KUALA LUMPUR: Seramai 35 pegawai kanan Tentera Darat (TD) dinaikkan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira Tentera Darat (TD) pada 18 Dis 2020.
Acara kenaikan pangkat dimulakan dengan pemakaian pangkat Mej Jen didahului oleh Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim Khalid dan menjawat jawatan sebagai Panglima 5 Divisyen serta Brig Jen Dato’ Abdul Hadi Md Sharif juga dinaikkan pangkat yang sama dan menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Arah Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT).
Selain itu, seramai 29 pegawai TD dinaikkan pangkat dari Mej ke Lt Kol manakala kenaikan pangkat dari Lt ke Kapt, Lt M ke Lt dan Pegawai Kadet ke Lt M masing-masing hanya satu pegawai.
Dalam ucapan PTD, beliau berkata pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat hari ini terdiri
daripada mereka yang terpilih dan diyakini memiliki kualiti kepimpinan yang tinggi serta mampu menggalas amanah yang ditanggungjawabkan.
“Pangkat sahaja tidak menjamin seseorang itu akan menjadi pemimpin yang cemerlang sebaliknya bukti kecemerlangan sebenarnya tersingkap dalam bentuk kesan daripada tindakan yang diambil selaku pemimpin,” tegas PTD.
Tambah beliau lagi, kenaikan pangkat ini merupakan pengiktirafan dari pucuk pimpinan TD terhadap mutu kerja yang telah disumbangkan oleh mereka yang dinaikkan pangkat kepada perkhidmatan dan negara.
Turut hadir, Timbalan PTD dan Panglima Medan Timur Tentera Darat.