KEDAH: Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) mengegarkan Pulau Langkawi dengan aksi pembukaan begitu menakjubkan dengan pelbagai pesawat berjaya menampilkan aksi aerobatik yang memukau penonton bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 26 Mac 2019.
Terdahulu dari itu Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan acara pembukaan yang mana beliau merupakan pemimpin yang memperkenalkan pameran bertaraf antarabangsa itu buat kali pertama dianjurkan pada 1991 sekali gus menjadikan Pulau Langkawi sebagai tarikan utama pelancongan dunia.
Pameran dwi-tahunan yang memasuki edisi ke-15 ini berlangsung selama lima hari mulai 26 hingga 30 Mac 2019 di mana sebanyak 406 syarikat pertahanan, komersial dari 32 buah negara terlibat dalam LIMA 19 meliputi 206 syarikat tempatan dan 200 syarikat antarabangsa.
Selain itu, pada kali ini LIMA 19 mempunyai temanya yang tersendiri iaitu Jaringan Kecerdasan Pertahanan dan Perdagangan Komersil.
Dalam ucapan Perdana Menteri semasa acara perasmian, beliau mahu jadikan Malaysia sebagai negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara dan merupakan sebahagian daripada pasaran global sejajar dengan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
“Malaysia terkenal di peringkat global dengan produk aeroangkasa berkualiti yang dihasilkan untuk pengeluar aeroangkasa global seperti Airbus, Boeing, Rolls-Royce, Safran, Honeywell dan Thales.
“Tahun 2018 Industri Aeroangkasa Malaysia menyaksikan perkembangan positif terutamanya dalam pembuatan aeroangkasa dan perniagaan MRO (Penyelenggaraan, Pembaikan & Pemulihan) di mana destinasi eksport meliputi negara Amerika Syarikat (AS), Singapura, United Kingdom, China dan Perancis, ” kata Tun.
Perdana Menteri turut menyaksikan Opening Gambit oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan aksi lima buah pesawat Su-30MKM, tiga buah pesawat F/A-18D Hornet, lima buah pesawat Hawk 108/208, lapan buah pesawat PC-7 MK II, tiga buah pesawat A400M, dua buah helikopter Nuri dan tiga buah helikopter EC 725AP.
Mengimbas sejarah LIMA ianya merupakan ilham Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertujuan untuk menjadi platfom bagi pesawat-pesawat ringan dan eksperimen untuk diterbangkan bagi mengelakkan kesesakan trafik udara.
Kini, LIMA telah berubah dan menjadi satu tempat terbaik bagi pengeluar dan industri yang berkaitan dalam bidang aeroangkasa dan maritim untuk mempromosikan teknologi terkini kepada para pemimpin awam dan tentera di Malaysia dan negara-negara di Asia Pasifik.
Pameran ini mempunyai dua segmen utama iaitu segmen aeroangkasa yang berpusat di MIEC dan segmen maritim di Resort World Langkawi. (RWL).
Segmen maritim menyaksikan persembahan dan demonstrasi menyelamat tebusan oleh gabungan pasukan elit dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Demonstrasi maritim yang diadakan di Resort World Langkawi ini adalah berkonsepkan misi menyelamat dengan kerjasama pelbagai agensi (inter-agency coordinated rescue mission).
Turut hadir Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli Hj Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany
Gambar: SSjn Vijay Gaundar dan Sjn Saiful Fazley Rusli