MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi telah mempengerusikan Mesyuarat Pelbagai Hala Panglima-Panglima Tentera Darat Negara ASEAN (ACAMM) di hotel terkemuka di Bandar Hilir pada 26 Nov 2018.
Terdahulu dari itu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah merasmikan Mesyuarat ACAMM dan beliau juga turut menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut bukan sekadar tempat bertukar-tukar maklumat mengenai trend yang berlaku di negara masing-masing sebaliknya menjadi gelanggang untuk pasukan Tentera Darat dari negara Asean membincangkan permasalahan berkaitan keselamatan negara dan serantau.
ACAMM yang diadakan sejak tahun 2000 itu dihadiri Panglima Tentera Darat dalam kalangan 10 negara Asean iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Tujuan utama persidangan ini diadakan untuk memupuk persahabatan serta meningkatkan perkongsian pengetahuan serta memberi peluang bagi membina kepercayaan di kalangan negara-negara ASEAN.
Perkara utama yang diberi perhatian ialah usaha bagi mengekang kegiatan pengganas serta militan di mana jalinan kerjasama yang strategik antara tentera dan pihak bukan tentera dapat diwujudkan agar perkongsian maklumat antara pihak keselamatan diperoleh bersama.
Kerjasama menerusi diplomasi ketenteraan dan perkongsian maklumat risikan akan dapat menyelesaikan ancaman dan pasti membuahkan hasil yang lebih berkesan dalam menjaga kepentingan masing-masing.
Selain ACAMM antara program yang berlangsung selama 10 hari itu bermula dari 17 Nov 2018 termasuk Asean Armies Rifle Meet (AARM) dan Asean Sergeant Majors Annual Meeting (Asmam).
Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin dan pegawai-pegawai kanan TD negara ASEAN.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon