KUALA LUMPUR: “Saya melihat penstrukturan semula ini sejajar dengan perkembangan teknologi serta pemodenan yang berlaku kepada Tentera Darat (TD) dalam menghadapi pelbagai spektrum ancaman selaku penyelia perkhidmatan komunikasi kepada TD bukan sahaja menyediakan sistem komunikasi suara malah membangunkan infrastruktur informasi berkapasiti tinggi dan sedia diatur gerak dalam menyokong penugasan trup TD,” ucap Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim semasa Perbarisan Pemakaian Pangkat Perdana RSD di Dataran PTD pada 30 Apr 2018.
Tambah PTD lagi, RSD telah di struktur semula melalui Pelan Transformasi dan Pengukuhan RSD supaya menjadi sebuah ketumbukan yang lebih ampuh serta sedia berhadapan dengan sebarang ancaman dari pelbagai dimensi di mana melalui penstrukturan ini RSD dilihat lebih gah dengan beberapa pemansuhan serta penubuhan pasukan baru selain penyusunan semula struktur pasukan yang sedia ada.
“Saya yakin kejayaan kepada penstrukturan ini bukan usaha dari satu pihak sahaja ianya mesti dari gembleng tenaga dan usaha dari pihak-pihak berkepentingan yang lain,” ujar PTD.
Buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan RSD 65 tahun yang lalu, perbarisan pemakaian pangkat RSD diadakan secara serentak di Wilayah Timur dan Barat sempena transformasi serta penstrukturan baharu RSD yang melibatkan seramai 37 pegawai dan 975 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah dinaikkan pangkat.
Perbarisan Pemakaian Pangkat Perdana ini berkekuatan seramai 36 pegawai dan 867 anggota LLP diketuai oleh Lt Kol Mohd Azlizam Hj Uda daripada Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (KOMLEK) diiringi pancaragam daripada Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja dan Brass Band Wanita RSD di Dataran PTD.
Manakala di Wilayah Timur Sarawak seramai seorang pegawai dan 95 anggota LLP serta di Wilayah Timur Sabah seramai 13 anggota LLP dipakaikan pangkat dan ditonton secara langsung oleh PTD sendiri.
RSD ditubuhkan pada 15 Nov 1952 di mana peranannya untuk menyelia semua aspek komunikasi bagi keperluan operasi, pentadbiran dan logistik TD bersesuaian transformasi yang relevan dengan fungsi tugas serta tanggungjawab yang dipikul pada masa kini melibatkan pembubaran tiga pasukan dan penubuhan enam pasukan yang baharu iaitu Grup Semboyan, 72 RSD, 96 RSD, 99 RSD, 73 SSD GAPU dan 14 Trup Semboyan Diraja (Mek).
Terdahulu sebaik ketibaan PTD, beliau menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan disusuli nyanyian lagu Gagah Setia dan seterusnya bersama-sama dengan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Ketua Pegawai Semboyan, Brig Jen Dato’ Hadiatullah Maknun Hj Ridzuan menyempurnakan acara pemakaian pangkat terhadap pegawai dan anggota LLP.
Turut hadir Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin, Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mardzuki Muhammad dan veteran RSD.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli
[srizonfbalbum id=217]