KUALA LUMPUR: Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) muncul Juara Keseluruhan kali keempat bagi Kategori Lelaki dalam Kejohanan Sukan Tentera Darat (TD) Ke-36 dengan pungutan enam pingat emas, empat pingat perak dan enam pingat gangsa yang mana acara penutup kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Stadium Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 14 Sep 2017.
Manakala MK 4 Div muncul juara keseluruhan Kategori Wanita dengan mengumpul sembilan pingat emas, empat pingat perak dan empat pingat gangsa.
Bagi gelaran Olahragawan dianugerahkan kepada Kpl Azri Kadir dari MK 3 Div, Olahragawati dianugerahkan kepada Kpl Norina Damnoen dari MK 4 Div serta Peserta Terbaik kejohanan dianugerahkan kepada Kpl Iza Maryati Mohamad dari Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD).
Dalam ucapan TPTD beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Markas Logistik yang menjadi penganjur kejohanan pada tahun ini serta beliau amat berbangga dan berpuas hati atas sokongan padu yang telah diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan kejohanan ini.
“Kejohanan ini merupakan satu platform untuk mencungkil dan mengasah bakat atlet dalam mempamerkan prestasi dan keupayaan bagi meneruskan kecemerlangan TD diperingkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kebangsaan dan antarabangsa di mana ia merupakan medan untuk memilih atlet-atlet TD ke Kejohanan Sukan ATM yang akan diadakan di Pangkalan TLDM, Lumut pada bulan Oktober nanti, “ujarnya.
Selain itu, TPTD mahukan aktiviti sukan ini adalah pendorong kepada disiplin bagi seorang anggota tentera itu yang mana jika disiplin dapat diterapkan dalam sukan sekaligus mengambarkan betapa atlet ini dapat mencapai hasrat TD dalam mempamerkan mutu kesukanan yang tinggi agar dapat melahirkan sikap setiakawan dan saling membantu bagi mencapai objektif yang disasarkan.
Tambahnya lagi kejohanan seperti ini merupakan satu aspek bagi menguji tahap ketahanan mental dan fizikal setiap peserta dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan selain ia berfungsi sebagai usaha membina kualiti disiplin agar dapat membentuk keyakinan diri dalam membina watak perajurit yang cekal, berani, setiakawan serta semangat juang yang tinggi yang mana dapat menjadi nadi pencetus TD dalam memastikan anggota TD mempunyai kemahiran yang terbaik.
Turut hadir Ketua Staf TD, Mej Jen Dato ‘Redzuan Hj Baharuddin, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri Alwi dan Panglima Logistik TD, Mej Jen Dato ‘Hanafiah Jaafar.
[srizonfbalbum id=13]
Gambar: Kapt Aminin Hafizhin, LKpl Ainur Aisyah Yahaya dan Muhd Zubair Kasssim