KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mantan Ketua Pengarah Bahagian Bantuan Khidmat, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD), Brig Jen Hj Ismail Hj Mogiri diatas khidmat bakti jiwa dan raganya selama 40 tahun enam bulan perkhidmatan di dalam Tentera Darat (TD) amnya dan Kor Ordnan Diraja (KOD) khasnya.
“Beliau mempunyai prinsip tidak pernah mengatakan tidak, sentiasa memberi sokongan dan memenuhi ciri-ciri seorang Komander.
“Kecenderungan dan komitmennya menjadikan beliau seorang yang sangat dipercayai dan menyokong dalam merealisasikan setiap perancangan,” jelas PTD.
PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Brig Jen Hj Ismail Hj Mogiri di Dewan Makan, Pusat Latihan Kor Ordnans Diraja (PULNORD) pada 12 Jan 2021.
Mengimbas keperibadian Brig Jen Hj Ismail Hj Mogiri, beliau mula menyertai tentera di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson dan telah ditauliahkan pangkat Lt M pada 11 Apr 1981.
Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Ketua Tim Projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) MK ATM, Pegawai Memerintah 94 Depot Pengkalan Peluru (94 DPP) dan Ketua Pengarah Bahagian Bantuan Khidmat PMTTD sebelum bersara wajib daripada perkhidmatan pada 14 Jan 2021.
Perbarisan perhargaan ini dilaksanakan dalam norma baharu mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan seramai sembilan pegawai dan 129 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan diketuai oleh Penolong Pegawai Memerintah 91 Depot Pusat Kor Ordnans Diraja (91 DPOD), Lt Kol Mohd Noor Mohamed.
Sejurus tamat perbarisan PTD kemudiannya mengadakan lawatan kebajikan ke atas waris anggota LLP yang menghidap penyakit kronik serta turut menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan TD.
Simbolik acara diakhiri dengan send off mengikut SOP bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Turut hadir Asisten Ketua Staf Sumber Manusia MK TD, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Timbalan Panglima Logistik TD, Brig Jen Muhammad Ariff Soo Abdullah dan Pengarah KOD, Kol Mohd Tamam Jamioon.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi