SABAH: Ribuan pengunjung warga Tawau hadir dalam Majlis Pelancaran Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat Sempena Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-87 yang disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Padang Majlis Perbandaran Tawau pada 19 Jan 2020.
Sejurus ketibaan PTD, satu pertunjukkan penerjunan oleh sepuluh penerjun bebas dari Grup Gerak Khas yang membuat penerjunan dalam dua pass iaitu pass pertama terdiri dari empat orang penerjun yang ditugaskan sebagai pengiring cokmar dan seorang penerjun sebagai pembawa cokmar TD.
Manakala pass kedua terdiri dari lima penerjun yang ditugaskan khas sebagai pembawa bendera Malaysia, bendera negeri Sabah Di Bawah Bayu, bendera TD, bendera Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, bendera 5 Div dan bendera Grup Gerak Khas.
Penyerahan Cokmar Tentera Darat kepada PTD merupakan simbolik gimik perasmian Majlis Pelancaran Hari Tentera Darat Ke-87 dan cokmar ini merupakan mercu tanda yang ditempah khas daripada pewter diukir dengan ukiran emas dan perak serta dihiasi permata biru Kristal dan titanium.
Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat Malaysia (TDM) merupakan acara pertama dilaksanakan sebelum menjelangnya sambutan HTD yang diraikan pada 1 Mac setiap tahun bermula daripada penubuhannya pada tahun 1933.
Konvoi berkenaan dilaksanakan bertujuan mempamerkan ketumbukan TDM di Sabah melalui jelajah battle group ke hampir semua bandar utama di Sabah bermula 19 Jan 2020 dari Tawau dan akan berakhir di Kota Kinabalu pada 29 Feb 2020.
Selain itu, ia bertujuan untuk mengukuhkan komitmen TDM terhadap pertahanan dan kepentingan keselamatan negeri Sabah serta meningkatkan interaksi antara rakyat dan warga TDM.
Komposisi Konvoi Kumpulan Tempur TDM adalah terdiri daripada 29 buah kenderaan tempur dan kenderaan logistik melibatkan aset yang berada di negeri Sabah.
Antara kenderaan yang terlibat dengan konvoi berkenaan adalah kenderaan perisai Gempita dan Lipan Bara, kenderaan tempur Kenderaan Pembawa Senjata (KPS), Kenderaan Pembawa Meriam (KPM) beserta Meriam 105mm, Command Rover dan motorsikal scrambler serta kenderaan bantuan logistik seperti trak 3 tan, ambulans medan dan kenderaan bantuan pembaikan, Kembalik.
Pada tahun ini, TDM telah memilih Negeri Sabah sebagai lokasi utama Sambutan HTD Ke-87 dengan tema Tentera Darat Bersama Rakyat Sedia Sebilang Masa, justeru itu pelbagai acara menarik telah diatur oleh TDM sempena sambutan yang ke-87 ini dengan penglibatan tentera bersama rakyat serta pemimpin-pemimpin tertinggi negeri Sabah.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Mohd Nazir Hj Mami, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Zamrose Mohd Zain dan Pegawai Kanan TD.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar dan Sjn Saiful Fazley
[custom-facebook-feed album=3205033056192254]