjuangannya, Kpl Mat Aznan Awang baru sahaja dua minggu lepas. Jam menunjukkan 2.30 petang. Sekumpulan pacuan empat roda terdiri daripada tiga buah kenderaan dilihat mula bertolak ke destinasi dari Markas United Nation Operation in Somalia (UNOSOM). Masih segar di ingatan Mohamad bahawa kenderaan beliau merupakan kenderaan yang kedua di belakang kenderaan Kapten Ferdinando Salvati.
Sesampainya di destinasi, kesemua pegawai-pegawai Itali ini meneruskan tugasan yang diberikan. Mohamad hanya sekadar memerhatikan kerana beliau sendiri tidak tahu apakah penugasan yang diberikan kepada pegawai-pegawai ini. Baginya, hanya arahan untuk menjadi pemandu kepada pegawai kanan itu yang harus beliau laksanakan. Lain-lain perkara tidak harus dipersoalkan kerana beliau sedar akan peraturan sebagai seorang askar-askar yang terlatih. Pada pemahamannya, selagi ia tidak bertentangan dengan agama mahupun memudaratkan misi, persoalan yang remeh-temeh ini tidak harus dibangkitkan. “Okay Mohamad. We are done. Let’s get back to base”, ujar Kol Vezzalini. “Acknowledge sir!”, ujar Mohamad seraya mula menghidupkan enjin kenderaan yang dipandunya. “Mohamad, use the route where we came from just now. Please inform Capt Salvati”, arah Kol Vezzalini kepadanya. “Okay sir!”, balas Mohamad.
Namun begitu, terdetik dihatinya bahawa lain benar apa yang diajarkan kepada beliau semasa menentang komunis dahulu. Beliau masih ingat pesanan “orang lama” bahawa jangan sesekali melalui jalan yang sama kerana dikhuatiri musuh akan membuat serangan hendap. Tetapi, diteruskan juga perjalanan itu memandangkan ia adalah arahan yang sahih dan siapa diri beliau untuk mempersoalkannya. Mohamad terus memaklumkan kepada Kapt Salvati yang memandu kenderaan pertama. Perjalanan diteruskan.
Serangan Hendap
Konvoi itu mula melepasi Pasar Bakara. Keadaan pada masa itu amat tenang. Mohamad mula berasa senang hati dan meneruskan pemanduannya. Namun, sekali sekala matanya meliar juga ke kiri dan ke kanan memerhati keadaan sekeliling. Kumpulan itu kini tiba di sekitar kawasan Hotel Guled. Mohamad sedikit merasa lega kerana keadaan persekitaran laluan masih sama sebagaimana yang dilalui mereka sebentar tadi. Namun langit tidak selalu cerah, Mohamad terkejut apabila melihat kereta dihadapannya tiba-tiba memecut laju dan merempuh pokok.
Tidak sempat beliau sedar dari keadaan terpinga-pinga itu, terus berdesing telinganya apabila kenderaan beliau dihujani tembakan bertalu-talu. Terus Mohamad menjerit, “Sir! Get down! It’s an ambush. Get down sir!”. Dalam keadan hingar-bingar itu beliau ternampak sahabatnya SSjn Azman yang mengendalikan General Purpose Machine Gun (GPMG) di kenderaan hadapan tumbang jatuh daripada kenderaan. Keadaan semakin huru-hara. Mohamad semakin tertekan akibat tidak dapat melakukan apa-apa. Beliau yang merasakan bahawa keadaan itu akan menjadi semakin bahaya kepada dirinya dan Kol Vezzalini untuk terus berada dalam kenderaan tersebut memandangkan mereka berada di kawasan membunuh. “Sir! Let’s get out from the vehicle. Hurry up sir!”, jerit Mohamad yang sedaya upaya bersaing suaranya dengan bunyi tembakan musuh. “I cannot open the door! Mohamad! Mohamad! Help me!”, teriak Kol Vezzalini dengan nada suara yang panik. Mohamad terasa pelik kerana mustahil pintu itu rosak. Ketenangan fikiran Mohamad dalam situasi yang kelam kabut itu, beliau tiba-tiba teringat akan tabiat Kol Vezzalini yang sentiasa mengunci pintu apabila menaiki kenderaan. Mungkin kerana kekalutan dan kejutan yang dialaminya membuatkan beliau lupa bahawa dirinya sendiri yang mengunci pintu itu. Tanpa banyak bicara, Mohamad terus membuka kunci pintu dan menolak Kol Vezzalini keluar daripada kenderaan mereka disusuli dengan Mohamad dan dua lagi anggota renjer yang berada dalam kenderaan yang sama. Setelah Mohamad keluar, dilihat Sjn Zaidi yang menaiki kenderaan hadapan terbaring di pinggir kenderaan dengan kecederaan di bahagian pinggulnya. Zaidi yang ternampak Mohamad terus berteriak, “Cik! SSjn Azman sudah kena tembakan!”.
Mohamad terus mencari perlindungan di sebelah kanan tayar kenderaan. Dilihat keadaan sekitarnya. SSjn Azman sudah terbaring. Sjn Zaidi pula sedang giat menghubungi Markas UNOSOM bagi mendapatkan bantuan. Mohamad tahu ia merupakan tindakan yang sia-sia memandangkan alat komunikasi yang digunakan hanyalah walkie-talkie sahaja. Mana mungkin ia mampu menghubungi markas yang jauh dari kawasan serang hendap itu. Namun, tidak salah untuk menaburkan sedikit harapan dengan situasi cemas melanda mereka.
Mohamad terus meneliti keadaan sekeliling. Beliau cuba mengesan dimanakah kedudukan musuh berada. Dalam pada itu beliau ternampak Mendiang Gani ak Binyoi menaiki kenderaan hadapan bersama-sama Azman dan Zaidi. Dilihat Gani telah tercedera ditembak di bahagian peha. Babak itu menjadi lebih pilu apabila dilihat sekumpulan musuh merapat kearah Gani dan cuba merampas senjata miliknya. Namun, kekentalan tentera Malaysia bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Gani tegar memeluk senjatanya agar tidak jatuh ke tangan musuh. Melihatkan keadaan itu, kumpulan militia Farah Aidid terus mengacukan laras senapang tepat ke arah kepala Gani. Bam! Satu ledakan terus menamatkan sketsa yang memerihkan itu. Terduduk Mohamad melihat keadaan tersebut. Namun, ini bukanlah pengalaman pertempuran pertama yang ditempuhi Mohamad. Beliau pernah bertempur dengan pengganas komunis semasa berkhidmat di bawah Unit Combat Intelligence Section (UCIS) sebelum ditukarkan ke Kor Risik dan berjaya menahan seorang anggota Parti Komunis Malaya hidup-hidup.
Mohamad menenangkan dirinya. Tetapi amarahnya kian memuncak. Tanpa berfikir panjang terus dicapai senjata M79 dan dibidiknya ke arah musuh. “Mohamad! Don’t shoot!”, jerit Kol Vezzalini kepadanya. Mohamad yang masih berada dalam keadaan geram dan marah berasa tidak berpuas hati dengan arahan pegawainya. Mengapa dihalang dirinya melepaskan tembakan? Bagaimana dengan kematian sahabatnya Renjer Bakar yang tersadai di atas jalan bumi Somalia ini? Tidakkah kematiannya harus dibela? Mohamad berhenti dan berfikir sejenak. Dilihat keadaan sekelilingnya. “Ya Allah! Kami telah dikepung empat penjuru oleh musuh yang bersenjatakan RPG 7”, hatinya tersentak. “Stop Mohamad! Drop the weapon and surrender. The situation is not in our favor”, tegas Kol Vezzalini kepada Mohamad. Mohamad menghela nafas panjang dan menunggu serangan itu berhenti. Usai terhentinya kejadian tembak menembak itu, Mohamad mengamati keadaan persekitarannya. Hanya rakan yang terkorban dan tercedera sahaja yang berada di situ. Manakala empat lagi pegawai dari negara asing bersama-sama tiga lagi anggota tentera Malaysia. Hatinya pasti bahawa mereka telah diselamatkan dan dibawa lari oleh penduduk tempatan yang melihat serangan hendap tersebut.
Mohamad meletakkan senjatanya ke bawah. Tiba-tiba segerombolan manusia terdiri daripada kaum hawa dan kanak-kanak menyerbu ke arah Mohamad dan rakan-rakannya. Tidak habis dengan kejutan yang diterima hasil serangan itu, disusuli pula dengan kumpulan yang menggila ini merampas peralatan dan senjata beliau. Melopong juga Mohamad apabila melihat Pistol Colt 45, M16A2, M79 dan dua butir grenade stinger miliknya direbut oleh mereka. Beliau hanya membiarkannya sahaja. Pada pengamatannya, nyawa rakan-rakannya yang masih hidup harus lebih diutamakan berbanding senjata-senjata itu. Lagipun, berkemungkinan rampasan tersebut adalah bertujuan untuk menjual semula atas desakan hidup yang melampau.
Pada masa yang sama, turut diperhatikan pihak militia merampas satu persatu kenderaan milik UNOSOM. Tiba-tiba matanya tertumpu pada susuk tubuh dan setelah dikenalpasti itu adalah SSjn Azman Mohamad Tahir. Namun beliau yakin bahawa sahabatnya telah pun menemui Sang Pencipta. Kumpulan militia Somalia ini bertindak drastik apabila menarik mayat Azman ke dalam kereta rampasan itu. Melihat keadaan tersebut, Mohamad terus berlari ke arah kenderaan itu tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan.
“Tinggalkan mayat itu! Tinggalkan mayat itu!”, ulang Mohamad berkali- kali merayu kepada kumpulan militia tersebut. Akibat desakan itu, mereka menyerahkan jasad itu kembali kepada Mohamad. Lega sebentar beliau kerana sekurang-kurangnya itulah yang beliau terdaya dan mampu lakukan. Membawa jasad untuk tatapan keluarga mereka buat kali terakhir dan disemadikan di tanah air sendiri.
Kekecohan yang dilakukan Mohamad akhirnya menarik perhatian kumpulan militia ke arahnya. “Muslim! Muslim!” itulah ungkapan yang kedengaran apabila musuh terlihat tag nama yang dipakai oleh beliau. Mohamad tidak mengendahkan jeritan anggota militia tersebut kerana dalam fikirannya adalah untuk mendapatkan rakan- rakan yang tercedera. Namun begitu, langkahnya dihentikan apabila anggota-anggota militia menangkap dan memegang Mohamad. Mohamad bertindak agresif. Dirinya hanya tekad ingin mendapatkan rakannya yang tercedera. Dia tidak peduli akan pegawai-pegawai tentera negara asing yang tercedera. Bagi dirinya rakan-rakan seangkatan dengan beliau adalah ahli keluarga. Mereka harus diutamakan. Kumpulan militia memegang Mohamad dengan lebih kuat. “Let me go! Let me save my comrades!”, ronta Mohamad. Malah diterajangnya kumpulan militia yang mencengkam erat tubuhnya. Mengaduh juga tiga anggota kumpulan itu terima ‘penangan’ dari Mohamad. Musuh mula hilang sabar dengan kelakuan Mohamad. Lantas Mohamad ditelentangkan di atas tanah dan terus dua muncung laras di acu tepat ke arah kepalanya. Mohamad tidak peduli. Tidak beliau merasa gentar meskipun nyawanya dihujung tanduk. Dipersetankan segala tindak-tanduk kumpulan militia tersebut. Bukannya beliau tidak pernah ditembak semasa menentang komunis di Sungai Siput. Malah, beliau juga pernah merasa bahana booby trap. Oleh itu, tiada sekelumit pun perasaan takut terbit dalam dirinya. Tetapi sempat juga beliau berdoa, sekiranya ditembak, biarlah mati terus. Tidak ingin beliau ulangi kesakitan ditembak sebagaimana satu ketika dahulu. Bisanya terasa apabila diingat kembali.
Fikirannya masih lagi tertumpu kearah rakan seperjuangannya yang sedang cedera parah. Mohamad terus meronta dan berkeras. Penduduk tempatan melahirkan rasa simpati kepada Mohamad kerana mengetahui bahawa beliau beragama Islam. Gigih mereka memujuk Mohamad untuk bertenang dan tidak melawan serta turut sahaja kemahuan kumpulan militia itu. Kebetulan pada masa itu, Mohamad ternampak kelibat Hassan di pusat tahanan tersebut. Hassan merupakan seorang remaja yang berkhidmat sebagai tukang sapu di Markas UNOSOM. Mohamad menggesa Hassan memaklumkan kepada kumpulan militia itu, beliau tidak akan berganjak selagi jenazah dan rakan seperjuangan yang tercedera dibawa bersama. Hassan terus memaklumkan kumpulan militia tersebut bahawa beliau mengenali Mohamad. Setelah diyakinkan, kumpulan itu terus mengusung jenazah ke dalam kenderaan mereka dan Mohamad pula dihumban ke dalam bonet kereta. Pandangan beliau terbatas seketika.
Soal Siasat
Mohamad kemudiannya dibawa ke sebuah banglo dan ditahan disitu. Beliau kemudiannya didatangi oleh seorang pegawai berpangkat Lt Kol dari Kumpulan Militia Farah Aidid. Pegawai tersebut terus menyoal siasat Mohamad. “Why did you come? What is your intention? Who sent you here?”, bertubi-tubi soalan diajukan kepadanya. Mohamad terus memberikan jawapan bahawa beliau tidak tahu apakah tujuan pegawai-pegawai dari Itali itu datang. Beliau hanya maklum bahawa mereka diaturgerak sebagai pengiring dan pemandu sahaja. Lain daripada itu beliau tidak tahu. Berang akan jawapan yang diberikan, pegawai militia itu terus mengugut, “If you don’t want to cooperate, then I’ll bring you to our leader, Gen Farah Aidid!”. Mohamad terus berkeras. “I don’t mind if you bring me to anyone, as long as you bring all the corpses and my friend back to our base!”, ujar Mohamad berseloroh. Pandangan matanya tepat merenung tajam kearah pegawai kanan militia tersebut. Pandangan itu telah memberikan satu kesan yang menggerunkan kepadanya. Lantas Lt Kol tersebut memeluk Mohamad dan berkata, “I’ve never met someone who concerned others more than himself”. Sesudah itu, muncul seorang lelaki pertengahan umur dan beliau dikenalkan sebagai salah seorang imam Farah Aidid dan kini Mohamad berada di rumahnya.
Pengertian Syahid dan Jihad
Setelah mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah imam, Mohamad berprasangka bahawa hati lelaki tersebut mesti jauh lebih baik dan lembut berbanding tentera-tentera Farah Aidid yang lain. Mohamad terus memaklumkan kepada Kol Vezzalini bahawa beliau harus mengambil kesempatan ini untuk berbincang dengan imam tersebut. “Sorry Mohamad. This is my first time facing this kind of situation. I really can’t handle it. Besides, you are Muslim. They put more trust on you than me Mohamad. Please, our lives depend on you now.”, balas Kol Vezzalini yang kelihatan panik. Mohamad terus mengusulkan perbincangan dan memujuk imam tersebut. Namun begitu, usaha Mohamad tampak sia-sia. Imam terus meninggalkan beliau sehinggalah kali ketujuh Mohamad bertemu dengan imam tersebut. “I’m begging you, in the name of Allah, please be merciful. Please send back the dead and the injured soldier to our base”, ujar Mohamad lembut. Imam mulai tertarik dengan kesungguhan dan sifat peribadi Mohamad yang merendah diri dan berani bukan sahaja sebagai seorang anggota tentera, tetapi juga sebagai seorang umat Islam.
“Mohamad, you know what? All the muslim who died here are died as a martyr”, ujar imam kepada Mohamad secara berseloroh dan bangga. “What? Syahid?”, Mohamad membuka bicara. Tersentak juga imam tersebut dengan kelantangan suara Mohamad. “Do you think what all of you have done are count as a matyr?”, terbeliak mata imam dan kolonel militia itu mendengar kata-kata Mohamad. “Meaning? Explain Mohamad”, ujar imam tersebut. Mohamad menekan keras dalam hatinya. Rasa beliau, sudah betul apa yang diajarkan dan difahaminya tentang ciri-ciri orang yang mati syahid sebagaimana yang digariskan dalam agama Islam. “Yes! Their death are not a syahid!”, tegas Mohamad sekali lagi. “Now you tell me imam, what is the characteristic of martyrdom? Is there stated that any death due to fighting among Muslims in taking power categorized as martyrs? ”, Mohamad terus mengajukan soalan dengan berani dan tegas.
Mohamad sudah mula dipengaruhi emosi sehingga sedikit meninggi suara. Manakan tidak, rintihan sahabat-sahabatnya yang cedera parah membuatkan beliau tidak senang duduk. Mohamad terus menyoal mengapakah kumpulan Ali Mahdi dan Farah Aid saling berperang sedangkan kedua-dua kumpulan ini beragama Islam? Mengapakah ikatan puak lebih diutamakan berbanding ukhwah sesama umat Islam?
Imam mula berminat dengan pandangan Mohamad. “So Mohamad, tell me. Aren’t there any situation like this in your country?”, giliran imam membuka soalannya pula. “That’s right! In our country there are various races, religions and cultures. But we live as a plural society with mutual tolerance and respect for each other. Because of this, our country is always safe and prosperous!”, balas Mohamad tanpa teragak-agak.
Pulang ke Pangkalan
Imam kagum dan terpana dengan jawapan yang diberikan Mohamad. Lantas beliau berjanji akan menghantar kesemua jenazah dan rakan-rakannya kembali ke Markas UNOSOM dengan bersyarat. Syarat utamanya ialah pasukan pengaman tidak boleh menyerang kumpulan mereka. Dengan sedikit pancaran harapan, Mohamad menyambut perjanjian itu dengan hati yang terbuka. Mohamad berjanji akan memaklumkan kepada pasukan pengaman bahawa tiada apa-apa tindakan akan dikenakan terhadap Kumpulan Farah Aidid. Malam itu, 13 kenderaan berkonvoi membawa Mohamad dan rakan-rakannya. Meskipun tampak meriah, namun kesuraman yang mengiringi hanya tuhan sahaja yang tahu.
