Tag: 21 GGK

  • Aktiviti Menarik Meriahkan Sambutan HUT GGK Ke-58 Fasa Kedua

    Aktiviti Menarik Meriahkan Sambutan HUT GGK Ke-58 Fasa Kedua

    MELAKA: Seramai 700 warga Geruk Gerak Khas (GGK) bersama keluarga melepaskan belon ke udara secara beramai-ramai sebagai gimik perasmian Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) GGK Ke-58 (Fasa Kedua) yang disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mej Jen Adi Ridzwan Abdullah di Padang Kawad Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) pada 22 Dis 2023.

    Acara diteruskan dengan aktiviti Zumba Gerak Khas serta pengunjung yang hadir turut dipersembahkan dengan Skydive Challenge antara pasukan keselamatan bagi melihatkan kepakaran taktik dan teknik pasukan-pasukan elit keselamatan dalam membuat penerjunan.
    Sambutan yang berlangsung selama tiga harı bermula dari 22 Dis sehingga 24 Dis 2023 ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Paintball Competition, Mini Fun Fair, Kereta Kuda, Pertandingan Futsal termasuk gerai-gerai jualan serta pameran aset dan kepakaran GGK.

    Orang ramai turut dijemput hadir bagi memeriahkan lagi aktiviti serta merasai pengalaman dan mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan.

    Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • Delegasi Pasukan Khusus RTA Lawat 21 GGK

    Delegasi Pasukan Khusus RTA Lawat 21 GGK

     

    MELAKA: Commanding General of the Special Warfare Command (SWCOM) Royal Thai Army (RTA), Lt Gen Nuttawut Nakanakorn mengetuai Delegasi RTA melakukan lawatan ke 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Kem Sungai Udang Melaka pada 14 Sep 2022.

    Terdahulu, ketibaan Delegasi RTA disambut Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Ahmad Nubli Hj Hashim sebelum membuat pemeriksaan Kawalan Kuarter.

    Delegasi RTA seterusnya dibawa ke Rejimen 21 Komando (21 Kdo) sebelum bergerak ke Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) bagi mendengar taklimat lawatan.

    Kemudian Delegasi RTA diberi peluang menyaksikan demonstrasi teknik lompatan dan kaedah lipatan payung di Cawangan Payung Terjun dan Cawangan Pelipat Payung Terjun.

    Selain itu, Delegasi RTA turut dipertontonkan dengan demonstrasi tempur dari Cawangan Amfibi dan Cawangan Penyelia Abseiling, Repelling dan Penyelamat Udara (PARPU).

    Delegasi RTA turut berpeluang ke Betutu Laut bagi menyaksikan demonstrasi Close Quarter Combat (Tempur Jarak Dekat) dan Ronda Kumpulan Kecil (RKK) oleh Rejimen Ke-11 Gerup Gerak Khas (11 RGK) serta demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh Skuadron Uniform 11 RGK di Blok Anggerik.

    Lawatan Delegasi RTA digempurkan lagi dengan demontrasi ketangkasan menembak serta berpeluang menyertai acara menembak Friendship Shooting sebagai acara penutup lawatan di Lapangsasar 25 Meter PULPAK.

    Turut hadir, Pengarah GGK, Brig Jen Fouzi Sulaiman, Komandan PULPAK, Kol Zulkinine Yunus, Pegawai Memerintah 11 RGK, Kol Samsyawal Muhamad, Pegawai Memerintah 21 Kdo, Kol Fazdil Hussin dan Pegawai Memerintah 22 Kdo, Kol Normin Mohd Sahar

    Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • TD Komited Kebajikan Warga 21 GGK

    TD Komited Kebajikan Warga 21 GGK

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain melakukan Lawatan Kebajikan ke atas keluarga anggota 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) yang mengalami penyakit kritikal bertempat di Dewan Hafiz, Mersing pada 6 Sep 2021.

    Seramai tujuh waris anggota disantuni PTD dimulai dengan anak kepada Sjn Nazzatul Putri Marina Kamsani dari pasukan Markas 21 GGK iaitu adik Putri Aaira Sofia berusia sembilan bulan disahkan menghidap penyakit Ventricular Septal Defect (VSD) oleh Pakar Jantung, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

    Lawatan Kebajikan diteruskan ke atas isteri kepada Sjn Rohaizad Mat Jamil dari pasukan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) MK Garison iaitu Siti Najiha Mohamad Kusaini yang mengalami Ovarian Cysts dan kini menjalani pemeriksaan serta rawatan susulan secara berkala di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

    Seterusnya PTD menyantuni anak kepada Kpl Mohd Shawal Awang yang berkhidmat di Rejimen 22 Komando (Rej 22 Kdo) iaitu adik Nur Arissa Sofea berumur lapan tahun yang mengalami jantung berlubang di mana beliau kini perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

    Kemudian, lawatan dibuat ke atas anak kepada Kpl Risman Basri dari Rej 22 Kdo, iaitu adik Muhammad Faris Ammar berumur enam tahun yang disahkan mengalami Autisme oleh Pakar Perubatan Hospital Sultan Ismail, Johor.

    PTD seterusnya menyantuni anak kepada Kpl Mior Shahril Bashah dari Skuadron Semboyan Gerak Khas (21 SS GK) iaitu adik Muhammad Adel Safiy berumur tujuh tahun yang menghidap penyakit Autisme dan perlu menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan Klinik Mersing Kanan, Mersing.

    Selain itu, PTD turut meluangkan masa bersama anak kepada Sjn Izwan Zulkifli dari 21 SS GK yang menghidapi sindrom Autisme dan perlu menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan Klinik Mersing Kanan, Mersing.

    PTD mengakhiri Lawatan Kebajikan dengan menyantuni isteri kepada Kpl James Dindang Danggat dari 21 Kumpulan Logistik GGK iaitu Pauline Christina yang disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

    Dalam lawatan ini, PTD turut menyempurnakan pemakaian pangkat Sjn kepada Kpl Risman Basri dan Kpl James Dindang Danggat.

    Setiap waris yang disantuni menerima sumbangan berbentuk hamper, sumbangan peribadi dan sumbangan dari Tabung Kebajikan Tentera Darat bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Lawatan ini dilaksanakan secara ringkas serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

    Turut hadir, Panglima 21 GGK, Mej Jen Nubli Hj Hashim dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Iftar Warga 21 GGK Bersama PTD

    Iftar Warga 21 GGK Bersama PTD

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyeru kepada semua warga 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah serta hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di sepanjang bulan Ramadhan ini.

    “Selaku benteng utama pertahanan negara, kita tidak seharusnya jadikan puasa sebagai alasan untuk mengurangkan tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab, sebaliknya jadikan bulan yang mulia ini sebagai medan latihan untuk pembentukan keperibadian yang unggul.

    “Ibadah puasa akan menjadikan kita seorang yang taat, penyabar, pemurah, sedia berkorban, prihatin terhadap kesusahan dan kekurangan orang lain selain melatih sifat gigih, tekun serta melahirkan nilai kejujuran dan keikhlasan dalam diri kita,” jelas PTD.

    PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Majlis Berbuka Puasa bersama warga 21 GGK di Kem Sungai Udang pada 30 Apr 2021.

    Selain itu, beliau turut menasihati warga 21 GGK agar menjaga kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga masing-masing khususnya dari ancaman COVID-19.

    Sebelum mengakhiri ucapan, PTD merakamkan ucapan terima kasih kepada Panglima dan seluruh warga 21 GGK di atas penganjuran majlis ini dan berharap warga 21 GGK dikurniakan kekuatan jasmani serta keteguhan rohani agar berupaya menyokong usaha pucuk pimpinan.

    Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Panglima 21 GGK, Mej Jen Datuk Jamaluddin Jambi bagi melaksanakan Latihan Menembak Pistol Pegawai Kanan Rej 21 GGK di Lapang Sasar Tempur Rej 21 Komando.

    Seterusnya, PTD bersama-sama warga 21 GGK berbuka puasa lalu menunaikan Solat Maghrib dan Isyak serta disusuli dengan Solat Sunat Tarawih sebelum menyempurnakan penyampaian sumbangan Tabung Musaadah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada 15 anggota 21 GGK yang memerlukan bagi meringankan beban kepada penerima.

    Pelaksanaan majlis ini selaras dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang mana focus pucuk pimpinan TD adalah memperlengkapkan keperluan kebajikan dan kesejahteraan warga serta keluarga dalam bentuk saluran bantuan berupa kewangan atau keperluan barangan harian yang diharapkan dapat meningkatkan kualiti kehidupan segenap lapisan warga TD

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • PTD Di Anugerah Beret Hijau Kehormat

    PTD Di Anugerah Beret Hijau Kehormat

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dianugerahkan Beret Hijau Kehormat yang disempurnakan Panglima 21 Grup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Datuk Jamaludin Jambi bertempat di Padang Kawad Markas 21 GGK pada 5 Nov 2020.

    Terdahulu dari itu, PTD menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada anggota 21 GGK terdiri daripada dua pegawai dan 98 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Mohamad Faezi Ruslan.

    Penganugerahan ini adalah sebagai penghormatan dan pengiktirafan Rejimen Gerak Khas (RGK) terhadap individu, pemimpin tertinggi tentera diatas ketokohan, kewibawaan dan kecemerlangan sebagai peneraju TD setelah diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

    Ketokohan, kewibawaan dan kecemerlangan PTD Ke-28 menjadi asas penganugerahan tersebut yang mana komitmen beliau dalam menentukan kecemerlangan TD, serta mendaulatkan pertahanan negara adalah tidak ternilai harganya dan merupakan sesuatu yang amat membanggakan TD.

    Dalam aspek pembangunan Gerak Khas khususnya, PTD telah banyak mencurahkan buah fikiran bagi mempertingkatkan keupayaan dan keunggulan Gerak Khas disamping turut prihatin, peka dan sentiasa membantu untuk menentukan Gerak Khas menjadi satu organisasi yang mantap serta berupaya melaksanakan peranan dan tugas yang diamanahkan.

    Acara diteruskan dengan demonstrasi daripada pasukan 21 GGK dimana demonstrasi terdiri daripada Rundown dan Penerjunan Bebas dari pesawat Eurocopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui kaedah Over Head Drop dengan membawa Beret Hijau Kehormat.

    Selepas penyempurnaan penganugerahan tersebut, PTD telah diberi taklimat berkaitan perkara latihan dan operasi, pentadbiran dan logistik serta hala tuju 21 GGK oleh Panglima 21 GGK.

    Kehadiran PTD ke Markas 21 GGK juga bersempena Lawatan Ulung beliau selepas menerajui tampuk Pemerintahan Tertinggi TD secara rasminya pada 11 Jun 2020 yang lalu.

    PTD turut dipertontonkan dengan demonstrasi kepakaran 21 GGK antaranya adalah Advance Shooting, Face to Face Shooting, Agility Shooting, Sniper Option dan Tempur Jarak Dekat terdiri daripada Room Entry/Hostage Rescue serta One Combat Room.

    Setelah itu PTD mengadakan perjumpaan bersama warga 21 GGK di Hangar Skuadron Perahu Khas (SPK) dan dalam ucapannya beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Panglima dan seluruh warga 21 GGK kerana berjaya muncul sebagai sebuah ketumbukan yang digeruni lawan dan disegani kawan sama ada di dalam mahupun di luar negeri.

    Disamping itu, beliau menyeru kepada semua warga 21 GGK untuk meneruskan usaha baik dengan meningkatkan tahap kesiagaan sedia ada dengan kemahiran khusus yang tinggi serta peralatan yang terkini seiring menjadikan TD benteng pertahanan negara yang terunggul.

    Beliau juga menegaskan setiap warga TD membawa imej TD sebilang masa dan menjadi tanggungjawab untuk memastikan imej ini sentiasa terpelihara.

    “Sebarang salah laku seperti peyalahgunaan dadah, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, judi, curi dan lain-lain sudah pasti menjejaskan nama baik organisasi dan saya menyeru kepada semua agar menghindarkan diri daripada aktiviti terebut.

    ”Sebaliknya tonjolkanlah kecemerlangan kita sebagai sebuah ketumbukan yang berdisiplin tinggi dan sentiasa mengutamakan kecemerlangan agar kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan tentera luar negara,” tegas beliau.

    Tambahnya lagi, beliau percaya dan mempunyai harapan yang amat tinggi terhadap 21 GGK untuk menjadi contoh kepada formasi lain dalam merialisasikan Perintah Ulung beliau yang mana dengan sumber manusia serta aset terbaik dimiliki 21 GGK seharusnya mampu menjadi pemandu ke arah usaha memperkasakan keupayaan TD.

    Turut hadir Asisten Ketua Staf (AKS) Operasi dan Latihan, Mej Jen Datuk Hamdan Ismail, AKS Sumber Manusia TD, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, AKS Perancangan dan Pembangunan TD, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Ketua Staf Am MK 21 GGK, Brig Jen Khairul Anuar Hj Yaacob.

    Gambar: Sjn Saiful Fazley dan Saifun Hakimi Zainon

  • Sultan Johor Rasmi Pecah Tanah Kolam Selam Tempur 21 GGK

    JOHOR: Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta,zam berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kolam Selam Tempur 21 Grup Gerak Khas (GGK) di Skuadron Perahu Khas (SPK) pada 7 Mei 2018.

    Kolam ini dibina untuk meningkatkan lagi kecekapan pasukan khas dalam melaksanakan misi dan operasi di perairan yang dijangka siap dalam tempoh setahun serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti stor peralatan skuba, stor pakaian penyelam, ruangan pejabat dan bilik perubatan dengan berkeluasan 30,000 kaki persegi.

    Ketua Staf Am 21 GGK berkata, sejak mula beroperasi pada tahun 2005, Kem Iskandar tidak mempunyai kemudahan latihan kepakaran air dan udara yang mana menyebabkan kesukaran untuk melatih anggota baharu dalam kemahiran di perairan.

    “Kini dengan terbinanya kolam ini, kepakaran di dalam air menjadi keutamaan di Kem Iskandar kerana pasukan tempur dari Rejimen 22 Komando boleh melatih anggotanya dengan penuh sistematik dan menjurus kepada kepakaran pasukan.

    “Kami yakin pembinaan kolam selam tempur dapat memberi impak berkesan di dalam kepakaran perairan kepada 21 GGK khasnya dan Tentera Darat amnya di mana lokasi yang dipilih bersesuaian dengan penempatan Rejimen di sini yang dikhususkan bagi memiliki kemahiran tinggi dalam operasi perairan,” katanya.

    Tambahnya lagi, sebelum ini mereka terpaksa dilatih di kawasan perairan terbuka yang terdedah kepada risiko tinggi berbanding di dalam kolam selam tempur yang boleh dikawal dan diselia oleh jurulatih sedia ada.

    Mengimbau sejarah Kem Iskandar Mersing, ianya telah beroperasi sejak 13 tahun yang lalu serta dilengkapi dengan fasilitas khas untuk  latihan kepakaran operasi di dataran sahaja dan ia menjadi kekangan kerana tiada kemudahan fasilitas latihan kepakaran air dan udara bagi kegunaan anggota Gerak Khas yang berkhidmat di 21 GGK.

    Terdahulu keberangkatan tiba Sultan Johor disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Muhamed Noor dan Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Datuk Jamaludin Jambi lalu baginda menyempurnakan  acara pecah tanah dengan menggunakan jengkaut sebagai simbolik perasmian.

    Turut hadir Timbalan Panglima TD, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohamad Nawawi dan warga 21 GGK.

    Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

    [srizonfbalbum id=224]

  • Penutup Kursus Juruselam Siri JS 1/2018

    SABAH: Seramai seorang pegawai dan 19 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari 21 Grup Gerak Khas (GGK) dan dua anggota Johor Military Force (JMF) telah berjaya menamatkan Kursus Juruselam Siri JS 1/2018 dalam majlis penutup yang disempurnakan oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri Alwi di Semporna pada 21 Apr 2018.

    Penuntut keseluruhan terbaik disandang oleh Kpl Iskandar Saifudin manakala penuntut akademik terbaik, Lt Mohd Hafizan Md Yusop dan anugerah penyelam terbaik dipegang oleh Tpr Arner Daud dimana kesemua mereka dari pasukan Rejimen 22 Komando.

    Kursus ini telah dilaksanakan selama enam minggu mulai 19 Mac sehingga 27 Apr 2018.

    Turut hadir, Komandan PULPAK, Kol Adi Rizdwan Abdullah, Ketua Penempatan Pengkalan Operasi Hadapan Polis Marin Pulau Mabul, Insp Mohd Nor Iftikhar Makhtar.

  • Penutup Hari Pengajian 21 GGK Siri 2/2018

    JOHOR: Ketua Staf Am 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Brig Jen Datuk Jamaluddin Jambi menyempurnakan Majlis Penutup Hari Pengajian 21 GGK Siri 2/2018 di Kompleks Dewan Jenalik pada 20 Apr 2018.

