MELAKA: Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/3/2025 yang disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Dato’ Ahmad Suhaimi Mat Wajab menandakan kelahiran komando baharu yang bakal mempertahankan kedaulatan negara.
Menurut Panglima 21 GGK, kursus ini merupakan antara latihan paling sukar dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menuntut ketahanan fizikal dan mental pada tahap tertinggi.
Daripada 17 pegawai dan 201 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang memulakan latihan, hanya lapan pegawai dan 42 anggota berjaya menamatkan kursus sekaligus menjadikan kadar kelulusan sekitar 24.6 peratus.
“Hari ini yang berdiri di hadapan kita ialah mereka yang sanggup menolak keputusasaan, menundukkan ketakutan serta menanggung penderitaan demi maruah diri, pasukan dan negara,” katanya penuh bangga.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemakaian Beret Hijau bukan sekadar lambang kebanggaan, tetapi satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Beret Hijau ini bukan hiasan. Ia adalah sumpah dan janji. Selagi anda memakainya, anda membawa maruah pasukan, bangsa dan tanah air,” tegas beliau sambil mengingatkan agar disiplin dan integriti sentiasa dipelihara.
Tambah beliau, kejayaan menamatkan kursus hanyalah permulaan kepada perjalanan lebih mencabar dalam dunia operasi khas.
Komando muda akan terus melalui latihan kepakaran darat, laut dan udara yang menuntut kecergasan berterusan, ketajaman mental serta penguasaan ilmu yang tinggi.
“Dalam pasukan khas, mereka yang terbaik tidak pernah berhenti belajar. Disiplin adalah darah anda dan kecergasan adalah nafas anda,” ujarnya ketika berucap dalam majlis penutup tersebut yang berlangsung di Encore, Klebang pada 25 Jan 2026.
Majlis dimulakan dengan demonstrasi keupayaan operasi khas melibatkan senario menyelamatkan tawanan perang, pertunjukan kombat Gerak Khas, demonstrasi anjing perang dan persembahan terjun bebas oleh pasukan payung terjun 21 GGK.
Kemuncak majlis ialah Upacara Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas para dan diteruskan dengan penyampaian pisau komando, sijil komando serta lanyard biru sebagai simbol pengiktirafan rasmi warga Gerak Khas.
Majlis turut menyaksikan penganugerahan Penuntut Keseluruhan Terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/3/2025 kepada Lt M Ikmal Hakim Idris atas pencapaian cemerlang sepanjang latihan.
Upacara diakhiri dengan sesi ramah mesra melibatkan komando muda dan ahli keluarga masing-masing, sekali gus menjadi detik bermakna selepas menempuh latihan intensif yang menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Turut hadir, Mej (Kehormat) Datuk Hj Rais Datuk Wira Yasin selaku wakil rasmi Ketua Menteri Melaka, Ketua Staf 21 GGK, Brig Jen Mohd Mushadi Abdul Mutalib dan Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kol Nordin Abu.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Muhammad Adam Adham Che Abdullah, Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran & Pbt Muhammad Shamil Haikal Mohd Yusoff
PERAK: Lapangan Terbang Tekah bergema dengan laungan semangat dan deruman aksi tempur oleh Penuntut Kursus Asas Komando Siri AK/1/2025 yang mempersembahkan demonstrasi penyelamatan tawanan perang sempena majlis penutup kursus yang berlangsung di Taiping pada 26 Apr 2025.
Pemilihan lokasi ini bukan sahaja membuka ruang kepada keluarga penuntut untuk turut serta meraikan kejayaan, malah memberi peluang kepada masyarakat awam menyaksikan secara langsung ketangkasan dan semangat juang pasukan elit negara.
Situasi tempur yang disimulasikan secara realistik itu melibatkan penggunaan bahan letupan, tembakan taktikal dan pertempuran jarak dekat sekali gus memukau penonton dengan kehebatan setiap gerakan pasukan.
Antara demonstrasi ketenteraan lain yang turut dipersembahkan termasuk operasi menyelamat, payung terjun dan aksi kombat Gerak Khas yang menzahirkan tahap keberanian dan profesionalisme tinggi dalam kalangan penuntut kursus.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian anugerah Penuntut Terbaik kepada Lt M Muhammad Syukran Shafie dari Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) di atas pencapaian cemerlang sepanjang kursus.
Upacara perbarisan diteruskan dengan lafaz ikrar 12 Sumpah Perajurit Komando oleh para peserta kursus dan penyerahan bendera kepada Ketua Cawangan Komando sebagai tanda berakhirnya kursus.
Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Ahmad Suhaimi Mat Wajab mengucapkan syabas dan tahniah kepada 38 penuntut daripada 208 orang keseluruhan yang berjaya menamatkan latihan serta dianugerahkan Beret Hijau dan Pisau Komando.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi sambil mengingatkan bahawa Beret Hijau adalah lambang maruah Gerak Khas yang mesti sentiasa dipelihara.
“Kejayaan ini hanyalah permulaan, lebih banyak kursus kepakaran menanti dalam usaha memperkasa keupayaan di darat, laut dan udara,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua anggota sentiasa berdisiplin, setia kepada pemimpin dan organisasi serta menjaga nama baik pasukan.
