PERAK: Seramai 36 pegawai dan 526 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) terlibat dalam Perbarisan Pengisytiharan Penstrukturan Semula RAJD disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Padang Kawad Kem Sangro pada 11 Feb 2019.
Ketibaan PTD disambut oleh Pengerusi RAJD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Hj Ahmad Nasir Hj Abd Rahman seterusnya menerima tabik hormat dari Ketua Perbarisan, Kol Fazillah Ibrahim diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (KAD).
Mengimbas kembali sejarah penubuhan RAJD 66 tahun yang lalu, RAJD telah ditubuhkan pada 22 Apr 1953 serta berjaya melaksanakan peranan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang sebagai sebuah kor yang bertunjangkan kepada kejuruteraan.
RAJD mempunyai keunikan yang tersendiri dan semakin berkembang seiring dengan perkembangan TD dimana penstrukturan semula RAJD merupakan satu langkah untuk mendokong peranan dan tugas yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Penstrukturan ini melibatkan pertukaran designasi tiga buah pasukan, pembubaran sebuah pasukan dan penubuhan lima buah pasukan baharu yang mana ianya telah memberi peluang kenaikan pangkat kepada 129 perjawatan pegawai dan 673 perjawatan LLP serta struktur pasukan yang lebih teratur.
Simbolik perbarisan ini adalah acara menurunkan bendera pasukan yang dibubarkan iaitu 92 Skuadron Simpan RAJD dan menaikkan bendera lima buah pasukan baharu iaitu 91 Unit Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera (91 UPKAT), 92 UPKAT, 93 UPKAT, 94 UPKAT dan 95 UPKAT.
Manakala bagi petukaran designasi tiga buah pasukan terdiri dari 91 Rejimen Bantuan RAJD, MK RAJD Pakar (Askar Wataniah) dan 12 Skn RAJD Chemical Biological Radiological Nuclear Explosive (CBRNe).
Perbarisan ini melibatkan dua segmen iaitu Perbarisan Pengisytiharan Penstrukturan Semula RAJD dan Demonstrasi Keupayaan RAJD melibatkan aset Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP), Jambatan, CBRNe dan pemusnahan.
Selain itu, turut diadakan persembahan sajak nukilan Mej Baharuddin Noryat yang mengisahkan kepada pembubaran pasukan 92 Skuadron Simpan RAJD serta disusuli dengan penyerahan bendera pasukan yang dibubarkan kepada Komandan Institut Kejuruteraan Medan TD selaku Pengerusi Muzium RAJD Institut Kejuruteraan.
Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera oleh PTD kepada pasukan-pasukan baharu RAJD serta upacara menaikkan bendera pasukan baharu disusuli dengan upacara menandatangani ruangan terakhir Buku Lawatan 92 Skn RAJD dan menandatangani muka surat pertama pasukan-pasukan baharu.
Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, AKS OPLAT, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran, Panglima- Panglima Formasi naungan 2 Div, mantan-mantan Ketua Jurutera serta Veteran RAJD.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan