KUALA LUMPUR: Seramai 1000 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hadir dalam Mesyuarat Agung Ke-12 Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA) yang disempurnakan Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamaruzaman Hj Ahmad Badaruddin merangkap Yang Dipertua (YDP) KSSKA di Wisma Perwira pada 24 Apr 2018.
KSSKA yang ditubuhkan secara rasmi pada 8 Mac 2006 adalah bertujuan untuk memanfaatkan Peruntukan Khas Kerajaan bagi pelaksanaan aktiviti sukan, sosial dan kebajikan di peringkat perkhidmatan, formasi atau pasukan dengan matlamat untuk memupuk, memperkukuhkan serta menyemarakkan perasaan muhibbah serta persefahaman di kalangan warga ATM dengan keluarga masing-masing.
Dalam pada itu, KSSKA memberikan Cek Yuran Keahlian 2017 serta Sumbangan Asas dan Geran Sepadan kepada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Markas ATM, Majlis Sukan Angkatan Tentera (MSAT) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang disampaikan oleh YDP KSSKA.
Turut diadakan Majlis Pelancaran Laman Web KSSKA yang telah dinaiktaraf sejajar dengan peredaran masa serta kemajuan IT bagi menarik minat ahli-ahli untuk melayari dalam mendapatkan informasi terkini, disaksikan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim dan Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Dato’ Sri Affendi Hj Buang TUDM.
Turut hadir, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Dato’ Abdul Halim Hj Jalal, Timbalan Panglima Tentera Darat dan Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi.
Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya
[srizonfbalbum id=209]