Mengakhiri ucapannya, beliau berkongsi rancangan pembangunan jangka panjang 21 GGK dari tahun 2025 hingga 2055, selaras dengan Strategi Ketenteraan Negara 2.0 bagi memastikan Gerak Khas terus relevan dalam menghadapi cabaran keselamatan global.
Turut hadir, Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Samsyawal Muhamad, Ketua Staf Perkhidmatan 21 GGK, Brig Jen Mohamad Musyadi Abdul Mutalib dan Komandan PULPAK, Kol Mohd Rizal Mohd Zambran.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan
MELAKA: Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Khairul Anuar Hj Yaacob mengingatkan kepada semua warga komando bahawa Beret Hijau lambang kemegahan Gerak Khas dalam apa jua keadaan.
“Saya juga berharap kejayaan saudara-saudara pada hari ini juga akan memberikan kesan yang besar terhadap pembangunan modal insan Gerak Khas khususnya dan TD amnya.
“Pada hari yang bersejarah ini, saya ingin mengatakan bahawa keagungan Beret Hijau di kepala perlulah sentiasa dipelihara dan dipertahankan hingga ke titisan darah yang terakhir kerana Beret Hijau merupakan maruah dan lambang kebanggaan Gerak Khas,”jelas KS Am 21 GGK.
Tambahnya lagi, beliau turut mengingatkan anggota agar tidak mencemarkan Beret Hijau dengan perbuatan yang remeh dan tidak waras yang mana akan merugikan segala pengorbanan yang ditempuhi.
“Pepatah dahulu ada menyebut jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang bersedia disini membawa maksud berlatih dan berusaha secara berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang ada dalam diri sebagai seorang anggota pasukan khusus,” tegas KS Am 21 GGK.
Beliau berkata demikian semasa ucapannya dalam Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/2/2020 di Pantai Betutu Laut pada 24 Dis 2020.
Seramai tujuh pegawai dan 39 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) lulus dalam Kursus Asas Komando yang diadakan selama 12 minggu bagi melatih penuntut agar mempunyai daya ketahanan dan fizikal yang tinggi sejajar dengan kepakaran GGK sebagai barisan penyusupan TD di mana Beret Hijau merupakan kemegahan Gerak Khas, lambang keagungan, keperwiraan serta satu lambang mutu keperibadian yang amat tinggi nilainya.
Terdahulu acara dimulakan dengan demonstrasi serbuan pantai dan menyelamatkan tebusan diikuti Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta demonstrasi kepakaran Gerak Khas.
Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan dan kesiapsiagaan Trup TD amnya dan khususnya 11 RGK serta 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain sebagai perisai pertahanan negara.
Penuntut Terbaik dinobatkan kepada Lt M Adsmar Husin dari Batalion Kedua Rejimen Rejimen Renjer Diraja (2 RRD).
Turut hadir Mantan Panglima 21 GGK, Mej Jen (Bersara) Datuk Zolkopli Hashim, Komandan PULPAK, Kol Nubli Hj Hasim, Pengarah Gerak Khas Kol Mohd Fouzi Sulaiman.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saiful Hakimi Zainon
Peristiwa 46 tahun dahulu di kawasan gunung sekitar Sg Siput, Perak masih lagi tergiang di fikiran Sjn (B) Hassanuddin Abd Karim. Jika letupan itu terjadi mungkin kini dia sudah tidak lagi melihat dunia. Bak kata pepatah, pantang maut sebelum ajal. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah penglibatan Sjn Hassanuddin ketika berkhidmat di dalam tentera dimana beliau sedang melaksanakan Operasi GONZALES.
Tanggal 18 Apr 1974, pada ketika itu Hassanuddin baru empat tahun di dalam perkhidmatan, namun semangat beliau tetap berkobar-kobar jika diarahkan untuk melaksanakan operasi-perasi khas Tentera Darat (TD). Di tambah pula dengan beret hijau yang tersepat di kepala membuatkan beliau tidak gentar untuk menghadapi petualang negara ketika itu. Sehari sebelum itu beliau bersama rakan-rakannya dari Sungai Udang telah berangkat ke Kem Gua Permai, Tambun, Ipoh bagi tujuan diatur gerak dalam OP GONZALES.
Bersiap sedia untuk ke kawsan operasi
Namun sebaik tiba di kem berkenaan platunnya cuma diarahkan bersiap sedia terlebih dahulu dan berkemungkinan akan diatur gerak bila-bila masa sahaja. Beliau hanya mendapat maklumat daripada pihak atasan mengatakan ada pertempuran telah berlaku di sekitar Sg Siput. Pasukan Batalion Ketiga Rejimen Renjer (3 RRD) telah diserang hendap.
Setelah enam jam berada dalam keadaan standby, Hassanuddin dari platun 6 Yankee Skuadron, 21 Rejimen Gerak Khas (21 RGK) bersama dengan bantuan anjing pengesan bernama Ben yang dikendali oleh Sjn Chandan serta anggota Angkatan Tentera Orang Asli (ATOA) diarah menaiki helikoper untuk membuat penjejakan terhadap komunis.
Pasukannya diterbang ke lokasi menjejak musuh dan sebaik tiba helikopter yang dinaiki mereka tidak mendarat sebaliknya mereka dikehendaki terjun keluar dalam ketinggian dua meter disebabkan aspek keselamatan. Penjejakan terhadap musuh dimulakan dengan kekuatan keseluruhan pasukannya seramai 32 anggota. Mereka berpecah kepada tiga kumpulan. Episod menjejak komunis bermula dengan Hassanuddin merupakan orang paling hadapan dalam seksyennya.
“Din, hati-hati kat depan tu, kekuatan musuh kita tidak tahu berapa ramai yang ada, ujar ketua seksyen beliau, Kpl Zaki.
Bersama-sama rakan-rakan sepasukan
“Baik Kpl, saya akan pastikan penjejakan kita berhasil, Insyallah tidak ada apa yang berlaku, lagi pun Amin kan ada dengan saya ni,” jelas Hassanuddin yang ketika itu berada di hadapan.
Di belakang beliau ialah Tpr Amin yang merupakan anggota ATOA yang mahir dalam selok belok hutan. Ketika itu laluan penjejakan mereka tidak berapa semak sehinggakan mereka sampai di satu kawasan lapang dan terlihat beberapa kesan seperti ditinggalkan musuh setelah berehat.
Hassanuddin yang memimpin penjejakan mula menuruni bukit dengan di belakangnya Tpr Amin masih setia mengikutinya. Laluan yang dilaluinya tidaklah berapa curam namun mereka masih lagi berjalan dalam keadaan taktikal sehingga sampai pada satu anak sungai.
Anak sungai tersebut cuma sedepa sahaja besarnya. Hassanuddin terus melangkah dan terlihat di depannya terdapat tiga pokok besar dalam dua pemeluk badan beliau. Sebaik beliau ingin melalui kawasan tersebut satu letupan tembakan kedengaran.
“Amin dah kena! Cari perlindungan cepat”, pekik Hassanuddin memberitahu rakan-rakannya yang lain dibelakang. Hassanuddin tidak menyangka tembakan pertama oleh pihak musuh itu rupanya telah terkena rakannya Amin. Sepatutnya, pasti dialah orang pertama yang kena tembakan tersebut kerana beliau berada di hadapan sekali. Namun kerana tiga pokok besar itu sasaran telah menjurus terhadap rakannya. Beliau yang ketika itu melihat Amin cedera ditembak, terus membalas tembakan dengan segera dan mendapatkan perlindungan disebalik pokok besar.
Bergaya bersama rakan-rakan karib
“Amin! Masuk dalam sungai cepat. Aku cover kau, jangan sampai musuh nampak,” pekik Hassanuddin kepada Amin.
Sementara itu rakan-rakannya yang lain turut sama masuk ke dalam sungai agar tidak dilihat oleh komunis ketika itu yang berada di atas bukit. Dalam masa tembak-menembak yang berlaku sekitar 10 minit itu, Hassanuddin tidak menyangka musuh telah melontar grenade ke arahnya. “Allahuakbar! Grenade,” pekik Hassanudin.
Namun beliau sedikit pun tidak berganjak dari tempatnya malah terus melepaskan tembakan terhadap pihak musuh tanpa mengiraukan keselamatan beliau. Sebanyak tiga butir grenade dilemparkan kepada beliau. Hanya kepulan asap sahaja yang keluar. Tidak langsung meletup. Bak kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal. Jika belum tiba ajalnya pasti masih terus bernyawa.
Setelah tidak lagi kedengaran tembakan, Hassanuddin dan rakannya memeriksa keadaan sekeliling dan mendapati tiga komunis berjaya dibunuh dan berjaya merampas 23 guni gandum yang dibawa oleh komunis. Ketika itu, baharu Hassanuddin menyedari umurnya masih panjang kerana dia sendiri tidak terpikir yang grenade dilemparkan musuh tidak meletup. Semangat untuk membunuh musuh telah membuatkan dirinya tidak terfikir akan bom tangan itu. Ketika itu juga dirinya berdarah manis kerana baharu sahaja bertunang.
Kaki kiri Sjn Hassanuddin tidak dapat diselamatkan terkena jerangkap samar
Pertempuran dalam OP GONZALES memberikan satu pengalaman yang besar buat dirinya. Beliau sedikit pun tidak gentar jika diarah untuk diatur gerak dalam operasi-operasi lain. Namun langit tidak selalunya cerah. Pada tanggal 11 Jul 1978 beliau telah terpijak jerangkap samar ketika melaksanakan OP KOTA ECHO di Gerik, Perak yang telah menyebabkan kakinya terpaksa dipotong. Kesannya sehingga kini beliau telah cacat kekal serta terpaksa menggunakan kaki palsu.
Ketika kejadian itu, isterinya, Ainisahwati Abdullah sedang mengandung tujuh bulan dan tidak menyangka hal tersebut akan terjadi kepada suaminya.
Menurut Sjn Hassanuddin, ketika terkena jerangkap samar itu beliau tidak pengsan dan merasa kesakitan. Ditambah pula, seksyennya ketika itu tidak ada morfin bagi mengurangkan kesakitannya. Ketika itu beliau hanya kehausan sahaja dan beberapa kali meminta untuk minum air. Akhirnya beliau dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapat rawatan seterusnya. Kakinya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong bagi mengelak sebarang jangkitan.
Mengimbas keperibadiannya, Hassanuddin dilahirkan pada 5 Mei 1948 dan mula memasuki tentera pada 4 Jan 1970. Beliau menjalani latihan ketenteraan di Port Dickson. Pasukan pertamanya ialah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) pada ketika itu di Kem Terendak.
Pada tahun 1971 beliau telah menjalani Latihan Asas Komando Indonesia selama enam bulan di Rejimen Para Komando Angkatan Darat (RPKAD) Batu Jajar, Bandung dan berjaya menamatkan latihan tersebut serta dianugerahkan dengan Beret Merah komando Indonesia. Setelah pulang ke Malaysia beliau di tempatkan di pasukan 1 Rejimen Gerak Khas Malaysia (1 RGKM). Kemudiannya telah menjalani latihan asas komando pada tahun 1972 dan berjaya memiliki Beret Hijau. Hassanuddin telah menamatkan zaman bujangnya dan berkahwin dengan Ainisahwati Abdullah serta mempunyai enam cahayamata. Pada 3 Jan 1992 beliau beliau telah menamatkan perkhidmatanya sebagai seorang anggota tentera dengan pangkat terakhirnya ialah Sjn.
Keluarga besar Sjn Hassanuddin
Menurut beliau, kecederaan yang dihadapinya sehingga mengakibatkan beliau kehilangan kaki bukanlah kehendaknya. Sedikitpun dihatinya tidak merasa menyesal akan kejadian yang berlaku. Malah semangatnya masih lagi berkobar-kobar ingin menghapuskan petualang negara. Di akhir perbualan, beliau menasihati generasi masa kini agar menghargai jasa dan pengorbanan perajurit terdahulu dan hargailah keamanan yang dikecapi kini.
MELAKA: Seramai empat pegawai dan 59 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah dianugerahkan Beret Hijau Gerak Khas dalam upacara Perbarisan Penutupan Kursus Asas Komando Siri AK 1/2018 pada 12 Jun 2018.
Majlis disempurnakan oleh Commander National Special Operation Forces (NSOF), Brig Jen Hj Mazlan Md Sahalan di Pantai Betutu Laut, Sg Udang.
Pelaksanaan Kursus Asas Komando ini adalah untuk memilih pegawai dan anggota LLP TD yang betul-betul layak berkhidmat dalam Grup Gerak Khas (GGK) kerana GGK adalah pasukan elit TD yang digeruni.
Kursus ini berlangsung selama tiga bulan dan dipecahkan kepada lima peringkat merangkumi peringkat kem, hutan, paya, laut dan penutup.
Terdahulu acara dimulakan dengan demonstrasi serbuan mengejut pantai diikuti Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas dan Demonstrasi Kepakaran oleh Skuadron Lawan Keganasan dari 11 Rejimen Gerak Khas (11 RGK).
Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan dan kesiapsiagaan trup TD amnya dan khususnya 11 RGK serta 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain sebagai perisai pertahanan negara.
Dalam ucapan Commander National Special Operation Forces (NSOF), beliau mengingatkan kepada semua anggota GGk dan penuntut kursus supaya sentiasa menjaga dan mempertahankan maruah Beret Hijau yang menjadi lambang kepada GGK dan tidak sesekali mencemarkannya dengan perbuatan yang remeh.
“Perubahan kepada konsep pertahanan negara dan ancaman hari ini, Gerak Khas memainkan peranan yang penting dalam penggabungan antara peperangan Conventional atau Unconventional selain daripada operasi gabungan, sebagai pasukan elit dan anggota elit Malaysia.
“Pada masa sama sentiasa mencari kaedah atau pendekatan latihan yang terbaik pada sebilang masa untuk menyiapkan satu angkatan yang kredibel dan ampuh dari aspek taktikal, operational dan strategik agar peranan serta tugas dalam mempertahankan negara dapat direalisasikan dalam apa jua bentuk ancaman,” katanya.
Penuntut Terbaik dinobatkan kepada Lt M Azmi Zakaria dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Turut hadir Panglima 21 GGK, Mej Jen Datuk Hassan Ali, Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Datuk Jamaludin Jambi, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kol Adi Ridzwan Abdullah, Veteran GGK dan keluarga penuntut kursus.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali, Saifun Hakimi Zainon
MELAKA: Bukan mudah untuk menjadi seorang anggota komando yang mana itulah hakikat yang perlu diakui semua pihak dan ini dibuktikan sendiri oleh Lt M Muhammad Sarul Nizam Abd Karim apabila dianugerahkan Beret Hijau bersama dengan lima pegawai dan 86 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pelbagai kor Tentera Darat (TD) dalam Perbarisan Penutup Kursus Asas Komando Siri 3/2017 disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mej Jen Datuk Hassan Ali di Pantai Betutu Laut pada 6 Jan 2018.
Penutup Kursus Asas Komando pada kali ini memberi sedikit kelainan apabila tiga penuntut iaitu Lt M Muhammad Sarul Nizam Abd Karim, Tpr Muhamad Naim Basharuddin dan Tpr Muhammad Asri Yusri dipakaikan sendiri Beret Hijau oleh ahli keluarga mereka yang merupakan mantan ahli komando Rejimen Gerak Khas.
Suasana bertukar sedih apabila ibu Lt M Muhammad Sarul Nizam iaitu Sujasfi Jaswir mengalir air mata memakaikan sendiri Beret Hijau kepada anaknya bagi mengantikan arwah suami beliau PW I Abd Karim Othman merupakan mantan SMR 11 RGK yang meninggal dunia ketika anaknya sedang menjalani Kursus Asas Komando tidak mematahkan semangat Lt M Muhammad Sarul Nizam untuk meneruskan legasi darah komando dalam keluarganya.
Kursus Asas Komando yang diadakan selama 12 minggu ini melatih penuntutnya agar mempunyai daya ketahanan dan fizikal yang tinggi serta cabaran bagi menguji ketahanan, keupayaan, ketabahan dan kesabaran sejajar dengan kepakaran (Grup Gerak Khas) GGK sebagai barisan penyusupan TD.
Pelaksanaan kursus ini adalah untuk memilih pegawai dan anggota LLP TD yang betul-betul layak berkhidmat dalam GGK yang merupakan lambang keagungan, keperwiraan serta satu lambang mutu keperibadian yang tinggi untuk sesiapa yang memakainya dimana kursus ini dipecahkan kepada lima peringkat merangkumi peringkat kem, hutan, paya, laut dan penutup.
Terdahulu majlis dimulakan dengan demonstrasi serbuan mengejut pantai diikuti Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas dan Demonstrasi Kepakaran Khas seperti Tempur Tanpa Senjata, Tembakan Peluru Hidup dan Pertunjukan Penerjunan Payung Terjun dibantu oleh dua buah Agusta A109H dari Rej 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan sebuah pesawat Nuri dari Tim Nuklues Rej 882 PUTD.
Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan dan kesiapsiagaan trup TD amnya, dan khususnya 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa serta sebagai perisai pertahanan negara bagi mendokong misi dan wawasan negara untuk menentukan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Dalam ucapan Panglima 21 GGK, beliau mengingatkan kepada semua anggota komando serta penuntut kursus bahawa keagungan beret hijau yang dijunjung di kepala perlulah sentiasa dipelihara dan dipertahankan hingga ketitisan darah terakhir kerana Beret Hijau merupakan maruah dan lambang kebanggaan Gerak Khas.
“Seorang anggota Beret Hijau adalah wira yang sentiasa berdisiplin tinggi, patuh dan taat kepada arahan-arahan serta peraturan ketenteraan dan sentiasa memegang teguh kepada sumpah perajurit komando sepertimana yang telah dilafazkan sebentar tadi, justeru saya menyarankan agar saudara semua mengotakan ikrar dimana ia disaksikan oleh semua anggota Gerak Khas dan ahli keluarga,” tegas beliau.
Penuntut terbaik dinobatkan kepada Lt M Mohammad Fauzan Daniel Mohd Jazly dari Rejimen Keempat Kor Amor Diraja (4 KAD).
Turut hadir Komander National Special Operation Force (NSOF), Brig Jen Hj Mazlan Mad Sahalan, Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Datuk Jamaludin Jambi, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kol Adi Ridzwan Abdullah, Veteran GGK dan keluarga penuntut kursus.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali dan Sjn Saiful Fazley Rusli
MELAKA: Seramai 18 pegawai dan 170 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan dibawah naungan Markas 21 Grup Gerak Khas (MK 21 GGK) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim di Padang Kawad Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) pada 11 Dis 2017.
Terdahulu dari itu, Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim menerima tabik hormat terakhir dari kontijen perbarisan yang terdiri daripada lima detasmen diketuai oleh Pegawai Memerintah 21 Kdo, Kol Mohd Fouzi Sulaiman bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 37 tahun enam bulan dalam ATM amnya dan TD khasnya.
Dalam ucapan Mantan Panglima 21 GGK, beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut mewakili Panglima Tentera Darat.
Selain itu, beliau turut menyampaikan tiga amanat penting kepada seluruh Ahli Beret Hijau agar Gerak Khas terus relevan pada masa akan datang serta tidak mudah diperlekehkan oleh mana-mana organisasi yang sedia ada.
“Saya ingatkan disini ada tiga perkara penting dalam Gerak Khas iaitu kita dilahirkan sebagai askar perang, bukan untuk tujuan istiadat, pertunjukan atau kemahsyuran dan harus terus mengekalkan peranan kita sebagai askar perang agar terus relevan dan kedua pula, Esprit de Corps dikalangan anggota Gerak Khas harus terus dikekal serta ditingkatkan manakala yang ketiga iaitu disiplin diri harus sentiasa dijaga oleh setiap anggota Gerak Khas kerana ianya mencerminkan Gerak Khas secara keseluruhannya dan harus berikrar agar tidak sekali-kali mengkhianati Sumpah Perajurit Komando,” tegas beliau.
Menyentuh sedikit latar belakang Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim, beliau merupakan anak kelahiran Serkam Jasin, Melaka dilahirkan pada 22 Jun 1957 serta pernah berkhidmat sebagai guru pada tahun 1978 dan atas minat yang tinggi dalam ketenteraan, beliau memasuki Maktab Tentera Diraja pada 9 Okt 1980 lalu ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan lulus Asas Komando pada tahun 1982 serta dikurniakan empat orang cahayamata hasil perkahwinan bersama Datin Artis Kassim.
Turut hadir Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan warga Gerak Khas.
JOHOR: Kol Komandan Gerak Khas Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli ke Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas (RGK) Ke-52 di Padang Kawad Markas 21 Grup Gerak Khas pada 21 Sep 2017.
Sejurus ketibaan Sultan Johor, Tuanku menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan dan lagu Gerak Khas dinyanyikan serta disusuli dengan lagu Bangsa Johor terdiri dari lima detasman melibatkan 18 pegawai dan 171 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) RGK diketuai oleh Kol Ahmad Suhaimi Mat Wajab.
Dalam titah ucapan Sultan Johor beliau mengatakan komando merupakan aset ketenteraan yang utama kepada negara walaupun jumlah anggota komando agak kecil dari jumlah keseluruhan anggota TD tetapi peranan yang dimainkan oleh Gerak Khas sebagai pasukan elit di barisan hadapan adalah amat penting.
“Ini berikutan dengan ancaman pengganas yang semakin berkembang dari dalam dan luar negara yang mana khidmat kerja anggota Gerak Khas amat diperlukan untuk menyusup masuk dengan cepat dan pantas bagi menghancurkan ancaman musuh.
“Oleh yang demikian keputusan kerajaan menaik taraf organisasi Gerak Khas amat bertepatan dengan keperluan pembangunan strategik pertahanan negara yang mana dengan peningkatan tersebut dapat menaikkan semangat seluruh warga Gerak Khas bagi memberikan khidmat bakti yang lebih cemerlang demi mempertahankan kedaulatan negara, ” tegas baginda.
Selain itu baginda menyeru agar setiap anggota komando mestilah berusaha untuk meningkatkan kecekapan diri dengan ilmu ketenteraan yang terkini serta menjalani latihan yang berterusan dan mengekalkan kekuatan fizikal serta mental agar sentiasa bersedia menjalankan tugasan pada bila-bila masa kerana anggota komando adalah pasukan elit TD yang digeruni dimana setiap ahli komando mestilah mempunyai imej serta sifat seorang yang gagah berani dan cekap seiring dengan motto Gerak Khas, Cepat dan Cergas.
Tambahnya lagi, baginda juga mahukan peralatan dan kelengkapan yang terkini mestilah dibekalkan kepada Gerak Khas yang mana peralatan yang terbaik mestilah sesuai bagi menjalankan tugas samada di darat laut mahupun udara.
Mengimbas sejarah Gerak Khas, penubuhan pasukan elit TD ini bermula ketika konfrontasi yang melibatkan Malaysia dan Indonesia pada tahun 1965 dimana sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul dari konfantasi tersebut, Menteri Pertahanan Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak Hj Dato’ Hussein telah memberi arahan untuk mengadakan unit ujian.
Beliau telah mengarahkan sukarelawan dan sejumlah sukarelawan dari TD dan laut untuk mengambil bahagian yang mana pada 25 Feb 1965 satu latihan asas komando diperkenal dan dikendalikan oleh Regimen ke-40 Komando Marin Diraja British (40th British Royal Marines Commando) di Kem Majidee dan daripada 300 sukarelawan yang mengambil bahagian hanya 15 orang sahaja yang terpilih untuk menjalani latihan asas Komando selama enam minggu.
Turut hadir Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim dan Pengerusi Gerak Khas, Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim.
[dropcap]T[/dropcap]entera dianggotai oleh insan-insan biasa. Insan-insan yang memiliki fitrah kemanusiaan, memiliki sifat belas, sifat kasihan, diperlengkap dengan jiwa penyayang, jiwa pengasih, jiwa romantis. Insan biasa ini telah dilatih fiziknya, dicanai mindanya, dibina ketahanannya, serta didedahkan kepada pelbagai senario, diperkenalkan dengan pelbagai senjata, dicabar dengan pelbagai ujian. Mereka melalui proses transformasi fizikal, minda dan spiritual, lalu akhirnya terbina kekuatan, terbina ketahanan, terbina ketabahan, terbina kecekalan, menghasilkan jati diri insan yang bersemangat waja dan berjiwa wira. Mereka dibangunkan dalam dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin yang menjunjung semangat kesetiaan yang mengamalkan ketaatan ketika melaksana misi. Mereka sedia berpanas, berhujan, mereka sedia bertempur, mereka sedia berperang. Mereka cekal jika perlu menamatkan riwayat insan lain dan pada masa yang sama turut cekal untuk ditumpahkan darahnya atau dicederakan tubuhnya, dikecaikan dagingnya mahupun dikorbankan nyawanya. Setiap keberanian dan segala kerelaan itu, dilakukan bukan untuk keperluan dirinya sendiri, tidak juga untuk kepentingan peribadinya, tetapi dilaksanakan menjunjung arahan, menjunjung perintah, memenuhi tugas demi memenuhi tanggung jawab. Mereka melakukan segalanya untuk membantu memenuhi hasrat untuk membantu mencapai matlamat, mengikut yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi. Hasrat dan matlamat yang seringkali dan umumnya ditetapkan dari kalangan pimpinan atasan. Di situlah terletak menara ketaatan dan mercu kesetiaan anggota tentera terhadap setiap arahan dan keperluan kepimpinan organisasi dalam setiap operasi yang mereka ceburi.
Mohamad Zakaria Abas ( duduk kiri sekali bersama rakan-rakan sepasukan yang mengikuti Kursus Asas Komando pada tahun 1968)
Begitu jugalah dengan 4861 Allahyarham SSjn Mohd Zakaria Abas, yang merupakan salah seorang daripada 12 orang pengasas Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGK). Kelainan yang menjadi identiti Allahyarham atau juga dikenali dengan gelaran Si Tora mahupun Singa Berantai dalam kalangan rakan-rakan sepasukan sewaktu perkhidmatan. Gelaran tersebut telah menjadi sebati disebabkan kerana sikapnya yang bengis dalam menjaga displin serta kawalan kepada anggota bawahannya dalam latihan mahupun operasi. Karier anak penoreh getah yang bersasal dari Kampung Sayong Tebing, Kuala Kangsar Perak ini bermula sebagai rekrut pada 25 Mei 1949. Selepas menamatkan latihan, beliau ditempatkan di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD). Setelah mula berkhidmat di 4 RAMD, banyak kenangan pahit dan manis yang dialaminya sewaktu melaksanakan operasi di dalam negara mahupun di luar negara. Antaranya Allahyarham bersama seksyennya pernah terperangkap dalam kepungan tentera negara jiran sewaktu konfrantasi di Palaman Mapu, Serian pada tahun 1964 disamping bertempur ketika operasi mengesan dan memburu pengganas komunis. Salah satu kisah pertempuran yang masih diingati oleh rakan-rakan Allahyarham berlaku pada tahun 1950 an di Kampung Lengkong, Jambu Rias, Pahang apabila pasukan yang diketuainya berjaya membunuh seorang musuh yang merupakan anggota kepada Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Musa Ahmad. Begitu juga pada tahun 1959 Allahyarham serta platunnya telah diarahkan bagi menjejak satu gerombolan pihak musuh yang diketuai oleh Ibrahim Baba di Tampin, Negeri Sembilan. Penjejakan itu berakhir dengan pertempuran di hutan Kuala Krau, Temerloh Pahang. Namun begitu platunnya gagal menemui Ibrahim Baba, tetapi berjaya membunuh seorang pengganas wanita. Pada tahun 1960, Allahyarham dihantar bertugas ke Republik Congo di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama satu tahun bermula 13 Sep 1960 hingga 13 Jul 1961.
Penglibatan Allahyarham dalam Rejimen Gerak Khas bermula pada tahun 1965. Dimana penubuhan unit ini ketika konfrantasi yang melibatkan Persekutuan Malaysia dan Indonesia. Pada waktu itu, Allahyarham menjadi Platun Sarjan di 4 RAMD di Muar, Johor dengan berpangkat Sarjan. Apabila mengetahui pihak kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada masa itu ingin menubuhkan pasukan khas Allahyarham bersama 22 anggota 4 RAMD terus membuat permohonan untuk mengikuti pemilihan tersebut. Ketika permohonan dibuat, usia Allahyarham telah pun mencecah usia 35 tahun dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Walaupun ada yang beranggapan beliau sudah tua namun beliau tetap tekad untuk menyertai pasukan elit tersebut dan tidak lama selepas itu Allahyarham diminta menjalani ujian pemilihan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Memandangkan jumlah yang hadir mencecah 300 orang yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan, maka sesi temuduga dan pemilihan telah berlangsung selama empat hari berturut-turut. Untuk berjaya dalam pemilihan ini, Allahyarham perlu menjalani ujian saringan yang ketat dan memeritkan antaranya perlu lulus semua ujian kecergasan, merempuh halangan, berlari, berenang serta ujian ketahanan mental. Daripada 300 anggota yang memohon hanya 15 sahaja yang terpilih mengikuti Kursus Asas Komando selama enam minggu. Pada 25 Feb 1965 Allahyarham di minta untuk melapor diri bagi mengikuti latihan asas komando yang dikendalikan oleh Rejimen ke 40 Komando Marin Diraja British (40th British Royal Marine Commando) di Kem Majidee, Johor Baharu, Johor.
Mohamad Zakaria Abas
Maka bermulalah perjalanan karier Allahyarham sebagai salah seorang pengasas pasukan elit negara. Latihan yang dilaluinya diperingkat awal dikendalikan oleh Mej Bacons dan Kapt Seager begitu mencabar dan memeritkan antaranya latihan terjun maut, iktiar hidup, mendayung dan berenang menyeberangi Selat Tebrau pada waktu malam. Namun begitu tugas Allahyarham sebagai jurulatih di pasukan, sedikit sebanyak memudahkan beliau mengharungi setiap latihan dan lulus dengan cemerlang. Terdapat beberapa kenangan yang masih diingati oleh rakan-rakan Allahyarham sewaktu bersama menjalani latihan. Antara yang masih diingati adalah sewaktu membuat latihan memikul balak yang beratnya lebih 40 kg dan berlari sejauh 1.6 km sambil meredah kawasan lurah, bukit dan belukar serta perlu sampai ke kawasan penamat dalam masa yang ditetapkan dengan kayu balak yang dipikul tidak jatuh. Namun begitu kayu balak yang dipikul oleh kumpulannya terjatuh kira-kira 50 meter dari garisan penamat dan betul-betul dihadapan Ketua Jurulatih Mej Bacon. Dengan wajah bengisnya Mej Bacon telah mengarahkan kumpulan Allahyarham untuk ulang semula latihan itu. Disebabkan geram dan marah dengan arahan yang diberi, tiba-tiba sahaja Allahyarham naik minyak dan memikul balak seorang diri ke tempat permulaan. Mungkin kagum dengan semangat Allahyarham, Mej Bacon akhirnya menyuruh beliau berhenti daripada memikul balak meskipun ketika itu dirinya telah bergerak sejauh berpuluh meter.
