KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim melakukan lawatan ulung beliau ke Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia (MK 4 Div) lalu disambut oleh Panglima 4 Div, Mej Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi seterusnya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang terdiri daripada dua pegawai dan 102 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di Perkarangan MK 4 Div pada 23 Okt 2017.
Selesai KKU, PTD diperkenalkan kepada pegawai-pegawai dan beliau dibawa ke Bilik Gerakan MK 4 Div untuk mendengar taklimat lawatan serta turut merasmikan Mini Dusun 4 Div dengan menanam pokok durian jenis Musang King.
Pada masa yang sama turut diadakan sesi dialog bersama pegawai dan anggota yang diadakan di Dewan Dato’ Othman Harun yang mana dalam sesi tersebut, PTD menasihati agar seluruh warga TD tidak terlibat dengan anasir yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara seperti ISIS dan DAESH sebaliknya melebihkan nilai kerohanian dan keagamaan agar dapat memantapkan akidah bagi setiap warga TD.
“Saya juga berharap setiap warga TD menanamkan minat suka menabung dan sebagai contoh Perajurit Muda dalam masa enam bulan telah berjaya mengumpul sekitar RM8000 ke RM9000 serta tidak mustahil sekiranya kita mengamalkan sikap berjimat cermat semuanya akan menjadi kenyataan,” jelas PTD.
Selain itu, PTD turut menyentuh persoalan mengenai peperangan siber atau sistem pertahanan siber yang mana Malaysia merupakan salah satu negara terawal dirantau Asia telah menubuhkan sistem tersebut serta kemahiran anggota turut dipertingkatkan dengan cara mengikuti perkembangan teknologi terkini mengikut keadaan semasa serta mengadakan latihan bersama tentera negara luar bagi memberi pendedahan kepada anggota.
Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima 11 Bgd, Brig Jen Toh Choon Siang dan Panglima 12 Bgd, Brig Jen Dato’ Mohd Nazri Abidin.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali