KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM telah menyempurnakan Majlis Perasmian Penyerahan Al-Quran Wakaf dan Pelancaran Al-Quran Corner Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2020 di Auditorium Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan pada 05 Ogos 2020.
Program ini merupakan usaha sama di antara Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan ATM melalui Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM.
Objektif program ini adalah untuk memperkasakan dan mendekatkan warga ATM dengan Al-Quran sebagai sumber rujukan utama seorang muslim terutamanya perwira dan perajurit negara.
Ini dapat menyuburkan rasa kecintaan kepada Al-Quran sebagai sumber utama kekuatan spiritual atau Spiritual Combat Power warga ATM dan pada masa yang sama program ini membudayakan pembacaan Al-Quran di samping menyemarakkan perkongsian ilmu Al-Quran dikalangan warga ATM.
Sumbangan naskah Al-Quran Karya Bestari berjumlah 12,060 adalah sumbangan orang ramai melalui Wakaf Ummah yang inisiatifnya digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang disampaikan oleh Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd, Dato’ Hussamuddin Hj Yaacub.
Sebanyak lima buah hospital ATM disasarkan dalam menjayakan program berkenaan iaitu HAT Tuanku Mizan di Wangsa Maju, 94 HAT di Kem Terendak, 96 HAT di Pangkalan TLDM, HAT Wilayah Kota Kinabalu dan HAT Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Zamrose Mohd Zain, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Hj Ayob, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan, Ketua Pengarah KAGAT, Mej Jen Dato’ Hj Kamarudin Hj Mamat dan pegawai kanan TD.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon