Tag: ASEAN

  • ACAMM Erat Hubungan Ketenteraan Negara ASEAN

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi telah mempengerusikan Mesyuarat Pelbagai Hala Panglima-Panglima Tentera Darat Negara ASEAN (ACAMM) di hotel terkemuka di Bandar Hilir pada 26 Nov 2018.

    Terdahulu dari itu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah merasmikan Mesyuarat ACAMM dan beliau juga turut menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut bukan sekadar tempat bertukar-tukar maklumat mengenai trend yang berlaku di negara masing-masing sebaliknya menjadi gelanggang untuk pasukan Tentera Darat dari negara Asean membincangkan permasalahan berkaitan keselamatan negara dan serantau.

    ACAMM yang diadakan sejak tahun 2000 itu dihadiri Panglima Tentera Darat dalam kalangan 10 negara Asean iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

    Tujuan utama persidangan ini diadakan untuk memupuk persahabatan serta meningkatkan perkongsian pengetahuan serta memberi peluang bagi membina kepercayaan di kalangan negara-negara ASEAN.

    Perkara utama yang diberi perhatian ialah usaha bagi mengekang kegiatan pengganas serta militan di mana  jalinan kerjasama yang strategik antara tentera dan pihak bukan tentera dapat diwujudkan agar perkongsian maklumat antara pihak keselamatan diperoleh bersama.

    Kerjasama menerusi diplomasi ketenteraan dan perkongsian maklumat risikan akan dapat menyelesaikan ancaman dan pasti membuahkan hasil yang lebih berkesan dalam menjaga kepentingan masing-masing.

    Selain ACAMM antara program yang berlangsung selama 10 hari itu bermula dari 17 Nov 2018 termasuk Asean Armies Rifle Meet (AARM) dan Asean Sergeant Majors Annual Meeting (Asmam).

    Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin dan pegawai-pegawai kanan TD negara ASEAN.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • AARM 2018 Bermula

    MELAKA: Seramai 500  tentera terdiri dari 10 negara ASEAN menyertai Kejohanan Menembak 28th ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2018 yang diadakan dari 18 hingga 24 Nov 2018.

    Acara pembukaan kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah di Dataran Lapang Sasar 400 meter Kem Terendak pada 17 Nov 2018.

    Kejohanan AARM 2018 merupakan penganjuran kali kelima bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), selepas kali terakhir menganjurkannya pada tahun 2010 dimana TDM mengambil giliran selaku tuan rumah selepas AARM 2017 yang dikelolakan oleh Tentera Darat Singapura.

    Pelbagai kategori senjata yang dipertandingkan antaranya Pistol Lelaki, Pistol Wanita, Rifle, Carbine dan Machine Gun yang mana kesemua pertandingan akan diadakan di Lapang Sasar Kem Terendak meliputi Lapang Sasar 100m, 400m dan 600m.

    AARM merupakan acara pertandingan menembak tahunan yang diadakan sebagai satu bentuk pengukuhan hubungan kerjasama antara Tentera Darat Negara ASEAN sejak tahun 1991 dan  diperkenalkan oleh TDM hinggalah kini kejohanan memasuki edisi Ke-28.

    Selain itu, semasa acara pembukaan turut diadakan Pertandingan Menembak Novelti Pegawai Kanan dalam acara Pistol.

    Pada masa sama, TPTD berkesempatan berjumpa dengan Tim Menembak TDM dan memberi kata-kata perangsang agar Tim TDM memperoleh kejayaan dalam AARM 2018.

    Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Wira Zamrose Mohd Zain, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan pegawai kanan TDM.

    Gambar: SSjn Vijay Gaunder Arikrishnan

  • Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Tim Menembak TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi diiringi Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah,  menyerahkan Jalur Gemilang kepada  Pengurus Tim Menembak Tentera Darat (TD), Lt Kol Roszaini Mohamad Alide  dalam Majlis Penyerahan Bendera Jalur Gemilang di Bilik Rehat Sekretariat TD pada 5 Nov 2018.

    Penyerahan bendera itu sebagai pemberi semangat serta menandakan tim tersebut mewakili negara dalam Pertandingan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM)  yang akan diadakan di Lapang Sasar Kem Terendak, Melaka dari 17 hingga 27 Nov 2018.

    Seramai sembilan pegawai dan lapan anggota Lain Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam  kejohanan tahunan bertaraf dunia tersebut yang turut melibatkan 10 buah negara.

    AARM 2018 merupakan pertandingan menembak tahunan yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan operasi ketenteraan dalam pertempuran serta menumpukan pada kemahiran dan penggunaan senjata, di mana penglibatan peserta-peserta di seluruh dunia turut dipertandingkan.

    Pertandingan tahun ini, Tim TD bakal menerima tentangan hebat dari negara Indonesia sebagai juara bertahan manakala Thailands sebagai pencabar terdekat.

    Dalam ucapan PTD, beliau mahukan semua penembak-penembak TD melakukan yang terbaik semasa pertandingan nanti kerana mereka ini membawa nama negara sekaligus menaikkan imej ATM serta maruah TD dalam pertandingan yang berprestij tersebut.

    “Kita bertanding untuk menang,  jadi bertanding lah dengan bersungguh-sungguh demi menjaga nama TD amnya dan ATM khasnya serta di masa yang sama persembahkan mutu disiplin yang tinggi” ujar PTD.

    Turut Hadir Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin dan pegawai kanan TD.

    Gambar Oleh: Saifun Hakimi Zainon