NEGERI SEMBILAN: Seramai 201 Pegawai Kadet (PK) Graduan dari ketiga cabang perkhidmatan terlibat dalam Perbarisan Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2017 yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Akademi Tentera Darat (ATD) pada 16 Dis 2017.
Perbarisan diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Zakariya Shafii (PK Graduan TDM) yang juga merupakan Pegawai Kadet Graduan Terbaik Keseluruhan 2017 ATD serta diiringi oleh gabungan pancaragam terdiri daripada Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja (RRD), dan Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (KAD) di bawah pimpinan Kapt Abdul Aziz Abdullah.
Sementara itu Pegawai Kadet Graduan Terbaik Keseluruhan 2017 TLDM dianugerahkan kepada PK Graduan Muhammad Nasrin Yaacob manakala Penuntut Keseluruhan Terbaik Pegawai Kadet TUDM disandang oleh PRK Muhammad Syazwan Ahmad.
PAT dalam ucapannya menyeru kepada PK Graduan agar tampil kehadapan untuk berdiri bersama-sama mengabdikan khidmat bakti kepada negara, pertiwi dan membulatkan tekad untuk mempertahankan maruah negara serta kedaulatan bangsa tanpa paksaan sesiapa jua dimana dalam erti kata mudah, tidak kami atau tiada siapa jua yang mengundang mereka untuk menyertai tentera tetapi itulah anak-anak bangsa yang berjiwa besar yang meletakkan kepentingan diri jauh kebelakang dari kepentingan negara.
Sembilan bulan saudara saudari telah dilatih, diajar, diperah keringat, diuji, diduga dan kalanya dipaksa namun itulah dia dunia kita dunia tentera dan selama itulah saudara saudari di asah dengan ilmu mempersiapkan diri menjadi pegawai tentera yang bukan sahaja angkatan tetapi negara serta rakyat boleh sandarkan kepercayaan dan keyakinan.
Selain itu PAT melontarkan empat perkara bagi merintis laluan PK Graduan iaitu pertama berakhlak mulia yang merangkumi pembentukan peribadi serta jiwa perwira sejati dan kedua adalah walaq atau kesetiaan kerana sesuatu organisasi akan hancur jika didalamnya terdapat mereka yang tidak setia.
Manakala yang ketiga adalah keberanian yang merupakan sebagai teras kepada etos kepahlawanan kerana nilai ini membezakan antara tentera dengan organisasi yang lain dan yang keempat adalah teladan yang akan menyatakan bahawa sesuai dengan pangkat semua bawahan hendaklah patuh akan segala arahan dan perintah yang diberi.
Selesai perbarisan, diteruskan dengan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan yang dimulakan dengan TD melibatkan seramai 106 Pegawai Kadet Graduan 2016 diikuti PK Graduan Tentera Laut Diraja Malaysia Pengambilan Ke-25 berkekuatan 44 PK dan PK Graduan Tentera Udara Diraja Malaysia dari Kursus Asas Pegawai Siri 27/17 berjumlah 51 PK.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, KS ATM, Lt Jen Dato’ Abdul Halim Hj Jalal dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri Alwi.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon dan Sjn Gunantharan a/l Baskaran
[srizonfbalbum id=113]