KUALA LUMPUR: Seramai 560 orang warga Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) yang bekerja di Kementerian Pertahanan hadir dalam Majlis Perjumpaan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bersama warga MK ATM sempena Perutusan Hari Raya Aidilfitri di Auditorium KEMENTAH pada 7 Jun 2018.
Tujuan perjumpaan tersebut adalah untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan menasihatkan semua warga ATM yang akan pulang ke kampung halaman agar berhati-hati di jalan raya serta merancang perjalanan dengan baik dan tidak dipengaruhi dengan emosi negatif agar selamat pergi dan selamat pulang.
Dalam perutusannya, beliau turut berpesan kepada seluruh warga ATM agar mengambil peluang dan kesempatan ini untuk pulang ke kampung halaman berjumpa serta meraikan sambutan perayaan Aidilfitri dengan ibubapa serta sanak saudara bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang terjalin.
“Dalam kemeriahan menyambut syawal yang bakal menjelma kita perlu bersederhana sahaja dan tidak melebih-lebih dalam berbelanja dan bagi yang bakal pulang ke kampung halaman tidak kira di mana sahaja, berhati-hati dalam pemanduan dan ingatlah orang di kampung halaman menanti untuk menyambut dengan keriangan bukannya kepiluan,” ujarnya.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon