KUALA LUMPUR: Perwira Negara ketika Perang Dunia Kedua iaitu Pbt Ujang Mormin yang pernah berjuang menentang penjajah Jepun di Singapura bersama dengan Allahyarham Lt Adnan Saidi telah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Hospital Sungai Buloh pada 9 Feb 2021.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan mesra dipanggil Tok Ujang menghabiskan sisa hidupnya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) sejak dari tahun 2015 dan mendapat penjagaan rapi doktor serta jururawat HATTM.
Beliau menghembuskan nafas terkahir pada 9 Feb 2021 jam 5.05 petang akibat sakit tua selain dikesan positif COVID-19 lalu dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Jan 2021.
Mengimbas keperibadian Veteran Perang ini, Allahyarham dilahirkan pada 14 Jun 1921 di Rembau, Negeri Sembilan dan merupakan anak Melayu terawal diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) pada 1942 selepas bergabung dengan Tentera British pada 1939 dan menjalani latihan asas sehingga 1941 lalu dikerah ke Gap Ridge di Singapura pada tahun yang sama.
Selain itu beliau diperakui kerajaan Britain yang mengurniakan pingat War Medal dan Pacific Star bagi perkhidmatan dari 1939 hingga 1945 ketika perjuangannya bersama Lt Adnan Saidi bertempur dengan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua demi mempertahankan Singapura di Bukit Chandu selain turut dianugerah Pingat Jasa Malaysia.
Ketika mempertahankan Singapura, Gap Ridge adalah kubu Tentera British yang terakhir sebelum British berundur dan Tentera Jepun memasuki Tanah Melayu dari utara pada 1942 dan Allahyarham yang ketika itu berusia 21 tahun adalah antara segelintir Askar Melayu yang terselamat dalam pertempuran di Pasir Panjang.
Selepas berakhirnya perang pada 1945, beliau melapor diri di Ibu Pejabat Tentera British di Port Dickson, Negeri Sembilan dan kembali menyertai 1 RAMD sehingga tamat perkhidmatan pada Feb 1947 dan kemudian bertugas sebagai Warden Penjara sehingga bersara.
Allahyarham telah berkahwin dengan Che Nah Bahauddin yang kini meninggal dunia dan mereka mempunyai dua anak perempuan yang juga telah meninggal dunia dan seorang anak lelaki yang gagal dikesan sehingga sekarang.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menjelaskan TD berhasrat untuk memberikan penghormatan penuh istiadat kepada Allahyarham Pbt Ujang tetapi akibat penularan COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membolehkan upacara tersebut diadakan.
“Pengebumiaan Allahyarham Pbt Ujang berlandaskan norma baharu akibat Pandemik COVID-19 dan pengebumian ini sudah memadai untuk menunjukkan betapa penghormatan tinggi yang diberikan TD kepada beliau.
“TD mengambil inisiatif ini sebagai penghargaaan kepada sumbangan yang telah beliau curahkan kepada negara kerana beliau merupakan pejuang yang terakhir semasa Perang dunia Kedua,” jelas PTD.
PTD berkata demikian semasa sidang media di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) selepas acara Pengembumian Veteran ATM Allahyarham Pbt Ujang Mormin di Pusara RAMD pada 10 Feb 2021.
Tambah PTD lagi, beliau turut mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarham serta pihak TD turut memberikan sumbangan kepada ahli keluarganya.
Selain itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yayasan Veteran Askar Melayu Diraja, Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Kelab Pegawai RAMD turut memberikan sumbangan.
Allahyarham Pbt Ujang adalah seorang yang berperwatakan sederhana dan disukai ramai selain ramah serta mudah menghulurkan bantuan sama ada berbentuk material mahu pun nasihat bagi generasi muda.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama para solihin dan syuhada serta memperoleh keredaan Allah Yang Maha Esa.