PERLIS: Program Tentera Bersama Rakyat (TBR) anjuran Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia (30 Bgd) telah berlangsung di SMK Sanglang pada 24 Feb 2018.
Matlamat utama program ini untuk memberi ruang kepada masyarakat bagi beramah mesra dengan anggota tentera, mengeratkan silaturahim dan memberi pendedahan berkenaan ketenteraan kepada rakyat disamping menarik minat mereka untuk menyetai Askar Wataniah (AW).
Para tetamu didedahkan dengan tayangan video ketenteraan dan Ceramah Suntikan Patriotik yang disampaikan oleh PW I Ielias Ibrahim (B) PGB.
Program ini turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang turut serta mengadakan pameran yang bertujuan untuk memberi ilmu dan pengetahuan kepada pengunjung. Acara telah dimulakan dengan aktiviti pelepasan pertandingan merentas desa oleh Panglima 30 Bgd, Brig Jen Hashim Aman Shah diikuti dengan lawatan ke tapak pameran oleh VIP.
Pengisian utama program ini ialah kenduri rakyat, pameran tentera, pameran jabatan kerajaan, pameran NGO dan swasta, serta demonstrasi TTS dari pasukan 5 RS.
Acara dimeriahkan lagi dengan pertandingan sukaneka, pertandingan wau dan pertandingan street soccer dimana pada masa yang sama, Panglima 30 Bgd bersama Persatuan Veteran Perlis turut mengambil peluang menyantuni veteran tentera dan balu veteran yang berada di sekitar kawasan tersebut sebagai tanda mengenang jasa dan prihatin pada mereka yang pernah berjasa pada negara.
Selain itu, warga tentera turut membantu pihak sekolah dalam pembinaan pondok menunggu bas yang dilaksanakan oleh Skuadron ke 6 RAJD di bawah pimpinan Lt Wan Muhamad Luqman Mohd Shalihuddin.
Majlis penyampaian hadiah dan sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Panglima 30 Bgd sebagai penutup majlis dan turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim, Ketua Staf 30 Bgd, Lt Kol Nazaruddin Ismail dan Peg Mem Bn 5 RS, Lt Kol Mohyeddin Mohd Amin.
Gambar: Pbt Muhammad Iszam Ishnin