NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Zamrose Mohd Zain menyampaikan perintah ulung dan amanat beliau sejak dilantik menjadi PTD Ke-28 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 11 Jul 2020.
Sesuai dengan norma baharu serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan, perbarisan kali ini dilakukan secara statik dengan penjarakan anggota yang berbaris lebih jauh berbanding biasa.
Perbarisan statik ini terdiri daripada beberapa detasmen iaitu Detasmen Pegawai Kanan, Detasmen Tempur, Detasmen Bantuan Tempur, Detasmen Bantuan Khidmat, Detasmen 21 Grup Gerak Khas (GGK), Detasmen 10 Bgd (Para) dan satu Detasmen Wanita.
Terdahulu PTD menerima tabik hormat dari ketua perbarisan, Komandan Akademi Tentera Darat, Brig Jen Khairul Anuar Abdul Aziz bersama anggota perbarisan yang dianggotai seramai 257 pegawai dan 711 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 berasaskan Tiga Prinsip dan Lima Tonggak (3P+5T) yang harus dipraktikkan oleh seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM).
Prinsip Pertama – Laksanakan Apa Yang Harus Dilakukan. Prinsip ini berkehendakkan setiap jawatan anggota mempunyai bidang tugas tertentu yang mesti dilakukan supaya sistem dan proses dalam organisasi berjalan lancar untuk mencapai misi yang ditetapkan.
Prinsip Kedua – Lakukan Apa Yang Dikatakan Akan Dilaksanakan. Setiap anggota perlu menentukan setiap kata itu dikotakan bagi menjana komitmen terhadap kesempurnaan dan kelangsungan tugas.
Prinsip Ketiga – Laksanakan Perkara Yang Betul. Pencapaian misi dan tugas serta tanggungjawab TDM sangat bergantung kepada keupayaan anggotanya melaksanakan perkara yang betul.
Tonggak Pertama – Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan. Tonggak ini berorientasikan misi dan keupayaan untuk beroperasi serentak di dua wilayah berpandukan Kertas Putih Pertahanan (KPP). Keutamaan aset yang sesuai dengan keperluan kapasiti dan keupayaan siaga perlu dititikberatkan. TDM perlu meningkatkan keupayaan kuasa tembakan, mobiliti, komunikasi, siber dan logistik.
Tonggak Kedua – Memperkasakan Keutuhan Organisasi. Tumpuan bagi tonggak ini merangkumi Pengukuhan Profesionalisme, Pemerkasaan Jati Diri, Pengukuhan Kesepaduan Angkatan, Pembudayaan Integriti Serta Nilai Etika dan Moral dan Pemantapan Tadbir Urus. Setiap lapisan pemerintahan dikehendaki untuk mengukuhkan profesionalisme anggota berfokuskan pencapaian keberhasilan kerja dan impak yang dikehendaki.
Kelangsungan tonggak kedua ini juga memerlukan pematuhan aspek integriti oleh setiap warga TDM. Setiap individu mesti mempunyai nilai-nilai kerohanian, moral dan etika, merangkumi pelaksanaan amanah dengan jujur, ikhlas, sabar, bebas rasuah, berlapang dada, telus, bertanggungjawab dan bersifat positif.
Tonggak Ketiga – Pelestarian Kesejahteraan Warga. Tonggak ini tertumpu kepada Peningkatan Kualiti Hidup, Peningkatan Kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan Kediaman, Pengukuhan Kerohanian, Peningkatan Kemudahan Kesihatan, Pemerkasaan Pendidikan serta Peningkatan Pengiktirafan. Untuk mencapai tonggak ini, setiap pemimpin harus memberi komitmen terhadap kesejahteraan anggotanya, keluarga mereka dan komunitinya serta memberi penekanan terhadap aspek kesihatan fizikal dan rohani.
Tonggak Keempat – Pengukuhan Perhubungan Pertahanan. Tonggak ini mustahak untuk memperkasakan komitmen melindungi kepentingan negara. Justeru, kerjasama dua hala serantau dan luar negara perlu diperkukuhkan. TDM akan terus memanfaatkan kerjasama pertahanan dengan negara-negara sahabat melalui perkongsian maklumat, wacana pertahanan dan keselamatan, kerjasama sempadan, eksesais dan operasi bersama, latihan dan program peningkatan kapasiti serta lawatan kerja dan kunjungan hormat.
Tonggak Kelima – Peningkatan Hubungan TDM Dengan Awam. Tonggak ini melibatkan Pengiktirafan dan Keyakinan Rakyat terhadap TDM. Bagi memperoleh pengiktirafan dan keyakinan diri, pemerintah perlu menjalin hubungan kerjasama dengan organisasi serta agensi pihak awam melalui Civil-Military Cooperation (CIMIC). Disamping itu TDM juga perlu memanfaatkan kerjasama dengan pihak kerajaan dan awam di dalam Military Operation Other Than War (MOOTW).
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi dan KS ATM, Lt Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharudin dan pegawai kanan TD.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli, Pbt Muhammad Shukri Suhaimi dan Saifun Hakimi Zainon