“Mohamad! We have arrived. We’ll not move further than this for our own safety.”, pegawai Farah Aidid berkata selepas menghentikan kenderaan 1000 meter dari penempatan tentera Malaysia di Pos K4. Mohamad mengangguk faham. Mohamad berjalan kaki ke balai pengawal Pos K4. “Stop! Don’t move!”, teriak pengawal apabila melihat kelibat manusia. “Eh! Cik Mat? Cik Mat ke tu?”, salah seorang pengawal menyuluh lampu ke susuk tubuh yang berada di hadapan mereka. “Ya! Saya PW II Mohamad!”, balas Mohamad lemah. Berlari-lari mereka mendapatkan Mohamad. Kejutan juga buat mereka apabila mereka mendapat laporan bahawa Mohamad telah diisytiharkan mati tengah hari tadi. Mohamad memaklumkan kepada pegawai di pos untuk mengarahkan 13 anggota tentera Malaysia tanpa bersenjata untuk membawa jenazah dan anggota yang tercedera dari kenderaan kumpulan militia.
Tatapan Terakhir
Kesemua anggota yang tercedera kini dirawat oleh anggota perubatan. Jenazah Almarhum Azman dan Mendiang Gani diletakkan di sebelah surau. Mohamad berdiri dan memerhati jasad yang terkujur kaku dihadapannya. Tiada sedikit emosi sedih pun yang menyelebungi dirinya. Tetapi perasaan bangga melihat jenazah rakan-rakannya yang mati mengharumkan nama negara terbit di jiwanya. “Cik, kita menyeksa mayat-mayat ini cik.”, tiba-tiba datang seorang tentera berbangsa Iban bersuara menyentak dirinya yang sedang leka. “Mereka masih memakai topi besi cik!”, sambungnya lagi tanpa sempat Mohamad membalas. “Kamu pergilah tanggalkan helmet besi di kepala mereka itu.”, arah Mohamad kepada anggota tersebut. “Cik, saya tidak berani. Cik bukalah.” tutur anggota itu kembali. Mohamad pun membuka helmet milik mendiang Gani. Ketat dan tidak boleh dibuka. Setelah diteliti, isi kepala dan darah mendiang melekat pada topi besi itu. Mohamad terus menarik secara paksa helmet tersebut dan tersembur darah dan isi otak melekat di badannya. Mohamad berdiam diri, terus terkenang apa yang dilaluinya pada hari ini. Malam terus berlalu sunyi. Kesuraman terus menyelubungi. Inilah peristiwa Guled Hotel yang tidak ramai ketahui. Dikongsi bukan untuk membangga diri, tetapi sebagai satu inspirasi.
[divider style=”solid” top=”20″ bottom=”20″]
[box type=”info” align=”aligncenter” class=”” width=””]PW I Mohamad bin Baharom dilahirkan pada 15 Mei 1956, di Kg Kepala Gajah, Seberang Prai. Beliau memasuki Angkatan Tentera Malaysia pada 30 Sep 1976 dan menerima latihan sebagai rekrut di PULADA. Setelah tamat latihan, beliau ditukarkan ke Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) pada tahun 1977. Beliau pernah berkhidmat sebagai anggota UCIS dan terlibat dalam penangkapan hidup-hidup seorang anggota komunis di Sadao, Thailand. Pada awal tahun 1981, beliau telah bertukar ke Kor Risik sehinggalah tamat perkhidmatan.
Anak sulung daripada tujuh orang adik beradik ini mendapat pendidikan asas di Sek Keb Sri Tasik sehingga darjah tiga. Beliau kemudiannya bertukar ke Sek Keb Kebun Sireh, Bukit Mertajam seterusnya melanjutkan pelajaran di High School Bukit Mertajam sehingga tamat tingkatan tiga. Pada April 1994, beliau telah terpilih sebagai anggota Pengaman PBB di Somalia sebagai Pegawai Waran Analisa di Chief Military Information Branch, Markas UNOSOM. Semasa berkhidmat di sana, beliau telah beberapa kali terlibat dengan operasi yang hampir meragut nyawanya seperti menyelamatkan anggota tentera Nepal yang ditahan oleh kumpulan Militia bersenjata lengkap, tanpa membawa senjata. Disebabkan keberanian beliau semasa Peristiwa Hotel Guled, beliau telah dikurniakan Pingat Gagah Berani. PW I Mohamad telah mendirikan rumah tangga bersama Asiah Mohd Ghazali dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata.[/box]