NEGERI SEMBILAN: Seramai 188 veteran dan sembilan balu dari Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikurniakan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam Majlis Penganugerahan PJM Peringkat Negeri Sembilan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Auditorium Muzium TD pada 9 Mac 2018.
PJM adalah sebuah Campaign Medal telah dizahirkan melalui statusnya yang bertarikh 3 Mac 2004 setelah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pingat ini dikurniakan kepada anggota ATM sama ada lelaki atau perempuan yang telah berkhidmat dalam ATM mulai 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat kedua atau tempoh yang terlibat di dalam memerangi Pengganas Komunis Malaya secara langsung mulai 1 Jan 1969 sehingga 2 Dis 1989 dan sehingga 17 Okt 1990 bagi Operasi Menentang Parti Komunis Kalimantan Utara.
Dalam ucapan PTD, beliau menyatakan amat teruja kerana diberi penghargaan untuk menyampaikan pingat kepada veteran yang hadir dimana ianya merupakan satu pengiktirafan daripada kerajaan terhadap khidmat bakti kepada mereka.
Pingat ini merupakan suatu penghargaan kepada veteran serta keluarga diatas jasa dan sumbang bakti mereka semasa perkhidmatan di dalam ATM suatu ketika dahulu.
Tambahnya lagi, Kementerian Pertahanan turut melancarkan pelbagai inisiatif seperti Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), Skim Anuiti Veteran (SAVe), Kempen Harga Cakna, Blueprint Agenda Pendidikan Kementerian Pertahanan dan Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan ATM menunjukkan bahawa para veteran ATM turut tidak terkecuali untuk mendapat limpahan manfaat dan ini membuktikan bahawa kebajikan para veteran ATM turut sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
Turut hadir Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri Alwi, Panglima 1 Bgd, Brig Jen Dato’ Hj Reduan Hj Omar, Presiden Persatuan Veteran ATM, Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Hj Mohd Nor (B), Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Tuan Hj Abdul Karim Hj Hussin dan Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Cawangan Negeri Sembilan, Mej Jen Dato’ Hj Sazali Hj Ismail (B).
Gambar: Saifun Hakimi Zainon
[srizonfbalbum id=165]