“Sjn Gandat! Bawa anggota Platun Ngelaban kita ke kawasan Lundu! Jejaki musuh disana!”, Ketua Platun Ngelaban, Lt M Kuldip Sigh memberi arahan kepada Ketua Ronda Kumpulan Kecil (RKK) itu. Sjn Gandat tanpa berlengah, terus mengatur gerak anggota di bawah pimpinannya ke lokasi yang diarahkan oleh ketua platunnya itu. “Kpl Mathew! Beritahu kepada Beliang dan semua tim kita! Kita akan bergerak ke kawasan sekitar Lundu untuk menjejaki musuh!”, ujar Sjn Gandat dengan muka yang serius. “Baik Jen!!”, balas Mathew dengan pantas lantas terus memanggil semua anggota Platun Ngelaban untuk diaturgerak.
Memancing
Sekitar jam 1400, Platun Ngelaban dianggotai oleh Rjr Beliang ak Bali, Rjr Mathew Bandah ak Ujang, Rjr Frederick ak Angau, Ranjer Baru ak Agong, dan Rjr Morni bin Morshidi, diketuai Sjn Gandat ak Merdan berhenti dan membuat penempatan sementara untuk berehat dan mengumpul tenaga bagi meneruskan misi serta tanggungjawab yang digalas selepas seharian mereka meronda. Hasil rondaan merekan masih belum mendatangkan hasil. Tiada sebarang tanda yang mempamerkan kewujudan sang jahanam itu. Justeru mereka mengambil keputusan untuk berehat seketika dan membuat pengkalan sementara di situ.
“Mana Beliang?”, Mathew bertanya kepada Frederick selepas tidak nampak Beliang buat beberapa ketika. “Ah! Bukan kau tak kenal dia. Si kaki rayau tu mana boleh duduk diam! Pergi memancinglah tu”, balas Frederick. Tergelak seketika mereka berdua mengenangkan sahabat mereka yang seorang itu. Manakan tidak, mereka telah pun membayangkan Beliang sedang memancing dalam keadaan berseluar dalam sahaja. Kenal benar mereka akan sahabat karib mereka itu. Bukan kali pertama mereka beroperasi bersama. Setiap kali operasi sebegini, Belianglah yang akan mencari rangsum basah mereka dengan hanya memakai seluar dalam, pouches dan senjata M16. Ia seolah-olah uniform Beliang ketika berada di dalam hutan.
Bintang Tiga
Beliang yang ketika itu sedang asyik mencari makan “mewah” beliau dan teman seperjuangan menghentikan aktvitinya memandangkan hari telah menjelang senja. “Cukuplah ni. Aku rasa ni pun dah cukup mengenyangkan”, bisik Beliang sendiri. Beliang mula berkemas-kemas untuk pulang ke pengkalan sementara mereka. Usai sudah berkemas, beliau mula menyusun langkah. Dalam perjalanannya itu, beliau melintasi Kg Tembaga untuk pulang ke pengkalan dan langkahnya terhenti matanya tertumpu ke arah penduduk kampung yang berlari anak ke arahnya.
“Nama kebuah bala kitak belandak?”, ujar Beliang bertanyakan mengapakah penduduk kampung itu menerpa ke arahnya. “Tadik aku bisi medak bala raban org ngena topi logo bintang merah nuju ke arah kin!” sambil menunjukkan ke arah hutan di sebarang kampungnya itu. Beliang terkejut dengan perkhabaran orang kampung yang terserempak dengan pengganas komunis menuju ke arah hutan dibelakangnya itu. “Betul kah? Mana dia?” Beliang masih terperanjat dengan maklumat yang disampaikan. “Eh? nuan kediri kah? Bahaya nuan deka kin kediri”, balas penduduk kampung yang kurang yakin melihat Beliang berseorangan yang mahu menuju ke lokasi beliau maksudkan. Malah keyakinan beliau semakin jatuh apabila melihat Beliang hanya berseluar dalam sahaja. “Ah! Tak apalah! Apai! Bawa aku ke sana”, Beliang terus dibawa menuju ke arah yang ditunjukkan oleh penduduk kampung itu.
Hujung Tanduk
Beliang kini berada di lokasi terakhir tempat musuh dilihat. Beliang tidak peduli sama ada dia berseorangan atau tidak. Tidak terbit langsung perasaan gusar dan takut dalam diri anak Iban ini. Baginya yang utama adalah musuh durjana harus ditumpaskan daripada menganggu gugat negara yang merdeka ini. Beliang terus menggunakan kemahirannya untuk menjejak laluan pengganas jahanam itu. Sememangnya ahli tim RKK mereka ini semuanya handal dalam menjejak dalam hutan. Tambahan daripada itu, hutan memang merupakan tempat permainan mereka sejak kecil lagi. Sehingga di suatu kawasan, Rjr Beliang merasakan dirinya sudah berada dekat benar dengan kedudukan musuh memandangkan jejak yang ditinggalkan di tempat itu tampak seperti baharu.
Beliang mengambil kedudukan merangkak. Langit semakin gelap. Beliau terus berusaha menyusup untuk bergerak lebih ke hadapan. Nah! Terus beliau nampak kedudukan khemah musuh di hadapan hanya berjarak empat meter dari kedudukannya! Tiga orang di situ! “Alamak! Ini bukan kumpulan ronda musuh! Ini adalah pengkalan sementara musuh!”, Beliang baharu menyedari bahawa beliau kini berada di tengah-tengah pengkalan mereka.
