KUALA LUMPUR: Seramai 600 warga Kementerian Pertahanan hadir dalam Perhimpunan Bulanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 disempurnakan Menteri Pertahanan Hj Mohamad Sabu bertempat di Dataran Wisma Pertahanan pada 16 Ogos 2019.
Perhimpunan ini adalah sebagai platform bagi pengurusan tertinggi menyampaikan amanat selain menyeru warga MinDef agar mempamerkan semangat nasionalisme bersempena bulan kebangsaan.
Dalam ucapan MENHAN, beliau menyeru agar ATM sentiasa bersatu padu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dan mempercayai bahawa ancaman bukan tradisional dapat dibanteras sekiranya kebolehan dan keupayaan ATM ditambah baik dari semasa ke semasa seiring dengan negara-negara maju yang lain.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa penghinaan keatas ATM adalah satu perkara yang jijik dan pihak yang terlibat dianggap sebagai musuh negara.
“Perkara ini berlaku adalah disebabkan kurangnya kefahaman sesetengah pihak berkaitan peranan Kementerian Pertahanan dan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Tambah beliau lagi, rakyat Malaysia boleh mengkritik kredibiliti ATM tetapi tidak seharusnya ada elemen penghinaan di dalamnya.
MENHAN turut memasang Jalur Gemilang sebagai simbolik pelancaran kempen serta melepaskan 30 buah kenderaan Kementerian Pertahanan dan ATM sejajar dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini Sayangi Malaysiaku:Malaysia Bersih.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Zuki Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Affendi Buang TUDM.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon