MELAKA: Seramai 18 pegawai dan 170 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan dibawah naungan Markas 21 Grup Gerak Khas (MK 21 GGK) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim di Padang Kawad Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) pada 11 Dis 2017.
Terdahulu dari itu, Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim menerima tabik hormat terakhir dari kontijen perbarisan yang terdiri daripada lima detasmen diketuai oleh Pegawai Memerintah 21 Kdo, Kol Mohd Fouzi Sulaiman bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 37 tahun enam bulan dalam ATM amnya dan TD khasnya.
Dalam ucapan Mantan Panglima 21 GGK, beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut mewakili Panglima Tentera Darat.
Selain itu, beliau turut menyampaikan tiga amanat penting kepada seluruh Ahli Beret Hijau agar Gerak Khas terus relevan pada masa akan datang serta tidak mudah diperlekehkan oleh mana-mana organisasi yang sedia ada.
“Saya ingatkan disini ada tiga perkara penting dalam Gerak Khas iaitu kita dilahirkan sebagai askar perang, bukan untuk tujuan istiadat, pertunjukan atau kemahsyuran dan harus terus mengekalkan peranan kita sebagai askar perang agar terus relevan dan kedua pula, Esprit de Corps dikalangan anggota Gerak Khas harus terus dikekal serta ditingkatkan manakala yang ketiga iaitu disiplin diri harus sentiasa dijaga oleh setiap anggota Gerak Khas kerana ianya mencerminkan Gerak Khas secara keseluruhannya dan harus berikrar agar tidak sekali-kali mengkhianati Sumpah Perajurit Komando,” tegas beliau.
Menyentuh sedikit latar belakang Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim, beliau merupakan anak kelahiran Serkam Jasin, Melaka dilahirkan pada 22 Jun 1957 serta pernah berkhidmat sebagai guru pada tahun 1978 dan atas minat yang tinggi dalam ketenteraan, beliau memasuki Maktab Tentera Diraja pada 9 Okt 1980 lalu ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan lulus Asas Komando pada tahun 1982 serta dikurniakan empat orang cahayamata hasil perkahwinan bersama Datin Artis Kassim.
Turut hadir Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan warga Gerak Khas.
Gambar: Markas 21 Grup Gerak Khas
[srizonfbalbum id=77]