Namun semua sudah terlewat. Beliang kini terperangkap. “Ah! Apa nak jadi, jadilah!”, Beliang terus cekal berdiri tanpa memikirkan keselamatan dirinya. Hatinya membentak mahu membunuh musuh itu tanpa mengira apa jua yang bakal menimpanya kelak. Rupa-rupanya musuh itu juga dalam keadaan peka dan terus mengambil tindakan. Bam!!! Bam!!! Bamm!! Bunyi tembakan kedengaran. Beliang tidak sempat menenang ke arah musuh. Hanya muncung senjatanya sahaja diacukan ke arah musuh berpandukan pandangan mata sahaja. Pengganas komunis itu juga meledakkan tembakan pada masa yang sama. Nasib beliau baik apabila peluru itu hanya melepasi tubuh beliau. Namun malang pula buat musuh itu apabila terpusing dimamah dek penangan tembakan Beliang. Melihat rakannya tersungkur, terus membuatkan musuh yang lainnya melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Beliang. Beliang dihujani ratusan peluru. Namun ia sedikit tidak menggentarkan Beliang. Beliau tetap tenang dalam keadaan itu. Sekelumit pun Beliang tidak merasa gentar dihambur hujan peluru musuh yang tidak berhenti. Beliang tenang juga berfikir bagaimana untuk terus melawan dan akhirnya memperolehi idea untuk menentang musuh yang jumlahnya dianggarkan dua seksyen, berkali ganda daripada dirinya seorang.
Tipu Helah
Keadaan kini benar-benar gelap. Beliang bangkit memerah segala kudratnya untuk melepaskan tembakan. Beliau terus berlari menuju ke arah kedudukan musuh. “Nombor Satu Platun!!! CHARGEEEEE!!!!!!”, bertempik Beliang sambil berlari meledakkan tembakan. Beliau menjerit lagi, “Nombor Dua Platun!! CHARGEEEE!!!! Keadaan yang gelita itu kini benar-benar menyebelahi Beliang. Musuh tidak nampak di mana kedudukan Beliang. Selang beberapa ketika keadaan sunyi sepi. Tiada lagi tembakan Beliang dibalas. Musuh semua telah melarikan diri. Beliang terus melutut. Kakinya tidak terdaya lagi. Rancangannya berjaya. Musuh benar-benar terpedaya dengan tipu helah Beliang. Mereka benar-benar percaya bahawa yang menggempur mereka berkekuatan satu kompeni atau lebih. Nasib Beliang baik. Perancangannya sama sekali berkesan dan membantu memenangi pertembungan ini.
Beliang terus mengambil perlindungan. Diperhatikan keadaan sekeliling. Senyap dan sunyi.Kini beliau benar-benar yakin bahawa semua sang jahanam telah melarikan diri. Tiba-tiba Beliang terlihat segenap tubuh berlari menuju ke arahnya. Terkejut dengan keadaan itu Beliang bersedia melepaskan tembakan. “Beliang!”, suara yang beliau kenal memanggil. Frederick dan Baru tiba di lokasi kejadian. Beliang mulai lega melihat rakan-rakannya tiba. Beliau telah banyak menggunakan tenaga sebentar tadi. Tidak larat sudah untuk beliau bertempur sekali lagi. Beliang dan rakannya kembali semula ke pengkalan sementara mereka. Dilaporkan insiden tersebut ke markas batalion Beliang tidak terkejut bagaiamana rakan seperjuangannya boleh menjumpai dia di situ kerana memang keupayaan Platun Ngelaban dalam penjejakan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Hebat belaka semuanya.
Keesokan paginya, anggota pasukan Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) datang ke kawasan pertempuran untuk membuat search party. Hasil daripada itu mereka telah menemui dua jasad musuh yang terbujur kaku. Beliang telah berjaya membunuh dua orang musuh. Paling tidak disangka adalah salah seorang daripadanya merupakan Ketua Komunis yang paling dikehendaki di Sarawak, Lee Lip Pong. Kejayaan Platun Ngelaban terus menjadi kebanggaan pasukan 8 RRD. Beliang tidak pernah gentar dengan insiden itu. Atas kecemerlangan sewaktu berkhidmat di operasi menjejak komunis di Kampung Tembaga Rjr Beliang dinaikkan pangkat ke Lans Koperal.
[divider style=”solid” top=”20″ bottom=”20″]
[box type=”info” align=”” class=”” width=””]
Beliang ak Bali merupakan anak Iban yang berasal dari Rumah Tumbang, Metong Atas, Seblak, Roban, Sri Aman. Dilahirkan pada tanggal 6hb Oktober 1953 adalah anak kepada seorang mantan Sarawak Renjer yang pernah bertugas di ketika Koloni Mahkota Sarawak British memerintah Sarawak suatu waktu dahulu. Ayahnya telah menganggotai pasukan Polis sehingga bersara dengan pangkat Sarjan. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Metong Atas dan kemudian meneruskan persekolahannya di Sekolah St. Columbus, Miri, Sarawak sehingga tamat Darjah 6. [/box]