PERAK: Seramai 144 veteran dan empat balu dari Persatuan Veteran 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) dikurniakan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam Majlis Penganugerahan PJM kepada veteran yang berkhidmat semasa darurat menentang komunis dan konfrontasi Malaysia-Indonesia anjuran Persatuan Veteran 25 RAMD yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di hotel terkemuka sekitar Ipoh pada 20 Jan 2018.
PJM adalah sebuah Campaign Medal telah dizahirkan melalui statutnya yang bertarikh 3 Mac 2004 setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan pingat ini dimartabatkan sebagai pingat terkanan dan kekanan susunan berbanding anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya di dalam perkhidmatan.
Pingat ini dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama ada lelaki atau perempuan yang telah berkhidmat dalam ATM mulai 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat kedua atau tempoh yang terlibat di dalam memerangi Pengganas Komunis Malaya secara berterusan mulai 1 Jan 1969 sehingga 2 Dis 1989 dan sehingga 17 Okt 1990 bagi Operasi Menentang Parti Komunis Kalimantan Utara.
Dalam ucapan PTD, beliau menyatakan amat terharu serta teruja kerana diberi penghargaan untuk menyampaikan pingat kepada veteran yang hadir kerana ada dikalangan mereka yang pernah berada bersama-sama melalui jerih perit menentang musuh dalam operasi di era tahun 70an.
Saya mengucapkan syabas diatas penganugerahan pingat ini tetapi kalau kita lihat pingat yang saya pinkan didada hanya satu pingat yang mungkin harganya tidak seberapa tetapi sebagaimana yang saya maklum itu adalah satu pengiktirafan daripada kerajaan terhadap khidmat bakti saudara.
Itulah kebanggaan simbolik terhadap apa yang telah kita curahkan selama ini dan saya berharap agar saudara saudari dapat menghargai pingat yang dianugerahkan sebagai simbolik terhadap perkhidmatan taat setia kepada kerajaan dalam menjaga kedaulatan negara.
Tambahnya lagi, Kementerian Pertahanan turut melancarkan pelbagai inisiatif seperti Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), Skim Anuiti Veteran (SAVe), Kempen Harga Cakna, Blueprint Agenda Pendidikan Kementerian Pertahanan dan Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan ATM menunjukkan bahawa para veteran ATM turut tidak terkecuali untuk mendapat limpahan manfaat dan ini membuktikan bahawa kebajikan para veteran ATM turut sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
Di akhir majlis, PTD menyampaikan sumbangan kewangan kepada Persatuan Veteran 25 RAMD dan beliau turut menerima cenderahati yang disampaikan oleh Penasihat Persatuan Veteran 25 RAMD, Mej Zul Sidek (Bersara).
Turut hadir, Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Mohd Ramli Jaafar, Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Mej Jen Dato’ Mohamad Khir Abdullah, Panglima 2 Bgd, Brig Jen Datuk Mohd Nizam Hj Jaffar dan Yang Dipertua Persatuan Veteran 25 RAMD, Isa Mastor.
Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya
[srizonfbalbum id=137]