KUALA LUMPUR: Seramai lapan pegawai kanan Tentera Darat (TD) dinaikkan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 18 Ogos 2020.
Mendahului senarai, Mej Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal yang dinaikkan pangkat daripada Mej Jen ke Lt Jen dan menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) yang baharu.
Majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat Lt Kol Johari Ismail yang dinaikkan pangkat Kol dan menjawat jawatan sebagai Kol Risik, Cawangan Risik, Markas Pemerintahan Medan Barat (MK PMBTD) dan Lt Kol Wan Rohizan Hassan dinaikkan pangkat yang sama dan menjawat jawatan sebagai Pegawai Khas TD (DASAR), Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK), Kementerian Kewangan Malaysia.
Seramai empat pegawai dinaikkan pangkat dari Mej ke Lt Kol didahului Mej Hisham Abdul Manaf yang menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dan Mej Zahari Affandi Mat Nor yang menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (Para).
Selain itu, Mej Wai Lung dinaikkan pangkat yang sama dan menjawat jawatan sebagai Juruarah, Maktab Turus Angkatan Tentera dan Mej Hasbullah Salleh dan menjawat jawatan sebagai Pegawai Staf 1 Agama, Markas Pemerintahan Medan Timur (MK PMTTD) yang baharu.
Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan tahniah kepada pegawai kanan yang dinaikkan pangkat dan menasihati supaya dapat menjadi contoh yang baik kepada anggota bawahan serta memberi sepenuh tumpuan dan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap tugas yang diamanahkan.
“Seorang pemimpin tentera perlu mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan keberanian dalam membuat keputusan yang sukar berdasarkan pengetahuan dan kompentasi yang dimiliki.
“Amanah yang dipikul sebagai seorang pemimpin amat berat yang mana perlu bertanggungjawab keatas setiap tindakan bukan sahaja ketika di dunia malah yang lebih penting kehidupan kita selepas itu,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, kejayaan yang diraih hari ini tidak akan mampu dicapai tanpa sokongan pasangan dan anak-anak kerana mereka turut berkorban masa, tenaga serta perhatian demi kejayaan seorang bapa dan suami.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman.