NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mantan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia (AKS SM), Lt Jen Dato’ Badrul Hisham Muhammad diatas khidmat bakti dengan mengorbankan seluruh jiwa dan raganya sepanjang 40 tahun perkhidmatan di dalam tentera.
“Curahan keringat dan bakti beliau menuntut pengorbanan yang bukan sedikit dan ianya untuk melihat kedaulatan negara terus terpelihara dimana ketokohan Lt Jen Dato’ Badrul Hisham Muhammad boleh dijadikan teladan serta haruslah dicontohi oleh semua warga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) khasnya dan Tentera Darat (TD) amnya,” tegas PTD.
Tambah PTD lagi, TD dan RAMD merasa sedih dan terharu kerana kehilangan seorang lagi pegawai kanan yang tidak jemu-jemu mencurahkan khidmat bakti kepada nusa, bangsa dan negara tercinta ini.
PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Lt Jen Dato’ Badrul Hisham Muhammad di Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja Mekanize (14 RAMD Mek) pada 23 Nov 2020.
Mengimbas keperibadian Lt Jen Dato’ Badrul Hisham Muhammad, beliau dilahirkan di Kuala Lumpur pada 12 Dis 1960 dan mula menceburi bidang ketenteraan dengan mengikuti latihan Pegawai Kadet di Port Dickson pada 9 Okt 1980 dan pada 27 Jun 1981, beliau ditauliahkan ke dalam RAMD dan memulakan perkhidmatanya sebagai Ketua Platun di 15 RAMD.
Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Pegawai Memerintah Batalion Ke-14 RAMD, Ketua Staf (KS) di Markas Pemerintahan Latihan, Ketua Staf di MK 11 Bgd, Pegawai Pemerhati di Mindanao dan Misi UNIFIL.
Selain itu beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Penasihat Ketenteraan kepada TPTD, Penasihat Pertahanan kepada PAT, Ketua Staf MK 2 Div, Komandan Pusat Pengaman Malaysia, Panglima 11 Bgd, Timbalan Panglima Medan Timur serta jawatan terakhir beliau adalah AKS SM.
Beliau juga merupakan Alumni Kolej Pertahanan Nasional Thailand (Kelas 59 2016/17 dan telah berkahwin dengan Datin Zarina A. Rahim serta dikurniakan seorang puteri.
Terdahulu dari itu, Lt Jen Dato’ Badrul Hisham Muhammad menerima tabik hormat terakhir dari Kontinjen Perbarisan terdiri daripada sembilan pegawai dan 192 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Idham Hj Mad Rusli dalam keadaan norma baharu mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, dalam ucapan Mantan AKS SM beliau menzahirkan rasa penuh kesyukuran dan menzahirkan ucapan penghargaan kepada PTD di atas kesudian beliau hadir bersama-sama pada perbarisan penghargaan persaraannya.
“Tiada ungkapan yang dapat saya luahkan selain ucapan syabas dan terima kasih atas semangat setiakawan serta keikhlasan yang ditunjukkan melaui penganjuran majlis ini.
“Walaupun dalam keadaan kita sedang berhadapan dengan ancaman COVID-19, saya merasa terharu dengan penghormatan yang diberikan dan sudah tentu ianya akan terus terpahat dalam ingatan saya buat selama-lamanya,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau menyeru kepada semua warga pasukan agar meneruskan usaha untuk mengejar kecemerlangan dan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.
Turut hadir, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Mohamad Ab Rahman, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, AKS OPLAT, Mej Jen Datuk Hamdan Ismail dan AKS SM Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli dan Saifun Hakimi Zainon