Dari kiri, Kpl Zainal, Sjn Mohamad Zakaria Abas, Kapt Goh( Ajutan 4 RAMD dan LKpl Mat Lazim selepas menjadi juara keseluruhan pertandingan menembak antara pasukan tentera negara-negara Timur pada tahun 1956.
Selepas berhempas pulas, akhirnya seramai 12 daripada 15 orang yang melapor diri berjaya menamatkan Kursus Asas Komando termasuk Allahyarham. Bagi melengkapkan kemahiran dalam pasukan dan perkhidmatan beliau telah dihantar menjalani Kursus Jump Master di Batu Djajar, Bandung Indonesia. Sewaktu dalam komando, satu operasi yang tidak dapat dilupakan ialah ketika menjejak seorang komander Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) serta 13 anggotanya di sempadan Serawak-Kalimatan berhampiran Bau. Komander tersebut diketahui sebagai pengganas yang licik apatah lagi beliau pernah mendapat latihan asas di Batu Djajar, Bandung, Indonesia. Selama dua hari penjejakan dilakukan sambil dibantu oleh satu platun Rejimen Renjer Diraja (RRD) akhirnya kem musuh berjaya ditemui namun kesemua anggota pengganas berjaya melarikan diri setelah berjaya menghidu kehadiran pasukan keselamatan. Biarpun masa Allahyarham banyak dihabiskan dalam operasi yang dilakukan namun Allahyarham tetap dianggap istimewa oleh kebanyakan rakan-rakan seperjuangan dan pasukan kerana kecekapannya menembak dengan tepat serta tangkas mengendalikan senjata ringan sehinga diberi julukan Tangan Besi. Kehebatannya menggunakan senjata bukan sekadar di medan pertempuran, tapi turut membantu pasukan menjuarai pelbagai pertandingan menembak termasuk antara pasukan tentera negara-negara Komanwel dan negara-negara timur tengah. Disebabkan itu beliau telah terpilih sebagai salah seorang penembak tepat pasukan dan berkelayakan mengajar dalam bidang tersebut.
Allahyarham 4861 Mohd Zakaria Abas telah bersara dari perkhidmatan pada tahun 1970 dengan pangkat terakhirnya ialah SSjn dan selepas bersara Allahyarham telah ditawarkan berkerja di Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1990 yang mana ketika itu usianya telah mencecah 60 tahun. Pengorbanan beliau akan menjadi sumber ilham kepada anggota-anggota tentera khususnya anggota komando dalam menentang pencerobohan dan perbuatan angkara khianat musuh negara.Perjuangan yang tidak mengenal erti kalah dan jemu dan sentiasa menjujung tinggi cogan kata Grup Gerak Khas Cepat dan Cergas malah sewaktu melaksanakan tugas, banyak darah dan keringat yang mengalir. Pengorbanan ini tidak mengharapkan apa-apa balasan, hanya keikhlasan demi negara tercinta. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.24 pagi, 23 Ogos 2015 sewaktu berumur 84 tahun.
[divider style=”solid” top=”20″ bottom=”20″]
Al Fatihah buat Allahyarham 4861 SSjn Mohd Zakaria Abas serta pejuang tanah air yang lain.
[box type=”info” align=”” class=”” width=””]Artikel ini telah dikeluarkan pada keluaran Majalah BTDM Bil 205[/box]
MELAKA: Seramai 4 pegawai dan 26 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah dianugerahkan Beret Hijau Gerak Khas dalam upacara Perbarisan Penutupan Kursus Asas Komando Siri AK 3/2016 pada 21 Jan 2017 yang disempurnakan oleh Panglima Grup Gerak Khas (GGK), Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim di Pantai Betutu Laut, Sg Udang.
Kursus Asas Komando yang diadakan selama 12 minggu ini melatih penuntutnya agar mempunyai daya ketahanan dan fizikal yang tinggi sejajar dengan kepakaran GGK sebagai barisan penyusupan Tentera Darat.
Dalam ucapan Panglima 21 GGK, beliau mengingatkan kepada semua anggota GGk dan penuntut kursus supaya sentiasa menjaga dan mempertahankan maruah Beret Hijau yang menjadi lambang kepada GGK dan tidak sesekali mencemarkannya dengan perbuatan yang remeh.
“Peperangan pada masa hadapan dan keadaan geo strategik sentiasa berubah dan semakin kompleks memaksa anggota GGK untuk mempersiapkan diri dalam medan perang dan sentiasa berwaspada bila-bila masa dengan menggunakan konsep pertahanan bercorak defensif dalam penggabungan peperangan conventional dan unconventional” katanya.
Penuntut terbaik dinobatkan kepada Lt Muda Muhamad Idzihar Faiq Ibrahim dari Rejimen Kedua Artileri Diraja.
Turut hadir Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Hassan Ali, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kol Adi Ridzwan Abdullah,Komander Operasi, Kol Khairul Anuar Hj Yaakob, veteran komando dan keluarga penuntut.