    Kem Iskandar Mersing, Johor yang bermula sejak 16 Apr 18 selama seminggu.

    Dalam ucapan KS AM MK 21 GGK beliau berkata konsep Hari Pengajian ini dilaksanakan dalam bentuk latihan taktik tanpa terup berdasarkan kepada satu senario latihan di mana setiap pasukan dikehendaki mengadakan elemen pemerintah pegawai dan PTTK mengikut organisasi dibawah pensukturan semula 2017 untuk satu skn tempur.

    “Pegawai dan PTTK akan membentuk kumpulan perbincangan mengikut pasukan masing-masing berdasarkan senario latihan yang diberikan serta hendaklah membuat perancangan dari peringkat skuardron hingga ke peringkat tim bagi melaksanakan operasi khusus mengikut peranan dan tugas 21 GGK,” kata beliau.

    Selain itu mereka yang terlibat ini dikehendaki meningkatkan tahap pengetahuan berkaitan operasi khusus, merancang dan melaksanakan serta mengawal satu-satu operasi pasukan khusus.

    Hari Pengajian ini bermula dengan taklimat konsep operasi serta perancangan aturgerak oleh pasukan-pasukan, pembentangan rancangan operasi, perbincangan dan penggulungan rancangan operasi oleh pasukan sebelum eksesais yang sebenar di Sabah pada bulan Okt 2018.

    Gambar: SSjn Ahmad Norizam Jaaffar

  • Penutup Pertandingan Ujian UKM 21 GGK Tahun 2018

    JOHOR: Panglima 21 Grup Gerak Khas, Mej Jen Datuk Hasan Ali menyempurnakan upacara Penutup Pertandingan Ujian Kemahiran Menembak 21 Grup Gerak Khas (UKM 21 GGK) tahun 2018 di Kompleks Lapang Sasar Kem Iskandar Mersing pada 13 Apr 2018.

    Acara pertandingan ini telah bermula pada 09 hingga 13 Apr 2018 yang merupakan acara tahunan bertujuan untuk menguji ketangkasan pegawai dan anggota 21 GGK dalam pengendalian senjata kecil selain menguji ketahanan mental, fizikal serta kemahiran menembak dalam pelbagai kedudukan, lokasi dan keadaan.

    Pada masa sama dapat meningkatkan standard kemahiran menembak individu dan melahirkan pegawai serta anggota 21 GGK yang mempunyai multi skill.

    Pertandingan UKM 21 GGK tahun ini juga dijadikan sebagai platfom yang terbaik bagi pemilihan bakat-bakat untuk mewakili pasukan menembak 21 GGK ke pertandigan UKM TD.

    Seramai dua pegawai dan 37 anggota yang terdiri dari pasukan Rejimen 11 Gerak Khas, Rejimen 21 Komando, Rejimen 22 Komando dan MK 21 GGK telah dipilih untuk menyertai pertandingan UKM TD pada tahun 2018 yang dijangkakan akan diadakan pada bulan Ogos ini.

    Turut diadakan pertandingan menembak jatuh piring novelti jemputan yang disertai oleh Angkatan Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ), Agensi Pengukusaan Maritin Malaysia (APMM), PDRM, CSJ Zon Selatan dan PULPAK.

    Gambar: SSjn Ahmad Norizam Jaafar

  • Program Derma Darah Warga TD

    MELAKA: Seramai 1300 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) sekitar Melaka dan Negeri Sembilan melibatkan pasukan serta trup dari 3 Div, 10 Bgd (Para), PLDTD, PLTD dan 21 GGK terlibat dalam Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-85 anjuran 10 Bgd (Para) dengan kerjasama Pusat Darah Negara di Dewan Serbaguna Kem Terendak pada 20 Mac 2018.

    Acara turut diserikan dengan kehadiran Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan diiringi Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim telah menyerahkan beg Darah kepada Dr Thane Moze Darumalinggam, wakil Pengarah PDN sebagai simbolik Program Derma Darah TD kepada Pusat Darah Negara sebagai sumbangan bakti Warga TD.

    Program Derma Darah ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak 983 beg darah sepanjang acara berlangsung mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

    Gambar: Sel Risik MK 10 Bgd (Para) dan PR 3 DIV