JOHOR: Seramai 12 pegawai dan 200 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) terlibat dalam Perbarisan Lawatan Ulung Panglima Tentera Darat sempena Hari Ulang Tahun PUTD Ke-23 diketuai oleh Ketua Skuadron Peninjau Taktikal, Rejimen 881 PUTD, Lt Kol Muhammad Fadzarudin Othman di Padang Kawad PUTD pada 12 Mac 2018.
Sebaik ketibaan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, beliau menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan terdiri dari tiga detasmen yang berkonsepkan tempur statik lalu memeriksa perbarisan.
Dalam ucapan PTD, beliau berbangga melihat perkembangan PUTD yang seiring dengan hasrat TD menjadikan PUTD sebagai satu lagi dimensi dalam ketumbukan kekuatan TD meskipun PUTD merupakan kor yang muda namun perkembangannya agak pantas seiring dengan keperluan dan ancaman semasa walaupun di usia 23 tahun.
“Saya berkehendakkan agar semua warga PUTD terus fokus dan bersiap siaga dalam mendepani segala cabaran yang akan datang, perubahan landskap geostrategik serantau dan global yang kian kompleks juga dilihat secara langsung mempengaruhi keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan negara.
“Situasi yang dilihat tenteram pada hari ini boleh bertukar pada bila-bila masa dan ini semestinya menguji tahap keupayaan dan kesiagaan PUTD dan seluruh ketumbukan TD, oleh demikian kita tidak boleh leka serta lalai walau sedetik bagi menangani segala cabaran yang datang kerana PUTD juga merupakan sebahagian dari tulang, nadi dan teras kekuatan TD,” katanya.
Mengimbau sejarah PUTD, pasukan ini ditubuhkan pada 1 Jul 1994 di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kluang, Johor di mana satu Pasukan Pelaksana (Project Team) ditubuhkan pada bulan Jul 1994 untuk menyelia perancangan dan perlaksanaan penubuhan suatu Pasukan Udara untuk TD.
PUTD memulakan operasi penerbangan pada 11 Mac 1995 pada hari 881 Skuadron ditubuhkan dengan rasminya dan ketika itu 881 Skn dilengkapi dengan 10 pesawat SA316B Alouette III yang di pindah milik daripada TUDM lalu sebahagian daripada pangkalan udara di Kluang telah diserahkan oleh TUDM kepada PUTD pada bulan Jan 1996.
881 Skn diisytiharkan beroperasi sepenuhnya pada 29 Mac 1997 dan seramai enam pegawai dari TUDM dan enam pegawai dari TD telah dipinjamkan sebagai Pioneer Team serta di tugaskan untuk membantu menubuhkan PUTD.
Terdahulu dari itu, PTD turut menyempurnakan pemakaian Sayap Kuartermaster Udara TD bagi Pesawat Agusta dan Nuri kepada lima anggota LLP yang berjaya menamatkan Kursus Peralihan Pesawat KMU TD.
Perbarisan kemudian diteruskan dengan acara Penganugerahan Beret PUTD Kehormat kepada PTD yang disempurnakan Pengarah PUTD, Kol Yazid Yusof dan penganugerahan ini adalah kesinambungan pengiktirafan PUTD kepada PTD berdasarkan sifat kepimpinan, kewibawaan, kecemerlangan serta semangat waja beliau menerajui TD.
Turut hadir, Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharudin, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Panglima 7 Bgd, Brig Jen Dato’ Mohd Hassan Loman.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali
[srizonfbalbum id=174]