86 Tahun Kedaulatan Negara Terus Terpelihara
PERAK: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj. Zulkifli Hj. Zainal Abidin menzahirkan rasa bangga kerana setelah lapan dekat usia Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pelbagai kejayaan diraih dimana warganya terus gemilang dan setia menggalas tanggungjawab kepada negara dan rakyat.
Ianya juga lahir serta diperkukuhkan atas keringat, darah dan air mata para pejuang yang terdahulu kerana mereka telah berjuang serta mengabdikan diri demi memastikan generasi pewaris dapat terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.
PAT berkata demikian dalam ucapannya semasa Perbarisan Hari ATM Ke-86 bertempat di Padang Kawad KD Pelandok, Pangkalan TLDM, Lumut pada 27 Sep 2019.
Tambah PAT lagi, bersempena dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama, adalah menjadi harapan agar masyarakat umum lebih memahami signifikan tugas dan tanggungjawab tentera dan juga masyarakat dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Selain itu beliau turut mengingatkan semua warganya agar sentiasa menjaga nama baik organisasi sebagai institusi yang terhormat.
“Dengan ledakan teknologi komunikasi tanpa sempadan terutamanya kemunculan media sosial, ATM sentiasa diteliti dari segenap sudut sama ada dari aspek keupayaan angkatan, profesionalisme ketenteraan, keterampilan malahan sikap setiap anggota turut menjadi perhatian dan bualan masyarakat.
“Saya berkehendakkan warga ATM bersikap lebih eksklusif dalam menjaga sebarang maklumat yang melibatkan ATM kerana dikuatiri sekiranya tidak dikawal ia boleh mengakibatkan kritikan, tomahan dan fitnah yang akan mengugat keyakinan rakyat sehingga akhirnya melemahkan ATM sendiri,” tegasnya.
Jelasnya lagi, anggapan sesetengah pihak bahawa organisasi ATM bercenderung kepada ketirisan atau pembaziran wang rakyat adalah satu pemikiran dangkal yang didasari oleh sikap tidak mengenang budi namun beliau mengatakan keyakinan bahawa rakyat secara majmuknya lebih arif menilai jasa dan bakti ATM.
Terdahulu Perbarisan Hari ATM Ke-86 dimulai dengan PAT menerima tabik hormat oleh kontijen perbarisan yang terdiri dari 54 pegawai dan 868 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) melibatkan 12 kontijen dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara termasuk tiga kontijen wanita.
Perbarisan buat julung kalinya diadakan di Pangkalan TLDM, Lumut ini di ketuai oleh Komander Yusman Darmawan dan diiringi gabungan Pancaragam Pusat ATM yang berkonsepkan Perbarisan Tempur.
Acara perbarisan turut diisi dengan Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara, penyampaian Sijil Kepujian PAT, Anugerah Kesiagaan PAT Tahun 2019, Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baharu Tahun 2018 dan Piala Pusingan kepada Johan Pertandingan Special Forces Ultimate Challenge (SFUC) 2019.
Markas 10 Bgd (Para) dinobatkan sebagai pemenang bagi perkhidmatan TD Kategori Anugerah Kesiagaan PAT Tahun 2019 dan Markas Tentera Darat Bahagian Operasi dan Latihan telah memenangi Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Tahun 2019 dengan tajuk projek Smart UAV manakala 21 GGK menjadi Johan dalam Pertandingan SFUC Tahun 2019.
Pada masa sama, perbarisan kali ini mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat (SMR TD), PW I Hayazi Abdul Aziz di lantik menjadi SMR ATM yang pertama.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato Sri Hj Affendi Buang TUDM.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon