SARAWAK: Sambutan Hari Pahlawan memberi seribu makna kepada bekas-bekas pejuang bangsa yang pernah berkorban untuk mempertahankan negara yang diadakan di Makam Pahlawan Kuching pada 31 Jul 2018.
Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Lt Jen Datuk Stephen Mundaw, dalam ucapannya menyatakan bahawa Sambutan Hari Pahlawan ini amat besar ertinya dan rakyat wajar mengingati tarikh 31 Jul setiap tahun bagi memperingati budi serta perjuangan para pahlawan yang banyak berkorban demi keamanan yang dinikmati pada hari.
Menurut beliau lagi generasi muda masa kini yang juga merupakan pewaris negara haruslah menjaga keamanan dengan penuh semangat kepahlawanan agar terus dapat diwarisi kepada generasi akan datang.
Pada sambutan ini, anggota tentera dan polis yang masih bertugas serta veteran berkumpul bagi memberikan penghormatan kepada rakan-rakan mereka yang gugur serta anggota yang banyak berkorban mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Selain di Makam Pahlawan Taman Budaya Kuching Sambutan Hari Pahlawan di Sarawak pada tahun ini turut diadakan secara serentak iaitu di Bau, Kubur Bujang Berani Veteran Kpl Nyopis ank Noyet PGB, Kampung Buntal di Kubur Veteran Trp Rasli bin Buang SP dan di Kapit, Kubur Anglican Jalan Seramik di mana telah bersemadinya 21 orang Veteran di kubur tersebut.
Sambutan Hari Pahlawan yang diadakan di Makam Pahlawan ini dihadiri oleh kira-kira 100 orang pegawai tentera dan polis lain-lain pangkat serta pesara-pesara tentera dari Persatuan-persatuan veteran di Sarawak.
Turut hadir Menteri Pendidikan Sains Dan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dato Ranum Mina, Panglima 1 Div, Mej Jen Dato’ Toh Choon Siang, serta Pegawai Kanan Tentera Darat.