TERENGGANU: Seramai 20 pegawai dan 510 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Darat (TD) terlibat dalam Perbarisan Perasmian Program Patriotisma Semarak Kemerdekaan 2017 Peringkat Parlimen Kemaman anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Pejabat Ahli Parlimen Kemaman di Padang Astaka Kemaman pada 17 Ogos 2017.
Program yang diadakan selama tiga hari bermula dari 16 hingga 18 Ogos itu dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mahamed Affandi Raja Mohamed Noor bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek selaku Ahli Parlimen Kemaman.
Objektif utama karnival berkenaan adalah untuk memberi penghargaan kepada Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor selaku anak jati Kemaman yang dilantik menyandang jawatan tertinggi dalam ATM selain memberi peluang kepada warga Kemaman untuk melihat pelbagai aset kententeraan secara lebih dekat lagi serta mendekatkan tentera dengan rakyat.
Dalam ucapan PAT, beliau berasa bangga dengan program yang diadakan ini kerana secara tidak langsung ia dapat mendekatkan hubungan antara tentera dan rakyat selain dapat memberi pendedahan kepada umum bahawa sungguh besar jasa anggota tentera ini dalam memastikan kedaulatan dan keamanan negara sentiasa terpelihara.
“Kita harus sedar bahawa jasa dan pergorbanan anggota tentera ini tidak dapat dinafikan lagi kerana setiap inci persempadanan negara ini dikawal rapi oleh tentera demi maruah dan kedaulatan negara yang tercinta.
“Lihat sahaja peristiwa yang cuba mencalarkan kedaulatan negara iaitu peristiwa Lahat Datu yang mana telah mengorbankan anggota tentera kita demi mempertahankan tanah air agar rakyat boleh hidup aman namun sebagai anggota tentera nyawa menjadi taruhan demi kedaulatan negara tercinta dan kami tidak mahu apa-apa balasan kecuali doa dari semua rakyat agar kami selamat menjaga tanah air ini,” kata beliau.
Selain itu PAT turut menyeru kepada warga Kemaman untuk bersama ATM bagi menjaga kesatuan negara ini bagi membolehkan kerajaan yang sedia ada ini membekalkan nadi kepada generasi akan datang agar Malaysia ini sentiasa aman dan harmoni.
Pada masa yang sama turut diadakan persembahan Anjing Perang dari Cawangan Serigala PULADA, Tarian Perang dari 10 Bgd Para, pertunjukan payung terjun dari pasukan khas, pertunjukan pancaragam dari Rejimen Renjer Diraja, persembahan akrobatik dari Tim Army Red Warrior dan pameran pelbagai aset kententeraan TD.
Orang ramai yang hadir pada program tersebut rata-rata berpuas hati dengan program yang diadakan kerana jarang-jarang diadakan program yang sedemikian di Daerah Kemaman yang mana dengan adanya program sedemikian dapat menarik generasi muda Kemaman menceburi bidang dan kerjaya tentera yang penuh cabaran.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Dato Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima 2 Div Mej Jen Dato Ramli, Panglima 8 Bgd, Brig Jen Nazari Abd Hadi, Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Dato Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan pegawai-pegawai Daerah Kemaman.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali