JOHOR: Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta,zam berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kolam Selam Tempur 21 Grup Gerak Khas (GGK) di Skuadron Perahu Khas (SPK) pada 7 Mei 2018.
Kolam ini dibina untuk meningkatkan lagi kecekapan pasukan khas dalam melaksanakan misi dan operasi di perairan yang dijangka siap dalam tempoh setahun serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti stor peralatan skuba, stor pakaian penyelam, ruangan pejabat dan bilik perubatan dengan berkeluasan 30,000 kaki persegi.
Ketua Staf Am 21 GGK berkata, sejak mula beroperasi pada tahun 2005, Kem Iskandar tidak mempunyai kemudahan latihan kepakaran air dan udara yang mana menyebabkan kesukaran untuk melatih anggota baharu dalam kemahiran di perairan.
“Kini dengan terbinanya kolam ini, kepakaran di dalam air menjadi keutamaan di Kem Iskandar kerana pasukan tempur dari Rejimen 22 Komando boleh melatih anggotanya dengan penuh sistematik dan menjurus kepada kepakaran pasukan.
“Kami yakin pembinaan kolam selam tempur dapat memberi impak berkesan di dalam kepakaran perairan kepada 21 GGK khasnya dan Tentera Darat amnya di mana lokasi yang dipilih bersesuaian dengan penempatan Rejimen di sini yang dikhususkan bagi memiliki kemahiran tinggi dalam operasi perairan,” katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini mereka terpaksa dilatih di kawasan perairan terbuka yang terdedah kepada risiko tinggi berbanding di dalam kolam selam tempur yang boleh dikawal dan diselia oleh jurulatih sedia ada.
Mengimbau sejarah Kem Iskandar Mersing, ianya telah beroperasi sejak 13 tahun yang lalu serta dilengkapi dengan fasilitas khas untuk latihan kepakaran operasi di dataran sahaja dan ia menjadi kekangan kerana tiada kemudahan fasilitas latihan kepakaran air dan udara bagi kegunaan anggota Gerak Khas yang berkhidmat di 21 GGK.
Terdahulu keberangkatan tiba Sultan Johor disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Muhamed Noor dan Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Datuk Jamaludin Jambi lalu baginda menyempurnakan acara pecah tanah dengan menggunakan jengkaut sebagai simbolik perasmian.
Turut hadir Timbalan Panglima TD, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohamad Nawawi dan warga 21 GGK.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan
[srizonfbalbum id=224]