KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyeru kepada pegawai kanan yang baharu dinaikkan pangkat agar membalas kepercayaan yang diberi dengan memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Laksanakanlah amanah yang diberi dengan penuh kejujuran, keikhlasan dan berintegriti kerana setiap tindakan dan perlakuan akan dinilai dan diberi balasan yang setimpal di kemudian hari.
“Pegawai kanan yang dinaikkan pangkat adalah mereka yang terpilih yang diyakini memiliki kualiti kepimpinan yang tinggi serta mampu menggalas tanggungjawab yang lebih besar, ” jelas PTD.
PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 9 Feb 2021.
Tambahnya lagi dalam suasana negara yang masih dilanda Pandemik COVID-19, TD akan terus membawa cabaran yang besar demi mempertahankan kedaulatan negara serta membangunkan TD secara menyeluruh.
Beliau juga mahukan pegawai kanan yang dinaikkan pangkat agar membawa perubahan yang positif di lokasi penugasan masing-masing agar kecemerlangan yang dikecapi sebelum ini terus dapat dipertahankan serta dipertingkatkan mengikut kesesuaian persekitaran semasa.
Menurutnya lagi, seorang pemimpin tentera perlu mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan keberanian dalam membuat keputusan yang sukar berdasarkan kepada pengetahuan dan kompetensi yang dimiliki.
“Selaku pemimpin kita adalah contoh dan rujukan utama pegawai dan anggota bawahan sama ada dalam aspek pelaksanaan tugas mahupun keterampilan diri.
“Jadilah contoh terbaik untuk diteladani oleh mereka yang dipimpin dan bimbinglah mereka serta pastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara yang mana akan mendorong mereka untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti,” tegas PTD.
Terdahulu PTD telah menyempurnakan acara pemakaian pangkat melibatkan seramai 13 pegawai kanan dan dua pegawai muda didahului dengan Brig Jen Datuk Mohd Nizam Hj Jaffar yang dinaikkan pangkat Mej Jen dan kekal menjawat jawatan sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional.
Kemudian diikuti seramai lima pegawai kanan TD terdiri dari Kol Dr Sayuthi Jaafar, Kol Zamzuri Harun, Kol (Dr) Andrew Ng Wei Aun, Kol Zainal Shukri Mohamed Zain dan Kol Ir. Hj Khairul Said Hj Mohd Ali yang dinaikkan pangkat Brig Jen.
Seterusnya seramai enam pegawai kanan TD dinaikkan pangkat dari Lt Kol ke Kol manakala seorang pegawai kanan TD dinaikkan pangkat dari Mej ke Lt Kol dan dua pegawai muda TD dinaikkan pangkat dari Lt ke Kapt.
Turut hadir Timbalan PTD, Lt Jen Dato’ Mohammad Abdul Rahman, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Hafizuddean Jantan serta penglibatan minima pegawai kanan TD sejajar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul